5 CARA MUDAH MENGUMPUL MODAL PERNIAGAAN

Artikel ini saya tulis untuk menjawab soalan di bawah.

Assalamualikum tuan.

Saya ada terbaca tuan ada buat buku rahsia dapatkan loan mudah. Boleh saya tahu tentang releven isi dalam buku tersebut sekarang sebab kalau tak silap saya buku tu sudah ada di pasaran sebelum 2015 lagi.

Biar saya terangkan sedikit tentang diri saya. Saya merupakan seorang pekerja kerajaan, dalam masa sama sedang menjalankan urusan perniagaan online melalui kaedah dropship. Sebelum ni saya ada buka restoran/ cafe tapi tak dapat bertahan lama dan kena tutup.

Jadi sekarang saya kena tanggung beban hutang rm60k bagi perniagaan cafe yang lepas daripada pihak bank (pinjaman peribadi). Jadi adakah saya masih boleh memohon untuk pinjaman peribadi @ perniagaan kerana modal yang mahu dimohon ini untuk saya gunakan dalam perniagaan lain.

Sekiranya masih boleh saya mahu beli terus buku tersebut. Mohon bantuan daripada pihak tuan, dan jutaan terima kasih diucapkan atas kelapangan masa tuan membaca.

JAWAPAN

Wasalam, kaedah yang diterangkan di dalam buku Rahsia Senang Mendapat Pinjaman masih lagi relevan sampai bila-bila sebab bank hanya memberi pinjaman kepada pihak yang boleh menunjukkan mereka ada duit. Ianya digunakan dari dahulu sampai sekarang.

Nasihat saya pinjaman hanya untuk mengembangkan perniagaan, bukan untuk bermula. Mulakan perniagaan yang tidak memerlukan modal yang besar. Perniagaan dropship yang tuan jalankan pada pendapat saya tidak memerlukan modal yang besar.

Walau bagaimanapun tuan mungkin memerlukan modal untuk mengembangkannya lagi. Ada beberapa cara untuk tuan mendapatkan modal tanpa memerlukan pinjaman bank antaranya adalah.

  1. Pre-Order – Minta pelanggan membuat bayaran terlebih dahulu, setkan satu tarikh tertentu supaya tuan boleh kumpulkan order dalam kuantiti yang banyak. Minta tempoh tertentu untuk penghantaran, tawarkan harga istimewa untuk pre-order.
  2. Post dated cheque – Buka akaun semasa dan dapatkan buku cek, runding dengan supplier untuk bagi kredit (hutang). Tulis cek ikut tarikh bayaran yang dipersetujui. Bayaran mungkin dalam masa 60 hari = 2 keping cek.  Dalam tempoh itu, cuba jual produk secepat mungkin, gunakan bayaran yang diterima untuk settle cek pertama, boleh ambil stok baru lagi dan ulangi proses seterusnya.
  3. Crowd funding – kumpulkan modal melalui crowd funding, peserta yang memberikan modal akan mendapat benefit seperti profit sharing, servis atau produk yang tuan tawarkan pada harga istimewa. Contoh cara saya mengumpul modal lebih RM 1 juta melalui crowd funding ==> Crowdfunding Kereta Sewa Pandu.
  4. Licensing/Francais – Anda boleh mengumpul modal dengan memberi kebenaran kepada individu atau syarikat menjalankan perniagaan menggunakan sistem dan jenama perniagaan anda. Pastikan anda mempunyai SOP perniagaan yang mantap dan jenama yang dipercayai. Contoh cara saya mengumpul modal melalui licensing ==> Licensing Kereta Sewa.
  5. Partnership – Tubuhkan sebuah entiti perniagaan PLT (Perkongsian Liabiliti Terhad) atau Sdn Bhd, tawarkan saham 30 – 40% kepada rakan kongsi. Gunakan modal itu untuk kembangkan perniagaan (rakan kongsi bagi modal atau sama-sama boleh bekerja). Pastikan semua bayaran dimasukkan di dalam akaun syarikat, dan bahagikan keuntungan ikut persetujuan atau percentage di atas. Pastikan rakan kongsi itu jenis ada modal dan tak berkira. Contoh cara saya mengumpul modal melalui partnership ==> Partnership Kereta Sewa.

Tuan perlu kreatif mencari modal untuk mengembangkan perniagaan. Bank sangat sukar memberikan pinjaman apabila kita betul-betul memerlukan pinjaman, tetapi semasa kita tidak memerlukan pinjaman, pada masa itu bank akan melutut untuk memberikan pinjaman.

Apabila tuan mahir mengumpul modal seperti di atas mungkin tuan tidak memerlukan pinjaman bank. Slow-slow kembangkan perniagaan, tak perlu sangat nak fikir pasal loan bank. Ok saya doakan semoga perniagaan tuan terus berkembang dan maju. Insya Allah. Harap artikel ini bermanfaat.

4 LANGKAH BEBAS HUTANG

Assalamualaikum

Terima kasih kerana meluangkan masa membaca artikel ini. Sejak kebelakangan ini hampir setiap hari saya menerima email dan mesej yang meminta nasihat bagaimana untuk keluar daripada masalah kewangan dan hutang.

Soalan-soalan yang diterima menimbulkan tanda tanya kepada saya. Apakah jawapan terbaik yang boleh saya berikan? Saya yakin setiap orang mempunyai masalah kewangan yang berbeza. Jadi cara penyelesaian masalah juga mungkin berbeza.

Sungguhpun begitu, daripada kes-kes yang saya terima ada 4 langkah penting yang ramai yang terlepas pandang. Justeru izinkan saya berkongsi 4 Langkah penting yang perlu dilakukan sekiranya anda ingin bebas daripada masalah kewangan dan hutang. Langkah-langkah ini memang 100% daripada pengalaman saya sendiri dan Insya Allah ianya berkesan.

LANGKAH 1 : BERSYUKUR

Langkah ini merupakan langkah yang paling penting dan selalu tidak dipedulikan. Saya sendiri tersedar selepas menghadiri seminar keusahawanan anjuran Dr Azizan Osman. Di dalam seminar berkenaan penceramah ada menerangkan tentang pentingnya kita bersyukur. Beliau membacakan sebaris ayat di dalam Al Quran yang bermaksud seperti berikut;

Dan (ingatlah) tatakala Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.

Surah Ibrahim : 7

Di dalam ayat berkenaan, Allah SWT telah berfirman, sekiranya kita bersyukur, maka Dia akan tambahkan nikmatNya kepada kita, dan sekiranya kita kufur, maka Dia akan membalas dengan azab yang amat keras.

Pulang Dari Seminar

Setelah pulang daripada seminar berkenaan, saya sentiasa teringatkan kata-kata penceramah berkenaan. Mungkin silap saya kerana tidak mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT. Justeru selepas solat saya telah mengubah doa daripada doa A kepada doa B. Untuk makluman anda doa A adalah doa yang saya amalkan sebelum menghadiri seminar Dr Azizan Osman dan Doa B adalah doa yang saya amalkan pada hari ini.

Jadual 1 : Doa selepas solat

DOA A (DAHULU)

DOA B (SEKARANG)

  1. Ampunkan dosa
  2. Bersihkan hati
  3. Kekalkan iman
  4. Permudahkan tugas
  5. Murahkan rezeki
  6. Berikan kesihatan
  7. Bimbing anak menjadi soleh
  8. Kabulkan doa

 

  1. Bersukur dengan segala kurniaan Allah SWT
  2. Ampunkan dosa
  3. Bersihkan hati
  4. Kekalkan iman
  5. Permudahkan tugas
  6. Murahkan rezeki
  7. Berikan kesihatan
  8. Bimbing anak menjadi soleh
  9. Berikan kekayaan dunia dan akhirat
  10. Ampunkan dosa kedua ibu-bapa
  11. Kabulkan doa

Alhamdulillah, setelah mengamalkan doa B, ternyata rezeki saya banyak berubah. Rezeki mula datang mencurah-curah lebih banyak daripada sebelumnya. Ianya datang dalam pelbagai bentuk. Ada dalam bentuk peluang perniagaan, idea bisnes, peningkatan jualan, kerjasama perniagaan dan bermacam lagi. Segala-galanya sangat menakjubkan dan sukar dijelaskan dengan kata-kata.

Siapakah Pemilik Rezeki?

Apa yang berlaku kepada saya mungkin sama seperti yang diterangkan oleh penulis buku Mudahnya Menjemput Rezeki Ustaz Fathuri Salehuddin. Beliau menerangkan bahawa rezeki ini umpama sekumpulan semut. Sekiranya kita meletakkan gula di satu tempat, maka kumpulan semut pasti akan datang mengerumuninya. Pendek kata sekiranya kita berikan apa yang semut mahu, maka ia akan datang dengan sendirinya.

Begitu juga rezeki, siapakah pemilik rezeki? Jawapannya pasti Allah SWT. Jadi sekiranya kita memberikan apa yang Allah SWT mahu, maka Allah SWT akan mengurniakan rezekiNya tanpa henti.

Tahukah anda apa yang Allah SWT mahu? Ya pastinya Allah SWT mahu kita menurut segala perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Justeru marilah kita menunaikan segala perintahNya dan meninggalkan LaranganNya (peringatan untuk diri saya juga). Sebagai tambahan, cuba amalkan perkara-perkara berikut untuk membuka pintu rezeki seluas-luasnya.

1. Baca Al Quran dan fahami maknanya
2. Solat tahajjud, solat dhuha.
3. Bergaul dengan orang baik-baik dan soleh
4. Perbanyakkan berpuasa.
5. Perbanyakkan berzikir.

Mintalah Secara Spesifik

Allah SWT itu maha pemurah. Dia akan berikan apa yang kita minta. Di dalam doa A, saya meminta di murahkan rezeki. Alhamdulillah rezeki saya memang murah. Walau bagaimanapun rezeki ini wujud di dalam pelbagai bentuk. Udara yang kita hirup juga adalah rezeki.

Jadi sekiranya saya mahu kaya wang ringgit maka saya saya perlu berdoa dengan lebih spesifik. Di dalam doa B, saya berdoa semoga dikurniakan kekayaan dunia dan akhirat. Semenjak itu, nasib saya semakin berubah, jumlah pendapatan syarikat mula melonjak-lonjak naik. Wang mula masuk tidak kira masa, samada saya tidur atau celik.

Kesilapan saya dahulu adalah meminta sesuatu secara tidak spesifik. Ia umpama saya meminta sesuatu tanpa menyatakan apa yang saya mahu. Contohnya saya mahu anda membantu saya, tetapi saya tidak menyatakan bantu dari segi apa. Ia mungkin bantuan wang ringgit, tenaga, buah fikiran, masa dan sebagainya. Jadi sekiranya anda ingin meminta sesuatu dari Allah SWT, maka mintalah secara spesifik. Insya Allah anda akan dapat apa yang anda minta.

LANGKAH 2 : BELAJAR ILMU UNTUK TERIMA REZEKI

Setelah mengamalkan langkah 1, ternyata rezeki saya datang mencurah-curah. Walau bagaimanapun saya perlu ada ilmu untuk menerima rezeki yang dikurniakan. Ia bukannya turun dari langit dan saya hanya mengutipnya.

Sebagai contoh, saya menerima berpuluh-puluh permintaan daripada individu dan syarikat yang mahu melabur di dalam syarikat saya. Jumlahnya bernilai jutaan ringgit. Ianya satu rezeki yang tidak disangka-sangka.

Walau bagaimanapun saya perlu ada ilmu bagaimana hendak menguruskan rezeki yang diberikan. Saya perlu tahu bagaimana hendak mengambilnya, menguruskannya dan menggandakannya.

Ianya bukan perkara mudah dan saya perlu belajar semuanya dari A hingga Z. Sekiranya saya hanya duduk berdoa dan berharap sahaja, ia mungkin tidak berguna walaupun rezeki itu ada di depan mata. Dengan sedikit ilmu yang ada, maka saya dapat menukar peluang yang ada dalam bentuk perniagaan yang menjana keuntungan.

LANGKAH 3 : BELAJAR URUS REZEKI

Seterusnya setelah anda tahu bagaimana hendak menukar rezeki yang datang kepada perniagaan yang menjana keuntungan, maka anda perlu tahu bagaimana hendak mengembangkannya.

Sebagai contoh, selepas saya menerima pelaburan di dalam perniagaan kereta sewa, maka saya perlu menggunakan keuntungan berkenaan untuk mengembangkan lagi perniagaan saya. Saya perlu membuka lebih banyak cawangan di seluruh Malaysia.

Selain itu saya perlu belajar bagaimana mengembangkan perniagaan dengan melabur di dalam beberapa portfolio perniagaan lain seperti hartanah, syarikat penerbitan, pembelian saham dan sebagainya.

Semua itu menuntut saya untuk terus belajar dan belajar tanpa henti. Sekiranya saya bersikap sombong dan tidak mahu belajar maka perniagaan saya tidak akan ke mana. Jadi sekiranya anda ingin hidup kaya raya, maka anda perlu merendah diri dan sentiasa ada perasaan ingin belajar. Bacalah buku, pergi seminar, bergaul dengan orang yang sudah berjaya dan dapatkan mentor untuk memberi bimbingan.

LANGKAH 4 : KONGSI REZEKI

Di dalam buku tulisan seorang usahawan terkenal, Robert Kiyosaki bertajuk Retire Rich, Retire Young. Beliau mengatakan bahawa sekiranya anda ingin hidup kaya raya maka anda perlu banyak memberi. Semakin banyak anda beri maka rezeki akan datang lebih banyak lagi.

Masalah dengan orang yang menghadapi masalah kewangan dan hutang yang teruk biasanya adalah disebabkan mereka kurang memberi. Mereka sentiasa memikirkan apa yang mereka boleh dapat dan tidak memikirkan apa yang mereka boleh beri.

Contohnya apabila mereka bekerja, mereka sentiasa berkira dengan kerja yang dilakukan. Setiap tahun mereka sentiasa meminta dinaikkan gaji. Jarang ada pekerja yang berfikiran bagaimana mahu membantu meningkatkan keuntungan syarikat tanpa memikirkan imbuhan yang mereka bakal terima.

Di dalam perniagaan, saya cuba memberi sebanyak yang mungkin. Pemberian boleh jadi di dalam pelbagai bentuk. Ianya mungkin dalam bentuk zakat, sedekah, perkhidmatan yang memuaskan hati pelanggan, bayaran gaji dan bonus kepada kakitangan, keuntungan kepada rakan niaga dan pelabur. dan juga ilmu kepada mereka yang berminat ingin mengikut jejak langkah saya.

Saya yakin sekiranya saya banyak berkongsi rezeki, maka saya akan menerima lebih banyak rezeki lagi. Insya Allah.

PENUTUP

Itu merupakan antara 4 langkah yang perlu anda lakukan sekiranya ingin keluar daripada masalah kewangan dan hutang. Saya ulangi sekali langkah-langkah berkenaan.

1. Bersyukur
2. Belajar ilmu untuk terima rezeki
3. Belajar urus rezeki
4. Kongsi rezeki

Saya selalu menerima soalan bagaimana hendak mendapatkan lebih banyak pinjaman bagi menyelesaikan masalah kewangan dan hutang yang dihadapi. Pada pendapat saya, sebanyak mana sekalipun wang yang mereka terima, masalah kewangan mereka tidak akan selesai selagi mereka tidak melakukan 4 langkah di atas. Selagi mereka tidak faham bagaimana wang bekerja, selagi itulah mereka akan terus mengalami masalah kewangan sampai bila-bila. Wallahualam.

KLIK SINI untuk baca bagaimana saya selesaikan masalah hutang.

BETULKAH PENDAPATAN TINGGI, CUKAI JUGA TINGGI?

Salam hormat, terima kasih kerana meluangkan masa membaca pos ini. Betulkah semakin tinggi pendapatan kita, maka cukai juga tinggi. Bagi orang yang bekerja makan gaji perkara ini adalah benar. Ini kerana cukai dikenakan berdasarkan jumlah gaji yang diterima.

Semakin tinggi gaji anda, maka cukai pendapatan juga tinggi. Sebab itu ramai rakan-rakan yang bekerja di syarikat minyak, mengeluh apabila menerima bonus 6 bulan gaji. Ini kerana sebahagian besar pendapatan berkenaan akan dikenakan cukai. Bagi mereka yang berpendapatan RM100,000  setahun cukai pendapatan adalah 26%. Rujuk rajah di bawah.

cukai

Bagi orang bisnes, walaupun pendapatan mereka lebih tinggi, namun mereka membayar cukai lebih rendah daripada orang yang makan gaji. Ini kerana cukai hanya dikenakan berdasarkan keuntungan syarikat. Semakin tinggi keuntungan syarikat, maka cukai juga tinggi.

BAGAIMANA MEREKA MENGURANGKAN CUKAI?

Bagi orang bisnes, cukai memang tidak dapat dielakkan. Walau bagaimanapun mereka boleh mengurangkannya. Caranya adalah dengan mengurangkan keuntungan syarikat. Berikut merupakan beberapa cara yang biasa digunakan untuk mengurangkan keuntungan syarikat:

  1. Melabur kembali di dalam perniagaan kerana modal dikecualikan cukai.
  2. Membayar zakat dan bersedekah.
  3. Memberi hadiah kepada orang tertentu.
  4. Membayar pelbagai jenis elaun kepada pengarah syarikat

Sebab itu ada sesetengah syarikat tidak mencatatkan keuntungan walaupun pendapatan tahunan melebihi jutaan ringgit. Ini kerana mereka berbelanja dahulu, dan lebihan baru digunakan untuk membayar cukai. Itupun sekiranya masih ada lebihan.

Berbeza dengan orang makan gaji, mereka perlu membayar cukai dahulu dan lebihan baru boleh dibelanjakan. Justeru orang makan gaji lebih banyak membayar cukai berbanding orang bisnes. Itu merupakan kelebihan sekiranya anda menjadi orang bisnes.

Semoga artikel ini bermanfaat. Insya Allah.

BOLEHKAH SAYA MENDAPATKAN PINJAMAN WALAUPUN SUDAH KENA BLACKLISTED?

Melihat kepada persoalan di atas, saya pasti, ramai yang ingin tahu apakah jawapannya. Saya juga tidak hairan sekiranya ramai di kalangan anda yang sudah tahu jawapannya. Walau bagaimanapun, masih ada yang bertanya, bolehkah seseorang itu mendapatkan pinjaman bank walaupun sudah disenarai hitamkan? Bagi yang masih ragu-ragu, biar saya tolong menjawapnya. Berdasarkan pengalaman, jawapannya adalah tidak boleh. Ya biar saya ulangi sekali lagi tidak boleh. Jawapan berkenaan pasti sangat mengecewakan mereka yang berura-ura mahu mendapatkan pinjaman bank, namun terkandas akibat telah disenarai hitamkan. Saya percaya, ramai yang sedang mengalami masalah ini. Persoalannya, tidak adakah cara untuk mendapatkan pinjaman bank walaupun telah disenarai hitamkan?

Sebelum saya menjawabnya, mari kita perhatikan dahulu punca kepada masalah ini. Mengapakan seseorang itu disenarai hitamkan atau di dalam kata lain nama kita tersenarai di dalam rekod CTOS (Credit Tip Off Service) atau CCRIS (Central Credit Reference Information System). Sebagai makluman CTOS merupakan sistem rujukan yang digunakan oleh pihak bank untuk melihat status bankrupsi seseorang atau kes-kes tuntutan saman di mahkamah. Manakala CCRIS merupakan rekod hutang seseorang yang mencatatkan jumlah hutang, kadar faedah, caj-caj tertunggak dan rekod bayaran pada setiap pinjaman.

Secara umumnya terdapat 3 sebab mengapa nama seseorang itu boleh disenarai hitamkan. Ia boleh berlaku secara 1) sengaja, 2) tidak sengaja dan mungkin juga disebabkan 3) kesilapan teknikal.

1.  Sengaja

Perkara ini berlaku apabila seseorang itu sengaja melewat-lewatkan pembayaran ansuran pinjaman. Untuk makluman anda, sekiranya seseorang itu gagal membayar ansuran bulanan melebihi satu bulan, pihak bank masih boleh menerimanya. Namun sekiranya sudah dua bulan tertangguh, pihak bank akan mengambil langkah lebih berhati-hati dan jika mencapai tiga bulan, nama individu berkenaan akan disenarai hitamkan secara automatik. Permohonan untuk mendapatkan pinjaman baru dijamin gagal dalam tempoh 12 bulan dari tarikh mereka disenarai hitamkan. Keadaan ini akan berterusan selagi mereka tidak menyelesaikan ansuran yang tertunggak itu.

2.  Tidak Sengaja

Perkara ini boleh berlaku, apabila seseorang itu menjadi penjamin kepada ahli keluarga atau rakan baik mereka. Tanpa di sedari, orang yang dijamin gagal membuat bayaran seperti yang telah ditetapkan. Secara automatik peminjam dan penjamin akan turut disenarai hitamkan. Ada juga kes di mana seseorang itu dinamakan sebagai penjamin tanpa pengetahuannya. Dalam kes ini, maklumatnya mungkin telah disalah guna oleh individu tertentu untuk mendapatkan kelulusan pinjaman orang lain. Mangsa hanya menyedarinya apabila mendapat surat peringatan daripada bank. Bagi mengelakkan masalah ini terjadi, anda dinasihatkan supaya tidak memberikan salinan dokumen peribadi sewenang-wenangnya tanpa mengetahui tujuan ia digunakan. Selain itu, jangan sesekali menandatangani dokumen yang anda tidak tahu isi kandungannya.

3.  Kesilapan Teknikal

Perkara ini boleh berlaku apabila terdapat individu yang mempunyai nama yang sama. Selain itu, kesilapan juga boleh berlaku apabila sesuatu kes saman itu telah selesai tetapi tidak dikemaskini. Sekiranya perkara ini terjadi, maklumkan kesilapan itu kepada pihak yang berkenaan bagi mengemaskini maklumat mereka. Maklumkan kepada mereka status terkini anda beserta buktinya. Kebiasaannya mereka bersedia mengemaskini data tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Sekiranya diperhatikan kepada punca pertama dan kedua mengapa seseorang itu disenarai hitamkan, maka dapat disimpulkan bahawa ianya berlaku disebabkan kecuaian diri sendiri. Kata orang pandai berhutang tetapi tidak pandai membayar. Walaupun sesetengah pihak mengatakan mereka menjadi mangsa keadaan kerana menjadi penjamin orang lain, tetapi pada saya menyalahkan orang lain tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah. Pihak bank tidak mahu mendengar apa-apa alasan daripada anda. Pada mereka sekiranya anda berani menjadi penjamin, bermakna anda juga berani menanggung beban sekiranya orang yang dijamin gagal membayar hutang.

Bagi mereka yang sedang berhadapan dengan masalah ini, mereka perlu mencari jalan penyelesaiannya. Sikap lepas tangan dan tidak mahu ambil peduli tidak akan menyelesaikan masalah. Berbincanglah dengan pihak bank bagaimana hendak menyelesaikan masalah hutang yang anda sedang hadapi. Sekiranya buntu, anda boleh meminta orang tengah seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk membantu menyelesaikan masalah anda.

Bagi mereka yang teraniaya (menjadi penjamin tanpa pengetahuan), pada saya ini juga disebabkan kecuaian diri sendiri kerana tidak menjaga dokumen peribadi dengan sebaik-baiknya. Untuk pengetahuan anda sebelum seseorang itu menjadi penjamin, mereka perlu mengemukakan salinan kad pengenalan dan beberapa dokumen peribadi terlebih dahulu. Pihak bank akan menghubungi anda untuk pengesahan maklumat yang diberikan. Sekiranya pinjaman diluluskan, anda dikehendaki hadir ke bank dan menandatangani surat perjanjian sebagai penjamin di hadapan pegawai bank bertugas. Salinan perjanjian juga akan dihantar kepada alamat rumah untuk simpanan anda. Sekiranya anda sentiasa mengawal dokumen dan maklumat peribadi dengan baik, perkara ini tidak akan terjadi. Ingatlah sekiranya nama kita sudah direkodkan sebagai penjamin, agak sukar untuk kita menarik balik walaupun kita bersumpah tidak tahu-menahu tentang perkara berkenaan.

Berbalik kepada soalan sebelum ini, adakah cara untuk mendapatkan pinjaman bank walaupun telah disenarai hitamkan? Jawapannya senang sahaja, tetapi anda hendaklah membersihkan nama anda terlebih dahulu (selesaikan hutang yang tertunggak). Setelah itu anda berkemungkinan layak dipertimbangkan untuk mendapatkan pinjaman. Dalam soal hutang, tidak ada sesiapa pun yang boleh mengambil sikap lepas tangan. Apabila nama kita telah disenarai hitamkan, ia umpama dahi kita telah dicop sebagai orang yang tidak amanah. Cuba bayangkan sekiranya anda mempunyai wang yang banyak. Mahukah anda memberikan pinjaman kepada orang yang tidak amanah? Orang yang sukar membayar hutang? Secara logiknya, tidak ada sesiapa pun yang mahu berurusan dengan orang sebegitu. Begitu juga dengan pihak bank, mereka tidak akan memberikan pinjaman kepada orang yang culas membayar hutang. Jadi secara ringkasnya, sekiranya kita berhutang, kita harus bertanggungjawab untuk membayarnya. Jangan bermimpi hendak menambah hutang baru sekiranya hutang lama pun tidak terbayar.

Sungguhpun begitu, bagi sesetengah orang, mereka tidak pernah disenarai hitamkan, namun sukar mendapatkan pinjaman. Setiap bulan mereka membayar ansuran pinjaman tepat pada masanya. Tetapi setiap kali, mereka memohon pinjaman, ianya akan ditolak. Maka mulalah timbul perasaan tidak puas hati dan mengganggap pihak bank memilih kasih.

Sebenarnya ramai yang tidak faham. Bank sebenarnya hanya memberikan pinjaman kepada orang yang mempunyai banyak wang. Bukan kepada orang yang tidak mempunyai wang. Pelik bukan? Sekiranya kita mempunyai banyak wang, mengapa kita perlu membuat pinjaman. Namun percaya atau tidak itulah yang berlaku sejak dari dahulu lagi. Secara logiknya, sekiranya anda mempunyai banyak wang, sudah tentulah anda hanya meminjamkannya kepada orang yang mempunyai banyak wang. Pada pendapat anda lebih baik meminjamkan wang kepada orang yang mampu membayar balik pinjaman daripada memberikan pinjaman kepada orang belum tentu dapat membayarnya.

Persoalannya, bagaimanakah kita hendak menunjukkan bahawa kita mempunyai banyak wang dan mampu membayar pinjaman. Adakah kita perlu berlakon memandu kereta mewah dan memakai pakaian berjenama mahal semasa memohon pinjaman? Adakah jawatan dan taraf pendidikan kita yang tinggi dapat menyokong permohonan kita? Oh tidak, semua itu tidak menjamin permohonan kita akan diluluskan. Pihak bank tidak memandang semua itu.

Rahsia Senang Mendapat Pinjaman

Sebenarnya terdapat kaedah yang boleh digunakan untuk menunjukkan kita mempunyai banyak wang dan mampu membayar balik pinjaman bank. Berdasarkan pengalaman, sekiranya anda bijak menggunakan penyata akaun semasa, peluang pinjaman anda lulus juga lebih tinggi. Penyata akaun semasa boleh digunakan sebagai dokumen sokongan yang menunjukkan kita mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk membayar balik pinjaman.

Sebagai contoh, sekiranya anda mempunyai pendapatan sebanyak RM2,000 sebulan. Saya percaya pihak bank sukar untuk memberikan pinjaman sekiranya komitmen hutang anda juga sudah sampai ke paras hidung (ansuran pinjaman hampir mencecah 70 peratus daripada gaji anda). Tetapi sekiranya anda memasukkan wang itu di dalam akaun semasa dan melakukan transaksi ulangan sebanyak 3 kali. Pada akhir bulan pihak bank akan menghantar penyata akaun semasa yang menunjukkan bahawa anda mempunyai wang masuk sebanyak RM6,000 sebulan (RM2,000 x 3 kali transaksi ulangan = RM6,000). Walaupun anda telah menggunakan kesemua wang di dalam akaun semasa untuk perbelanjaan sendiri, namun pihak bank masih beranggapan bahawa pendapatan anda adalah sebanyak RM6,000 sebulan (sebenarnya RM2,000 sahaja). Jadi mereka menganggap bahawa anda mempunyai wang yang cukup dan pasti mampu membayar balik pinjaman yang diberikan.

Sungguhpun teknik ini nampak mudah, namun ia tidak boleh disalah gunakan. Sekiranya pinjaman digunakan untuk tujuan yang betul, maka ia boleh menambahkan kekayaan kita. Namun sekiranya kita menyalahgunakan pinjaman yang diberikan, saya pasti ia akan menyusahkan hidup kita. Untuk maklumat lanjut sila dapatkan buku Rahsia Senang Mendapat Pinjaman terbitan True Wealth Sdn Bhd. Buku ini menerangkan secara terperinci bagaimana menggunakan akaun semasa untuk mendapatkan pinjaman samada untuk membeli rumah idaman ataupun untuk mengembangkan perniagaan. Buku ini boleh didapati di semua kedai buku terpilih di seluruh Malaysia. Buku ini juga boleh dibeli di internet melalui laman web www.rahsiapinjaman.com.

Mengenai Penulis

Penulis merupakan usahawan sepenuh masa di Syarikatnya Green Matrix Enterprise Travel & Tours Sdn Bhd. Beliau merupakan penulis buku Rahsia Senang Mendapat Pinjaman. Di dalam buku berkenaan beliau turut berkongsi pengalaman bagaimana beliau mendapatkan pinjaman bank bernilai jutaan ringgit menggunakan sokongan akaun semasa. Beliau boleh dihubungi melalui email info@wahiabdrashid.com atau melalui rangkaian sosial Facebook di www.facebook.com/wahiabdulrashid.

AKAUN SEMASA VS AKAUN SIMPANAN

Soalan

Salam saudara Wahi, saya sudah memiliki buku Rahsia Senang Mendapat Pinjaman dan telah habis membacanya. Saya teruja dengan isi yang saudara kongsikan dalam buku tersebut. Cuma saya ada sedikit persoalan disini. Kaedah yang digunakan ialah dengan mengeksploitasi akaun semasa peribadi. Kenapa kita tak boleh menggunakan kaedah yang sama dengan menggunakan akaun simpanan peribadi. Adakah ia berbeza dari segi pandangan pihak bank terhadap kedua-dua akaun tersebut? Sila beri tunjuk ajar dan pandangan saudara berdasarkan pengalaman saudara. Terima kasih.

Jawapan

Kaedah berkenaan boleh juga digunakan untuk akaun simpanan (kalau duit dalam tu ada banyak), walau bagaimanapun, memiliki akaun semasa bermakna kita mempunyai kredibiliti yang lebih tinggi. Bukan semua orang boleh membuka akaun semasa kerana depositnya yang agak tinggi. Kedua memiliki akaun semasa bermakna kita mempunyai perniagaan (pendapatan boleh bertambah sekiranya perniagaan maju). Ketiga sebelum akaun semasa diluluskan pihak bank akan menyemak latarbelakang kita. Sebagai contoh sekiranya kita mempunyai hutang tertunggak di courts mammoth, permohonan akan di tolak. Seorang rakan saya mempunyai kes tuntutan di mahkamah kerana tidak membayar bil telefon juga tidak dapat membuka akaun semasa. Ini berlainan dengan, pemegang akaun simpanan kerana syarat membuka akaun simpanan lebih longgar. Pihak bank juga mempunyai sistem pemarkahan tertentu, pemegang akaun semasa mempunyai markah yang lebih tinggi berbanding akaun simpanan. Markah yang lebih tinggi bermakna peluang mendapat pinjaman juga tinggi. Markah yang rendah bemakna anda sukar mendapat pinjaman atau perlu mengemukakan cagaran atau penjamin. – Harap menjawab soalan