SAYA ADA MASALAH KEWANGAN, DAH CUBA BANYAK BISNES, TAPI TAK BERJAYA

Salam pos ini saya tulis untuk menjawab email dari seorang rakan. Menurutnya beliau ada masalah kewangan, beliau dah buat banyak bisnes, tapi semuanya tak menjadi. Apakah solusi kepada masalah beliau ni? Lama juga saya fikir untuk jawab isu beliau. Semoga perkongsian saya ini membantu beliau.

Kenapa ramai orang ada masalah kewangan?

Pada pendapat saya, masalah kewangan wujud disebabkan pendapatan sedia ada seseorang itu tidak mencukupi. Ianya mungkin disebabkan gaya hidup dan kos sara hidup yang semakin meningkat. Jadi bagaimana nak selesaikan masalah kewangan?

Secara umumnya terdapat 3 langkah untuk selesaikan masalah kewangan.

  1. Kurangkan Belanja

Apa yang anda perlu buat adalah perhatikan ke mana duit anda pergi setiap bulan. Biasanya kita akan menghabiskan wang untuk 4 perkara asas di bawah.

  • Pengangkutan
  • Tempat tinggal
  • Makanan
  • Lain-lain keperluan

Pengangkutan

Pada hari ini kenderaan adalah salah satu keperluan. Tanpa kenderaan agak sukar untuk kita bekerja. Tidak dapat dinafikan kebanyakan orang menghabiskan banyak wang untuk memiliki kenderaan. Saya juga tidak terkecuali suatu ketika dahulu.

Ketika memulakan kerja, gaji saya pada waktu itu hampir RM2,000. Tanpa berfikir panjang saya telah membeli sebuah kereta dengan ansuran bulanan RM600. Saya sangka dengan gaji sebanyak RM2,000 saya masih mampu membayar ansuran bulanan kereta tanpa ada masalah.

Walau bagaimanapun saya terlupa, kereta memerlukan minyak untuk bergerak. Kos minyak ketika itu adalah RM10 x 30 hari = RM300 sebulan. Setiap 2 bulan sekali saya perlu menyelenggara kereta berkenaan dan setiap tahun saya perlu memperbaharui insuran kenderaan.

Saya perlu memperuntukkan lebih kurang RM300 sebulan untuk menanggung kos penyelenggaraan dan insuran kenderaan. Jadi sebulan saya perlu membelanjakan lebih kurang RM600 (ansuran bulanan) + RM300 (minyak) + RM300 (penyelenggaraan + insuran) = RM1,200 untuk kereta yang saya beli.

Sekiranya gaji saya RM2,000 dan kos untuk kereta adalah RM1,200 sebulan, maka baki gaji saya adalah sebanyak RM800. Lebih kurang 60% daripada gaji saya habis untuk menanggung sebuah kereta. Itulah antara salah satu punca masalah kewangan saya.

Jadi sekiranya anda ada kenderaan dan ianya membebankan, maka anda patut kurangkan beban itu. Cara terbaik dan selamat, adalah anda jual kenderaan berkenaan dan bertukar kenderaan yang kosnya lebih rendah. Mungkin gunakan motosikal atau beli kereta terpakai yang lebih murah.

Sekiranya baki pinjaman kenderaan anda masih tinggi dan tiada harga untuk dijual, maka anda mungkin boleh memajak atau menyewakan kenderaan berkenaan. Walau bagaimanapun saya tidak galakkan cara ini kerana risikonya sangat tinggi.

Kalau anda ingin memajak atau menyewakan kereta, nasihat saya pajak atau sewakan kereta anda kepada orang yang ada pekerjaan tetap. Elakkan menyerahkan kereta kepada orang yang anda tidak kenali, lebih-lebih lagi kalau mereka tidak mahu memberitahu di mana mereka bekerja.

Untuk kes saya, apa yang saya lakukan adalah menyerahkan kereta saya kepada adik ipar yang baru bekerja dan bercadang untuk membeli kereta baru. Syaratnya beliau hanya perlu sambung sahaja bayaran bulanan kereta berkenaan tanpa perlu bayar apa-apa kepada saya.

Kelebihannya beliau tidak perlu bersusah payah menghabiskan duit simpanan untuk membayar pendahuluan kereta baru dan tidak perlu pening kepala memohon pinjaman bank. Saya pula dapat mengurangkan beban kewangan ketika itu.

Setelah menyerahkan kereta berkenaan kepadanya, saya meminta isteri membeli sebuah kereta terpakai dengan ansuran bulanan sebanyak RM255. Cara ini membolehkan saya berjimat RM345 sebulan.

Tempat Tinggal

Sekiranya anda bekerja berdekatan dengan kediaman keluarga, kalau boleh anda tinggal sahaja dengan keluarga untuk kurangkan kos. Sekiranya anda berjauhan dengan keluarga, sebolehnya anda cari rumah sewa yang kosnya lebih rendah.

Mungkin anda perlu menyewa rumah kampung, menyewa bilik atau tinggal di kawasan setinggan dahulu. Apa saja tempat tinggal yang anda pilih, cuba kurangkan kos sebanyak mungkin. Malu atau takut apa orang kata letak tepi dulu.

Sebolehnya di mana sahaja anda tinggal, sediakan satu pejabat kecil di rumah anda. Gunakan pejabat itu untuk mulakan aktiviti perniagaan di rumah. Contohnya ketika menyewa rumah dahulu, saya khaskan satu bilik untuk dijadikan pejabat.

Di dalam pejabat itulah saya belajar tentang perniagaan internet. Saya mula belajar membina laman web, blogging, menulis ebook, buku dan merakam video. Hasil kerja-kerja saya itu saya kongsikan di media sosial.

Kesannya perniagaan internet dan kereta sewa yang saya jalankan mula mendapat sambutan. Saya juga mula dikenali sebagai pakar kereta sewa. Tidak lama selepas itu ada yang meminta saya mengajar mereka bagaimana untuk menjalankan bisnes kereta sewa.

Saya masih ingat ketika itu ada seorang guru di Sabah mahu saya mengajarnya bagaimana untuk menjalankan bisnes kereta sewa dengan betul. Saya gunakan pejabat di rumah untuk merakam video dan menjualnya kepada guru berkenaan.

Hasilnya guru berkenaan berjaya menjadi salah seorang pengusaha kereta sewa yang berjaya di Sabah. Kejayaan guru berkenaan membuatkan ramai pengusaha kereta sewa kecil-kecilan berminat untuk belajar daripada saya.

Sejak itu saya mula menjana pendapatan lebih 5 angka sebulan hasil jualan pakej rakaman video bisnes kereta sewa. Pendapatan berkenaan lebih dari cukup untuk membayar kos kediaman saya.

Anda boleh fikirkan apakah pilihan yang anda ada untuk kurangkan kos tempat tinggal, sekiranya anda tidak mampu kurangkan kos tempat tinggal, maka anda perlu pastikan tempat tinggal anda itu boleh menjana pendapatan yang mencukupi.

Makan

Untuk mengurangkan kos makan, anda mungkin boleh lakukan apa yang kakitangan di syarikat saya lakukan. Mereka akan memberikan kontrak membekalkan lauk makan tengahari dengan seorang pengusaha makanan.

Setiap hari kakitangan saya akan memasak nasi di pejabat dan mereka akan makan dengan lauk yang dibekalkan oleh kontraktor yang dilantik. Kos lauk lebih kurang RM5 seorang. Cara ini dapat menjimatkan wang kakitangan saya berbanding mereka terpaksa makan di kedai.

Anda boleh berbincang dengan rakan sekerja dan buat belian makanan secara pukal untuk mendapatkan harga lebih rendah. Kalau dibenarkan, masak nasi di pantri pejabat dan makan bersama rakan sekerja.

Lain-lain

Perhatikan perbelanjaan lain-lain yang anda ada, mungkin anda langgan perkhidmatan yang tidak penting seperti rancangan TV berbayar. Mungkin anda melanggan pakej Insuran/Takaful yang salah. Contohnya dahulu saya pernah membeli insuran yang ada pakej pelaburan.

Kesannya saya terpaksa membayar bulanan yang lebih mahal. Ada juga seorang rakan saya mempunyai sehingga 4 polisi insuran berbeza. Lebih menyedihkan beliau sentiasa bergaduh dengan pasangan disebabkan masalah kewangan.

Pada pendapat saya sekiranya kedudukan kewangannya masih belum cukup kuat, satu polisi insuran/takaful sahaja sudah mencukupi. Kesimpulannya di sini, anda perlu perhatikan apakah perbelanjaan lain yang tidak penting dan boleh dikurangkan.

2. Minta Naik Gaji

Langkah seterusnya adalah anda cuba minta dinaikkan gaji. Bagi yang bekerja kerajaan, anda mungkin boleh sambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Selain itu anda perlu berusaha untuk capai prestasi yang ditetapkan oleh majikan untuk melayakkan anda mendapat kenaikan gaji.

Anda boleh buat kerja lebih masa (sekiranya ada) atau cuba buat kerja luar untuk mendapatkan elaun perjalanan. Bagi yang bekerja di syarikat swasta, anda mungkin boleh tawarkan diri untuk menjual produk/servis syarikat,

Sesetengah syarikat biasanya akan memberikan komisen kepada kakitangan yang berjaya membuat jualan atas usaha sendiri. Seperti syarikat saya, semua kakitangan boleh mempromosi produk syarikat dan mereka akan mendapat komisen 10% daripada setiap jualan.

Sekiranya majikan anda tidak kisah, anda boleh cuba tawarkan perkhidmatan membeli barang dapur untuk bos anda. Biasanya bos tidak kisah membayar upah RM50 seminggu sekiranya ada orang sanggup membeli barang dapur untuk rumahnya.

Seminggu RM50 x 4 minggu = RM200 sebulan. Apa sahaja yang anda buat, cuba fikirkan bagaimana untuk menambah gaji anda. Kadang-kadang tambahan RM200 – RM300 sebulan besar maknanya kepada seseorang.

3. Mulakan Perniagaan Sambilan

Pada awal pos ini, pengadu ada mengatakan beliau sudah cuba banyak bisnes, tetapi semuanya tidak menjadi. Saya ingin tegaskan di sini, semua bisnes yang boleh menyelesaikan masalah pelanggan adalah bagus dan pasti akan bertahan.

Apa yang membuatkan bisnes itu tidak menjadi, puncanya daripada orang yang menjalankan bisnes itu sendiri. Perniagaan bukanlah sesuatu yang anda buat hari ini, maka esoknya anda terus dapat hasil. Biasanya di dalam perniagaan, 10 benda kita buat, kadang-kadang 9 tidak menjadi.

Di dalam buku Think & Grow Rich tulisan Napolean Hill beliau mengatakan, apabila kita melakukan sesuatu perusahaan, kita akan berjumpa banyak kegagalan sementara. Mereka yang mempunyai keazamaan yang kuat pasti akan buat sampai berjaya.

Mereka yang lemah semangat, bila berhadapan dengan sedikit cabaran, jalan mudah yang mereka akan ambil adalah putus asa. Ketika saya menjalankan bisnes kereta sewa, sebenarnya saya hampir berputus asa juga.

Puncanya saya banyak mengalami kerugian disebabkan beberapa buah kereta saya dicuri pelanggan. Bayangkan saya sudah berpenat lelah membeli kereta, kemudian disebabkan terlalai sedikit, kereta berkenaan dicuri oleh pelanggan.

Apa yang membuatkan saya kuat adalah bila memikirkan nasib anak-anak saya. Saya tidak mahu mereka hidup susah seperti saya. Kalau saya putus asa, pastinya mereka terpaksa bermula dari bawah dan bekerja dengan orang. Saya tidak mahu keturunan saya dipijak orang lagi.

Daripada pengalaman kehilangan kereta sewa, saya mula mengkaji di mana silapnya dan bagaimana cara untuk saya mencegahnya berulang. Dari situ syarikat saya mula membina sistem tempahan kereta sewa, di mana sistem itu boleh mengurangkan risiko kehilangan kereta.

Daripada sistem itu, syarikat saya berjaya mengembangkan perniagaan kereta sewa sehingga ke seluruh Malaysia dan Brunei. Semenjak wujudnya sistem kereta sewa yang kami bina, tiada lagi kes kereta hilang seperti yang saya alami sebelumnya.

Jika saya berputus asa, dan melompat membuat bisnes lain, hasilnya akan tetap sama kerana di dalam mana-mana perniagaan, pastinya ada cabaran dan kegagalan sementara.

Sekiranya anda sudah memulakan perniagaan dan anda percaya perniagaan itu boleh menyelesaikan masalah pelanggan, apa yang anda perlu buat adalah fokus buat sampai berjaya. Walaupun anda menghadapi kegagalan anggap sahaja itu sebahagian proses pembelajaran.

Tip Memulakan Perniagaan

Sekiranya anda baru ingin memulakan perniagaan, berikut sedikit tips untuk anda.

  1. Mulakan perniagaan yang tidak memerlukan modal yang besar. Anda boleh bermula sebagai drosphip produk-produk yang ada di luar sana. Sebaiknya pilih produk yang margin untungnya 20% ke atas.
  2. Mulakan perniagaan yang memberikan hasil yang cepat, contohnya menjual produk orang lain. Dapat sahaja tempahan anda terus dapat untung. Tak perlu tunggu bertahun untuk dapat hasil.
  3. Pilih produk di mana potensi pasarannya besar. Contohnya produk untuk kencing manis. Di Malaysia sahaja terdapat lebih kurang 3.9 juta pesakit kencing manis. Pesakit kencing manis memerlukan produk-produk tertentu untuk mengawal tahap kencing manis mereka.

Baiklah sekiranya artikel ini bermanfaat, mohon kongsikan dengan rakan-rakan yang lain. Sekiranya anda ada pertanyaan jemput sertai group Telegram berikut ==> Klik SINI.