MITOS BISNES KERETA SEWA

Salam baru-baru ini ada seorang sahabat memberitahu beliau ingin memohon lesen kereta sewa, namun disebabkan kos terlalu tinggi (perlu modal lebih RM250K) niatnya terbantut. Beliau bimbang sekiranya berniaga tanpa lesen, banyak masalah yang akan dihadapi.

Semuanya berpunca apabila beliau menyewakan kereta kepada seorang pelanggan, tanpa beliau ketahui pelanggan berkenaan memberikan kereta berkenaan kepada individu lain yang tidak memiliki lesen memandu. Nasib kurang baik, kereta berkenaan terlibat dalam kemalangan.

Pemandu membuat laporan polis menyatakan beliau menyewa kereta. Daripada laporan polis berkenaan memang sah pemilik kereta tak dapat tuntut ganti rugi dari pihak insuran. Ditambah lagi pemilik kereta tiada lesen kereta sewa yang sah, jadi urusan tuntutan insuran akan jadi lebih rumit.

Beliau berfikir sekiranya beliau memiliki lesen kereta sewa, semuanya akan selesai. Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini, pihak insuran akan bayar semua ganti rugi. Beliau boleh berniaga dengan tenang. Secara realitinya itu adalah salah faham ramai orang dalam bisnes kereta sewa.

Dalam bisnes kereta sewa, bukan semua orang boleh menjadi pelanggan anda. Senang cerita anda perlu sewakan kepada pelanggan yang betul sahaja. Sebagai contoh ada syarikat kereta sewa berlesen hanya sewakan kepada pelanggan yang boleh bayar sewa menggunakan kad kredit.

Sekiranya berlaku sebarang masalah, syarikat kereta sewa berkenaan akan memotong caj daripada kad kredit sahaja. Dalam kes di atas kalau pelanggan berikan kereta kepada orang lain yang tiada lesen memandu, maknanya pelanggan itu tiada rasa tanggung jawab.

Ada lesen kereta sewa tapi anda menyewa kepada pelanggan yang tidak berkualiti, masalah tidak akan selesai. Berikut antara ciri-ciri pelanggan yang anda perlu elakkan.

Ciri-ciri pelanggan tak berkualiti

  • Suka buat tempahan saat akhir (last minute).
  • Menyewa sebab harga murah, bukan sebab kualiti servis.
  • Mengelak tempahan dan bayaran secara online.
  • Tiada maklumat pekerjaan atau perniagaan yang jelas.
  • Ada rekod polis atau senarai hitam di dalam sistem.
  • Umur bawah 23 tahun.

Pencegahan

  • Sebolehnya pelanggan yang nak sewa kereta segera (last minute – kurang 24 jam), perlu buat tempahan melalui laman web. Pelanggan yang boleh tempah dan bayar secara online lebih kurang berisiko.
  • Pelanggan yang nak tempah secara offline pula, mesti buat tempahan sekurang-kurangnya 24 jam lebih awal. Tujuan supaya tapisan dapat dibuat terlebih dahulu.
  • Pelanggan perlu berikan bukti pekerjaan/perniagaan, tempat tinggal dan butiran lain yang diperlukan sebelum boleh menyewa kereta.
  • Perlu ada sistem untuk semak rekod senarai hitam pelanggan.

Apabila anda sudah menapis pelanggan mengikut langkah di atas, maka risiko menyewa kepada pelanggan yang bermasalah dapat dikurangkan.

Kawalan Risiko

Namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini, anda perlu ada sistem kawalan risiko yang baik.

  • Sistem perjanjian sewa yang lengkap.
  • Sistem simpanan rekod pelanggan.
  • Sistem pengesan kedudukan kenderaan.
  • Sistem senarai hitam pelanggan.
  • Sistem pungutan hutang.
  • Sistem tuntutan insuran.

Sekiranya anda ada sistem di atas, maka risiko dapat dikurangkan lagi.

Lesen

Sekiranya anda ada modal (RM250K ke atas), anda boleh fikirkan untuk memohon lesen kereta sewa. Namun apa yang dinyatakan di atas kertas tidak semudah yang anda sangka. Silap langkah syarat-syarat yang ditetapkan hanya menguntungkan bank, insuran dan kartel kereta sewa.

Sekiranya anda hanya menyewa kepada orang awam, kos-kos di atas akan menyebabkan perniagaan anda menjadi nyawa-nyawa ikan. Lesen kereta sewa hanya berbaloi sekiranya anda dapat pelanggan yang boleh membayar kadar sewa yang tinggi seperti agensi kerajaan atau syarikat GLC.

Disebabkan isu di atas, ramai yang memilih menjalankan perkhidmatan kereta sewa tanpa lesen. Sekiranya ditahan, itu antara risiko yang mereka perlu tanggung. Pilihan lain yang ada adalah dengan mendaftar kenderaan mereka di dalam aplikasi yang mendapat lesen dari APAD.

Aplikasi ini akan mengambil komisen dari 7% untuk menampung kos operasi mereka. Sekiranya anda tidak ada kemampuan untuk memohon lesen kereta sewa atau tidak mahu mendaftar di bawah mana-mana aplikasi, ini adalah antara langkah yang perlu anda buat.

  1. Beritahu anda hanya ejen kereta sewa. Setakat ini belum ada undang-undang yang menetapkan ejen kereta sewa perlu ada lesen kereta sewa.
  2. Berniaga dengan jujur, beritahu pelanggan mereka boleh memilih kereta sewa berlesen atau kereta sewa persendirian. Kadar sewa kereta sewa berlesen mungkin lebih mahal berbanding kereta sewa milik persendirian. Pelanggan boleh memilih dan tertakluk kepada syarat yang telah ditetapkan.
  3. Elakkan menganggu aktiviti syarikat kereta sewa berlesen atau teksi di lapangan terbang. Lakukan urusniaga di tempat letak kenderaan atau gunakan sistem layan diri yang dipasang pada kenderaan.

Saya harap artikel ini membantu anda membuat pilihan yang tepat.

Wahi Abd Rashid
GoGreenMatrix