Salam hormat, Kali ini saya menerima mesej dari seorang pelajar dari sebuah universiti. Beliau ingin mendapatkan nasihat bagaimana hendak mendapatkan pinjaman bank untuk memulakan perniagaan. Untuk makluman, saya juga sering menerima rungutan daripada rakan-rakan yang berniaga kecil-kecilan tentang kesukaran untuk mendapatkan pinjaman bank. Secara umumnya situasi kedua-dua individu berkenaan boleh dikatakan sama iaitu tidak mempunyai dokumen sokongan seperti penyata gaji bulanan dan kwsp untuk memohon pinjaman.
Sungguhpun begitu terdapat cara bagaimana untuk mendapatkan pinjaman bank walaupun mereka tidak mempunyai kerja tetap samada di sektor awam atau swasta. Syaratnya mereka mestilah mempunyai sumber pendapatan daripada perniagaan (tidak kisah walaupun berniaga goreng pisang di tepi jalan). Berikut merupakan caranya;
- Daftar perniagaan kecil (sekurang-kurangnya milikan tunggal)
- Buka akaun semasa perniagaan.
- Masukkan hasil jualan ke dalam akaun semasa perniagaan.
- Keluarkan apabila mahu gunakan untuk modal pusingan.
- 10% peratus hasil jualan mestilah disimpan di dalam ASB atau Tabung Haji.
- Lakukan transaksi berkenaan selama 6 bulan.
- Kalau boleh transaksi mestilah lebih RM5K sebulan. Pelajari teknik transaksi ulangan di dalam buku Rahsia Senang Mendapat Pinjaman untuk meningkatkan jumlah transaksi. Lagi banyak transaksi lagi bagus.
- Selepas 6 bulan, hantar salinan penyata akaun semasa (untuk 6 bulan berturut-turut), sijil pendaftaran perniagaan, kad pengenalan pemilik perniagaan dan buku ASB/Tabung Haji kepada bank untuk memohon pinjaman.
- Insya Allah pinjaman anda akan lebih mudah lulus.
Jumlah pinjaman bergantung kepada purata transaksi anda selama 6 bulan. Sebagai contoh, sekiranya purata transaksi anda adalah RM10,000 sebulan, maka anda layak mendapat pinjaman dengan bayaran bulanan RM1,000 sebulan (jumlah tidak tetap dan bergantung kepada jumlah komitmen sedia ada anda dan kelulusan bank). Semasa saya hendak membeli rumah pertama berharga RM175,000, purata transaksi di dalam akaun semasa saya adalah RM15,000 sebulan.
Formulanya adalah seperti berikut
Purata Duit Masuk 6 bulan x 10% = Jumlah Ansuran Yang Layak
Contoh
RM10,000 x 10% = RM1,000
Sekiranya anda ada komitmen hutang sedia ada sebanyak RM500 maka anda hanya layak membuat pinjaman dengan ansuran bulanan RM500 sahaja (RM1,000 – RM500).
PERINGATAN
Seboleh-bolehnya pinjaman dilakukan untuk membesarkan perniagaan, bukan untuk memulakan perniagaan. Jadi, bagi mereka yang baru hendak memulakan perniagaan, nasihat saya gunakan modal sendiri dahulu. Binalah perniagaan anda perlahan-lahan, bila hendak berkembang, barulah memohon pinjaman. Insya Allah anda pasti akan berjaya. Selamat mencuba.
KOMEN TERKINI