Wahi Abd Rashid

Category Archives: Rahsia Pinjaman

BAGAIMANA MENGGUNAKAN SYARIKAT PERKONGSIAN UNTUK MENDAPATKAN PINJAMAN BAGI DIRI SENDIRI?

Salam hormat, kali ini saya ingin menjawab soalan yang ditanya oleh salah seorang pembaca buku Rahsia Senang Mendapat Pinjaman. Berikut merupakan soalan beliau;

Soalan

Salam abg wahi, saya nak tanya pendapat abg wahi. Saya ada nama kat dalam syarikat Enterprise (perkongsian), tetapi saya tak terlibat secara langsung pun dengan perniagaan tu. Perniagaan tu diusahakan oleh anak saudara.

Boleh tak saya guna statement akaun perniagaan tu utk buat permohonan loan?

Jawapan

Boleh, kalau salah seorang rakan kongsi tidak mahu pinjaman dibuat atas nama syarikat, maka pinjaman boleh dibuat di atas nama pemilik syarikat. Penyata akaun semasa syarikat boleh digunakan sebagai dokumen sokongan yang menyatakan tuan mempunyai “extra income”.

Soalan

Kalau boleh, apa dokumen syarikat yg bank akan mintak?

Jawapan

  • Lesen syarikat
  • Penyata akaun semasa syarikat (6 bulan)
  • IC Pemilik syarikat
  • Slip gaji 3 bulan (tempat kerja individu yang nak buat pinjaman)
  • KWSP, ASB dan Saham (Kalau ada)

Ini merupakan video jawapan lengkap saya.

Harap membantu. Insya Allah.

BAGAIMANA MENDAPATKAN PINJAMAN MENGGUNAKAN TEKNIK “POST DATED CHEQUE”?

Salam hormat, terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca artikel ini. Kali ini saya ingin berkongsi kaedah untuk mendapatkan pinjaman menggunakan teknik “post dated cheque“. Teknik ini hanya boleh diaplikasikan sekiranya anda mempunyai akaun semasa. Teknik ini pernah saya gunakan untuk membeli sebuah excavator berharga RM55,000 dan sebuah kereta perodua kancil berharga RM12,000.

MEMBELI EXCAVATOR

Pada tahun 2008 saya pernah terlibat di dalam bisnes pembangunan ladang kelapa sawit. Salah satu masalah untuk membangunkan ladang kelapa sawit adalah kos untuk menyewa excavator adalah sangat tinggi. Jadi setelah membuat kira-kira, saya mendapati sekiranya saya memiliki sendiri sebuah excavator, ianya lebih menjimatkan. Setelah membuat perbandingan harga maka saya mengambil keputusan untuk membeli sebuah excavator terpakai berharga RM55,000. Pada mulanya saya cuba memohon pinjaman daripada bank komersial, malangnya pinjaman saya ditolak. Mungkin pada masa itu, komitmen hutang saya sangat tinggi. Nasib baik syarikat penjual excavator itu mencadangkan saya memohon pinjaman daripada syarikat pemberi pinjaman berlesen (Orix Leasing Malaysia Berhad). Syukur alhamdulillah permohonan saya di luluskan dengan syarat berikut;

  • Deposit RM15,000
  • Pinjaman yang diluluskan RM40,000
  • Kadar faedah 6% setahun
  • Bayaran bulanan RM867 x 5 tahun
  • Setiap tahun saya perlu memberikan 12 keping “post dated cheque”  selama 5 tahun.

Saya bersetuju dengan syarat yang ditetapkan. Setelah menandatangani semua dokumen dan membayar deposit maka akhirnya saya berjaya memiliki excavator berkenaan. Kalau tidak kerana teknik ini, saya pasti tidak dapat memiliki excavator berkenaan sampai bila-bila.

MEMBELI PERODUA KANCIL

Pada tahun 2008, perniagaan kereta sewa saya semakin mendapat sambutan. Jadi saya perlu menambah bilangan kereta sewa. Walau bagaimanapun saya menghadapi masalah kerana sukar mendapatkan pinjaman bank untuk membeli kereta baru. Puas saya berfikir bagaimana hendak menambah bilangan kereta sewa saya. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menggunakan teknik “post dated cheque“. Tanpa membuang masa saya berjumpa dengan seorang tauke penjual kereta terpakai dan bertanya sekiranya dia mahu menjual keretanya secara ansuran. Setelah berbincang maka dia bersetuju dengan syarat berikut;

  • Harga jualan kereta RM12,000
  • Deposit RM2500
  • Pinjaman RM9500
  • Kadar faedah 10% setahun
  • Bayaran bulanan RM305 x 3.5 tahun
  • Setiap tahun saya perlu memberikan 12 keping “post dated cheque” kepadanya selama 3.5 tahun.

Walaupun kadar faedah yang ditawarkan agak tinggi, namun masih berbaloi kerana saya dapat menyewakan kereta itu pada kadar RM600 sebulan. Sekurang-kurangnya lebih baik daripada pinjaman along dan kad kredit.

PERINGATAN

Walaupun teknik ini membolehkan anda memiliki sesuatu yang diluar kemampuan anda, namun sebelum menggunakan teknik ini terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira.

  • Teknik “post dated cheque” adalah pilihan terakhir, setelah anda  gagal mendapat pinjaman daripada bank.
  • Hanya untuk mengembangkan perniagaan, bukan untuk memulakan perniagaan.
  • Pastikan anda mampu.
  • Pastikan baki di dalam akaun semasa sentiasa cukup untuk menjelaskan cek yang dikeluarkan. Setiap kali cek anda ditendang, penalti RM50 dikenakan. Sekiranya cek anda ditendang sebanyak 2 kali, akaun anda akan ditutup serta-merta. Akibatnya anda tidak dapat membuka akaun semasa dalam tempoh yang ditetapkan.

p/s : Sekiranya pinjaman digunakan dengan betul, ia boleh menambah kekayaan. Sekiranya disalahguna ia pasti memakan diri.

TIPS MENDAPATKAN PINJAMAN PERIBADI RM100K KALAU BEKERJA SENDIRI

Salam hormat, terima kasih kerana meluangkan masa membaca artikel ini. Kali ini saya ingin berkongsi tips bagaimana hendak mendapatkan pinjaman peribadi bernilai RM100K untuk perniagaan. Maklumat ini saya perolehi hasil pemerhatian terhadap beberapa tawaran pinjaman bank kepada isteri saya. Untuk makluman, isteri saya merupakan rakan kongsi di syarikat  kami. Selain menjadi suri rumah sepenuh masa, beliau juga bertanggungjawab menguruskan kewangan syarikat. Pihak kami telah menetapkan bahawa 40% pendapatan syarikat akan dimasukkan ke dalam akaun semasa peribadi beliau di mana wang berkenaan akan digunakan untuk perkara berikut;

  • 1/4 Simpanan
  • 1/4 Gaji kakitangan
  • 1/4 Bayaran rakan kongsi
  • 1/4 Kecemasan

Secara purata wang yang disalurkan ke dalam akaun semasa peribadi beliau adalah RM50K sebulan. Di hujung bulan, terdapat baki sebanyak RM5K di dalam akaun semasa peribadi beliau. Sekiranya diperhatikan isteri saya seolah-olah mempunyai pendapatan sebanyak RM50K sebulan. Namun itu semua hanya di atas kertas sahaja. Sebahagian besar wang berkenaan adalah milik orang lain.

Walau bagaimanapun beliau mula menerima panggilan daripada bank yang menawarkan pelbagai jenis pinjaman. Pihak Maybank pernah menawarkan pinjaman pembelian kenderaan, pinjaman peribadi dan juga ASB. Terbaru pihak Standard Chartered menawarkan pinjaman peribadi sebanyak RM100K kepada beliau.

Pada mulanya saya agak hairan juga kenapa pihak bank beriya-iya menawarkan pinjaman kepada isteri saya. Setelah saya mengkaji penyata akaun semasa beliau, barulah saya sedar bahawa “Cash Flow” di dalam akaun semasa peribadinya “diperhatikan” oleh pihak bank. Walaupun tawaran yang diterima agak menarik, namun buat masa ini kami tidak memerlukannya kerana wang simpanan kami masih mencukupi dan dalam masa yang sama kami juga menerima pelaburan daripada individu dan syarikat yang berminat melabur di dalam perniagaan kami.

Walau bagaimanapun pengalaman ini mungkin berguna kepada usahawan yang memerlukan pinjaman “tunai” untuk mengembangkan perniagaan. Berikut merupakan tips untuk mendapatkan pinjaman tunai daripada bank;

  • Mesti mempunyai syarikat sekurang-kurangnya milikan tunggal.
  • Syarikat sudah berusia lebih 2 tahun.
  • Cash Flow“di dalam akaun semasa syarikat RM50K selama 6 bulan berturut-turut.
  • Baki di dalam akaun semasa minimum RM5K.

Tips Tambahan

  • Sudah istihar tafsiran cukai pendapatan syarikat.
  • Pandaftaran bidang syarikat juga penting. Syarikat di dalam bidang pembuatan (manufacturing) dan kontraktor am mempunyai peluang lebih tinggi untuk mendapatkan pinjaman.

Peringatan.

  • Pinjaman hanya untuk mengembangkan perniagaan, bukan untuk memulakan perniagaan.
  • Pinjaman sekiranya digunakan dengan betul boleh meningkatkan kekayaan, sekiranya disalah guna boleh bawa papa kedana.
Analytic Code