Wahi Abd Rashid

AYAH KENAPA KITA MISKIN?

Bagi mereka yang pernah hidup susah, pernahkah anda bertanya soalan di atas kepada ayah anda? Apa perasaannya sekiranya anak-anak kita bertanya soalan itu kepada kita pula suatu hari nanti? Saya pasti sedikit sebanyak pasti hati kita terguris mendengarnya.

Mujurlah saya tidak tergamak bertanya soalan berkenaan kepada ayah saya. Saya sentiasa bersyukur dengan keadaan kami. Tetapi saya sentiasa tertanya-tanya mengapa bangsa saya (Melayu) dan orang Islam di Malaysia kebanyakannya miskin. Kenapa orang cina, yang bukan penduduk asal tanah Melayu boleh menjadi kaya-raya di sini? Benarkah seperti yang biasa saya dengar tentang komplot peniaga cina membunuh perniagaan melayu? Saya bukan hendak membangkitkan isu perkauman di sini. Saya mahu mencari jawapan mengapa orang melayu jauh ketinggalan. Benarkah Islam itu sinonim dengan kemiskinan?

Bagi mencari jawapan kepada soalan-soalan bodoh saya ini, maka saya pun bertanyalah kepada ayah saya. Boleh juga buat modal berborak kosong dengan beliau. Maklumlah saya sekarang tinggal di Sarawak, sekali-sekala balik ke kampung seronok juga mendengar cerita beliau. Untuk makluman ayah saya dilahirkan pada tahun 1925 di Kedah. Beliau pernah hidup semasa zaman penjajahan British, Jepun dan Komunis. Walaupun sudah berusia lebih 80 tahun, kesihatannya masih dalam keadaan baik, cuma kadangkala beliau diserang penyakit lelah.

KISAH TEBU

Menurut beliau, semasa zaman penjajahan British dahulu orang Melayu tidak dibenarkan berniaga. Kalau orang melayu didapati berniaga di bandar, mereka akan ditangkap. “Kenapa pula orang melayu kena tangkap ayah?” tanya saya pelik. Sebab orang Melayu tidak ada lesen. Lagipun orang melayu beragama islam. Kalau boleh British tidak mahu orang Islam maju, biarlah mereka terus kekal miskin sebagai petani dan nelayan, senang sikit nak kawal. Saya mula teringat tentang dasar pecah dan perintah yang diajar dalam subjek sejarah di sekolah menengah. Mungkin betul seperti apa yang diceritakan oleh ayah. Ini bermakna sejak dahulu lagi British sudah tahu, untuk memastikan orang Melayu terus hidup miskin, mereka mesti dihalang daripada berniaga.

Sekiranya orang Melayu hendak menjual hasil pertanian, mereka perlu menolaknya kepada orang tengah iaitu peniaga Cina. Sebagai contoh tanaman tebu, pada masa itu orang Melayu menolak sebatang tebu kepada peniaga Cina dengan harga 3 sen, manakala peniaga Cina menjual tebu itu dengan harga 7 sen. Urusniaga ini agak berat sebelah kerana orang Melayu terpaksa menunggu lebih 6 bulan untuk mendapat 3 sen manakala orang Cina hanya perlu tunggu 1 hari untuk mendapat untung sebanyak 4 sen. Dasar British ini menyebabkan orang Melayu terus kekal miskin dan orang Cina semakin kaya-raya. Hmmm ada logiknya juga cerita ayah saya ni. Orang Melayu miskin kerana mereka dipaksa untuk terus hidup miskin. Mereka tidak ada pilihan.

SELEPAS MERDEKA

Sekarang negara kita sudah merdeka, ya kita sudah merdeka selama hampir 55 tahun. British sudah tidak ada dan semua orang boleh berniaga tidak kira, Melayu, Cina atau India. Tetapi, kenapa orang Melayu masih ramai yang miskin? Dalam bahagian ini saya tidak bersetuju dengan pendapat ayah saya. Menurut beliau, orang Melayu tidak maju kerana kerajaan yang ada sekarang ini masih mengekalkan sistem British. “nak berniaga mesti kena ada lesen, kalau tak ada lesen kena saman” katanya.

Pada saya itu bukan alasannya, nak buat lesen bukannya susah sangat pun, lagi pun kosnya tidak mahal. Jadi apa sebabnya orang Melayu masih ramai yang miskin? Di dalam buku Why We Want You to Be Rich, penulisnya Robert Kiyosaki ada memetik kata-kata daripada Albert Einstein seperti berikut

Insanity : doing the same thing over and over again
and expecting different results”

Maksudnya, kita tidak akan mendapat keputusan yang berbeza sekiranya kita masih melakukan perkara yang sama berulang-ulang. Persoalannya apakah yang orang Mlayu lakukan selama 55 tahun dan hasilnya mereka masih miskin? Pernahkah anda menerima nasihat sebegini “belajar rajin-rajin nanti dapat masuk universiti, bila dah dapat ijazah boleh cari kerja bagus-bagus dan hidup kamu pasti senang”. Saya yakin setiap ibu-bapa akan memberitahu perkara yang sama kepada anak-anak mereka. Saya juga diberitahu perkara yang sama.

Sekarang lihatlah apa hasilnya. Sekiranya saya perhatikan rakan-rakan yang sama-sama belajar di universiti dahulu, boleh saya katakan bahawa tidak ada seorang pun yang menjadi kaya-raya selepas keluar universiti. Masing-masing mengeluh dengan gaji yang semakin tidak cukup akibat kenaikan kos sara hidup. Ada yang masih belum mampu membeli rumah dan ada juga yang dibebani dengan hutang yang banyak.

Yang peliknya kita masih menyuruh anak-anak kita supaya belajar rajin-rajin, nanti dapat masuk universiti boleh dapat kerja bagus dan hidup kamu pasti senang. Inilah yang dikatakan kerja gila, memberitahu anak-anak kita supaya membuat benda yang sama dan berharap mereka boleh menjadi kaya.

Amat jarang ibu-bapa yang menyuruh anak-anak mereka menjadi ahli perniagaan. Padahal untuk keluar dari kepompong kemiskinan kita mesti terlibat dengan perniagaan. British sudah tahu perkara ini ratusan tahun dahulu dan sebab itu mereka menghalang nenek moyang kita menjadi usahawan. Malangnya ibu-bapa, termasuk kita sendiri meneruskan legasi British menghalang generasi kita terlibat di dalam perniagaan.

Ramai yang beranggapan perniagaan adalah berisiko. Ianya berisiko kerana kita tidak tahu apa-apa tentang sesuatu perniagaan itu. Sebagai contoh, ramai yang menganggap perniagaan kereta sewa yang saya lakukan berisiko tinggi. Tetapi pada saya risikonya rendah kerana saya tahu selok-belok perniagaan ini. Saya telah mengambil langkah-langkah perlu untuk mengurangkan risiko di dalam perniagaan ini. Tetapi sekiranya anda tidak tahu apa-apa tentang perniagaan ini, risiko untuk rugi juga sangat tinggi. Pokok pangkalnya anda mesti tahu segala-galanya sebelum terlibat di dalam sesuatu perniagaan.

Jadi, sekiranya kita mahu keluar dari kepompong kemiskinan, kita mesti berniaga. Ya kita mesti menjadi usahawan. Kita mesti memberitahu kepada generasi seterusnya bahawa menjadi pekerja tidak akan menjadikan mereka kaya. Mereka perlu belajar untuk menjadi usahawan. Insya Allah suatu hari nanti kita tidak perlu ditanya “Ayah kenapa kita miskin?”.

P/S : Cemburu dengan Datuk Siti Nurhaliza, umur kami sama, saya mempunyai Bachelor Degree dan Master, beliau hanya lulus SPM. Kini beliau seorang jutawan..tetapi saya pula hmmmm belum ketahuan..Insya Allah sedang berusaha menjadi jutawan kereta sewa.

BOLEHKAH SAYA MENDAPATKAN PINJAMAN WALAUPUN SUDAH KENA BLACKLISTED?

Melihat kepada persoalan di atas, saya pasti, ramai yang ingin tahu apakah jawapannya. Saya juga tidak hairan sekiranya ramai di kalangan anda yang sudah tahu jawapannya. Walau bagaimanapun, masih ada yang bertanya, bolehkah seseorang itu mendapatkan pinjaman bank walaupun sudah disenarai hitamkan? Bagi yang masih ragu-ragu, biar saya tolong menjawapnya. Berdasarkan pengalaman, jawapannya adalah tidak boleh. Ya biar saya ulangi sekali lagi tidak boleh. Jawapan berkenaan pasti sangat mengecewakan mereka yang berura-ura mahu mendapatkan pinjaman bank, namun terkandas akibat telah disenarai hitamkan. Saya percaya, ramai yang sedang mengalami masalah ini. Persoalannya, tidak adakah cara untuk mendapatkan pinjaman bank walaupun telah disenarai hitamkan?

Sebelum saya menjawabnya, mari kita perhatikan dahulu punca kepada masalah ini. Mengapakan seseorang itu disenarai hitamkan atau di dalam kata lain nama kita tersenarai di dalam rekod CTOS (Credit Tip Off Service) atau CCRIS (Central Credit Reference Information System). Sebagai makluman CTOS merupakan sistem rujukan yang digunakan oleh pihak bank untuk melihat status bankrupsi seseorang atau kes-kes tuntutan saman di mahkamah. Manakala CCRIS merupakan rekod hutang seseorang yang mencatatkan jumlah hutang, kadar faedah, caj-caj tertunggak dan rekod bayaran pada setiap pinjaman.

Secara umumnya terdapat 3 sebab mengapa nama seseorang itu boleh disenarai hitamkan. Ia boleh berlaku secara 1) sengaja, 2) tidak sengaja dan mungkin juga disebabkan 3) kesilapan teknikal.

1.  Sengaja

Perkara ini berlaku apabila seseorang itu sengaja melewat-lewatkan pembayaran ansuran pinjaman. Untuk makluman anda, sekiranya seseorang itu gagal membayar ansuran bulanan melebihi satu bulan, pihak bank masih boleh menerimanya. Namun sekiranya sudah dua bulan tertangguh, pihak bank akan mengambil langkah lebih berhati-hati dan jika mencapai tiga bulan, nama individu berkenaan akan disenarai hitamkan secara automatik. Permohonan untuk mendapatkan pinjaman baru dijamin gagal dalam tempoh 12 bulan dari tarikh mereka disenarai hitamkan. Keadaan ini akan berterusan selagi mereka tidak menyelesaikan ansuran yang tertunggak itu.

2.  Tidak Sengaja

Perkara ini boleh berlaku, apabila seseorang itu menjadi penjamin kepada ahli keluarga atau rakan baik mereka. Tanpa di sedari, orang yang dijamin gagal membuat bayaran seperti yang telah ditetapkan. Secara automatik peminjam dan penjamin akan turut disenarai hitamkan. Ada juga kes di mana seseorang itu dinamakan sebagai penjamin tanpa pengetahuannya. Dalam kes ini, maklumatnya mungkin telah disalah guna oleh individu tertentu untuk mendapatkan kelulusan pinjaman orang lain. Mangsa hanya menyedarinya apabila mendapat surat peringatan daripada bank. Bagi mengelakkan masalah ini terjadi, anda dinasihatkan supaya tidak memberikan salinan dokumen peribadi sewenang-wenangnya tanpa mengetahui tujuan ia digunakan. Selain itu, jangan sesekali menandatangani dokumen yang anda tidak tahu isi kandungannya.

3.  Kesilapan Teknikal

Perkara ini boleh berlaku apabila terdapat individu yang mempunyai nama yang sama. Selain itu, kesilapan juga boleh berlaku apabila sesuatu kes saman itu telah selesai tetapi tidak dikemaskini. Sekiranya perkara ini terjadi, maklumkan kesilapan itu kepada pihak yang berkenaan bagi mengemaskini maklumat mereka. Maklumkan kepada mereka status terkini anda beserta buktinya. Kebiasaannya mereka bersedia mengemaskini data tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Sekiranya diperhatikan kepada punca pertama dan kedua mengapa seseorang itu disenarai hitamkan, maka dapat disimpulkan bahawa ianya berlaku disebabkan kecuaian diri sendiri. Kata orang pandai berhutang tetapi tidak pandai membayar. Walaupun sesetengah pihak mengatakan mereka menjadi mangsa keadaan kerana menjadi penjamin orang lain, tetapi pada saya menyalahkan orang lain tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah. Pihak bank tidak mahu mendengar apa-apa alasan daripada anda. Pada mereka sekiranya anda berani menjadi penjamin, bermakna anda juga berani menanggung beban sekiranya orang yang dijamin gagal membayar hutang.

Bagi mereka yang sedang berhadapan dengan masalah ini, mereka perlu mencari jalan penyelesaiannya. Sikap lepas tangan dan tidak mahu ambil peduli tidak akan menyelesaikan masalah. Berbincanglah dengan pihak bank bagaimana hendak menyelesaikan masalah hutang yang anda sedang hadapi. Sekiranya buntu, anda boleh meminta orang tengah seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk membantu menyelesaikan masalah anda.

Bagi mereka yang teraniaya (menjadi penjamin tanpa pengetahuan), pada saya ini juga disebabkan kecuaian diri sendiri kerana tidak menjaga dokumen peribadi dengan sebaik-baiknya. Untuk pengetahuan anda sebelum seseorang itu menjadi penjamin, mereka perlu mengemukakan salinan kad pengenalan dan beberapa dokumen peribadi terlebih dahulu. Pihak bank akan menghubungi anda untuk pengesahan maklumat yang diberikan. Sekiranya pinjaman diluluskan, anda dikehendaki hadir ke bank dan menandatangani surat perjanjian sebagai penjamin di hadapan pegawai bank bertugas. Salinan perjanjian juga akan dihantar kepada alamat rumah untuk simpanan anda. Sekiranya anda sentiasa mengawal dokumen dan maklumat peribadi dengan baik, perkara ini tidak akan terjadi. Ingatlah sekiranya nama kita sudah direkodkan sebagai penjamin, agak sukar untuk kita menarik balik walaupun kita bersumpah tidak tahu-menahu tentang perkara berkenaan.

Berbalik kepada soalan sebelum ini, adakah cara untuk mendapatkan pinjaman bank walaupun telah disenarai hitamkan? Jawapannya senang sahaja, tetapi anda hendaklah membersihkan nama anda terlebih dahulu (selesaikan hutang yang tertunggak). Setelah itu anda berkemungkinan layak dipertimbangkan untuk mendapatkan pinjaman. Dalam soal hutang, tidak ada sesiapa pun yang boleh mengambil sikap lepas tangan. Apabila nama kita telah disenarai hitamkan, ia umpama dahi kita telah dicop sebagai orang yang tidak amanah. Cuba bayangkan sekiranya anda mempunyai wang yang banyak. Mahukah anda memberikan pinjaman kepada orang yang tidak amanah? Orang yang sukar membayar hutang? Secara logiknya, tidak ada sesiapa pun yang mahu berurusan dengan orang sebegitu. Begitu juga dengan pihak bank, mereka tidak akan memberikan pinjaman kepada orang yang culas membayar hutang. Jadi secara ringkasnya, sekiranya kita berhutang, kita harus bertanggungjawab untuk membayarnya. Jangan bermimpi hendak menambah hutang baru sekiranya hutang lama pun tidak terbayar.

Sungguhpun begitu, bagi sesetengah orang, mereka tidak pernah disenarai hitamkan, namun sukar mendapatkan pinjaman. Setiap bulan mereka membayar ansuran pinjaman tepat pada masanya. Tetapi setiap kali, mereka memohon pinjaman, ianya akan ditolak. Maka mulalah timbul perasaan tidak puas hati dan mengganggap pihak bank memilih kasih.

Sebenarnya ramai yang tidak faham. Bank sebenarnya hanya memberikan pinjaman kepada orang yang mempunyai banyak wang. Bukan kepada orang yang tidak mempunyai wang. Pelik bukan? Sekiranya kita mempunyai banyak wang, mengapa kita perlu membuat pinjaman. Namun percaya atau tidak itulah yang berlaku sejak dari dahulu lagi. Secara logiknya, sekiranya anda mempunyai banyak wang, sudah tentulah anda hanya meminjamkannya kepada orang yang mempunyai banyak wang. Pada pendapat anda lebih baik meminjamkan wang kepada orang yang mampu membayar balik pinjaman daripada memberikan pinjaman kepada orang belum tentu dapat membayarnya.

Persoalannya, bagaimanakah kita hendak menunjukkan bahawa kita mempunyai banyak wang dan mampu membayar pinjaman. Adakah kita perlu berlakon memandu kereta mewah dan memakai pakaian berjenama mahal semasa memohon pinjaman? Adakah jawatan dan taraf pendidikan kita yang tinggi dapat menyokong permohonan kita? Oh tidak, semua itu tidak menjamin permohonan kita akan diluluskan. Pihak bank tidak memandang semua itu.

Rahsia Senang Mendapat Pinjaman

Sebenarnya terdapat kaedah yang boleh digunakan untuk menunjukkan kita mempunyai banyak wang dan mampu membayar balik pinjaman bank. Berdasarkan pengalaman, sekiranya anda bijak menggunakan penyata akaun semasa, peluang pinjaman anda lulus juga lebih tinggi. Penyata akaun semasa boleh digunakan sebagai dokumen sokongan yang menunjukkan kita mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk membayar balik pinjaman.

Sebagai contoh, sekiranya anda mempunyai pendapatan sebanyak RM2,000 sebulan. Saya percaya pihak bank sukar untuk memberikan pinjaman sekiranya komitmen hutang anda juga sudah sampai ke paras hidung (ansuran pinjaman hampir mencecah 70 peratus daripada gaji anda). Tetapi sekiranya anda memasukkan wang itu di dalam akaun semasa dan melakukan transaksi ulangan sebanyak 3 kali. Pada akhir bulan pihak bank akan menghantar penyata akaun semasa yang menunjukkan bahawa anda mempunyai wang masuk sebanyak RM6,000 sebulan (RM2,000 x 3 kali transaksi ulangan = RM6,000). Walaupun anda telah menggunakan kesemua wang di dalam akaun semasa untuk perbelanjaan sendiri, namun pihak bank masih beranggapan bahawa pendapatan anda adalah sebanyak RM6,000 sebulan (sebenarnya RM2,000 sahaja). Jadi mereka menganggap bahawa anda mempunyai wang yang cukup dan pasti mampu membayar balik pinjaman yang diberikan.

Sungguhpun teknik ini nampak mudah, namun ia tidak boleh disalah gunakan. Sekiranya pinjaman digunakan untuk tujuan yang betul, maka ia boleh menambahkan kekayaan kita. Namun sekiranya kita menyalahgunakan pinjaman yang diberikan, saya pasti ia akan menyusahkan hidup kita. Untuk maklumat lanjut sila dapatkan buku Rahsia Senang Mendapat Pinjaman terbitan True Wealth Sdn Bhd. Buku ini menerangkan secara terperinci bagaimana menggunakan akaun semasa untuk mendapatkan pinjaman samada untuk membeli rumah idaman ataupun untuk mengembangkan perniagaan. Buku ini boleh didapati di semua kedai buku terpilih di seluruh Malaysia. Buku ini juga boleh dibeli di internet melalui laman web www.rahsiapinjaman.com.

Mengenai Penulis

Penulis merupakan usahawan sepenuh masa di Syarikatnya Green Matrix Enterprise Travel & Tours Sdn Bhd. Beliau merupakan penulis buku Rahsia Senang Mendapat Pinjaman. Di dalam buku berkenaan beliau turut berkongsi pengalaman bagaimana beliau mendapatkan pinjaman bank bernilai jutaan ringgit menggunakan sokongan akaun semasa. Beliau boleh dihubungi melalui email info@wahiabdrashid.com atau melalui rangkaian sosial Facebook di www.facebook.com/wahiabdulrashid.

AKAUN SEMASA VS AKAUN SIMPANAN

Soalan

Salam saudara Wahi, saya sudah memiliki buku Rahsia Senang Mendapat Pinjaman dan telah habis membacanya. Saya teruja dengan isi yang saudara kongsikan dalam buku tersebut. Cuma saya ada sedikit persoalan disini. Kaedah yang digunakan ialah dengan mengeksploitasi akaun semasa peribadi. Kenapa kita tak boleh menggunakan kaedah yang sama dengan menggunakan akaun simpanan peribadi. Adakah ia berbeza dari segi pandangan pihak bank terhadap kedua-dua akaun tersebut? Sila beri tunjuk ajar dan pandangan saudara berdasarkan pengalaman saudara. Terima kasih.

Jawapan

Kaedah berkenaan boleh juga digunakan untuk akaun simpanan (kalau duit dalam tu ada banyak), walau bagaimanapun, memiliki akaun semasa bermakna kita mempunyai kredibiliti yang lebih tinggi. Bukan semua orang boleh membuka akaun semasa kerana depositnya yang agak tinggi. Kedua memiliki akaun semasa bermakna kita mempunyai perniagaan (pendapatan boleh bertambah sekiranya perniagaan maju). Ketiga sebelum akaun semasa diluluskan pihak bank akan menyemak latarbelakang kita. Sebagai contoh sekiranya kita mempunyai hutang tertunggak di courts mammoth, permohonan akan di tolak. Seorang rakan saya mempunyai kes tuntutan di mahkamah kerana tidak membayar bil telefon juga tidak dapat membuka akaun semasa. Ini berlainan dengan, pemegang akaun simpanan kerana syarat membuka akaun simpanan lebih longgar. Pihak bank juga mempunyai sistem pemarkahan tertentu, pemegang akaun semasa mempunyai markah yang lebih tinggi berbanding akaun simpanan. Markah yang lebih tinggi bermakna peluang mendapat pinjaman juga tinggi. Markah yang rendah bemakna anda sukar mendapat pinjaman atau perlu mengemukakan cagaran atau penjamin. – Harap menjawab soalan

Analytic Code