Wahi Abd Rashid

Category Archives: Pengurusan Kewangan

BAGAIMANA SAYA SELESAIKAN MASALAH KEWANGAN

Picture57

Skrin shot di atas merupakan salah satu mesej yang saya dapat melalui email. Menurut penulis beliau ingin meminjam wang daripada saya untuk membayar hutang-hutangnya.

Tersentap juga saya menerima email berkenaan. Bukan apa, saya langsung tak kenal penulis berkenaan. Macamana dia boleh sesuka hati hantar email minta pinjam duit? Pelik betul.

Email berkenaan bukan yang pertama yang saya terima. Ada juga beberapa orang yang menghantar email dan mesej mahu meminjam wang. Mudahnya cara mereka menyelesaikan masalah kewangan. Tak ada duit, buat pinjaman.

Baiklah artikel kali ini bukan tujuan untuk mempersenda sesiapa, cuma saya nak kongsi pengalaman bagaimana saya dan isteri menyelesaikan masalah kewangan yang kami hadapi.

BEGINI CERITANYA

Pada bulan march 2013, kami telah berjaya membeli sebuah rumah berharga RM680K. Kami terpaksa membelanjakan hampir RM145K membayar perkara-perkara berikut;

Perkara

Kos (RM)

Bayaran muka

68,000

Yuran guaman

25,000

Renovasi pejabat di rumah (SOHO)

10,000

Pemasangan kipas dan lampu

6,500

Pasang autogate

3,500

Kabinet dapur

25,000

Dapur & Kitchen Hood

2,500

Perabot rumah dan pejabat

5,000

Jumlah

145,500

Picture58

Rumah baru yang berjaya dibeli.

Banyak jugalah duit habis, boleh dikatakan simpanan kami habis licin untuk membayar kos-kos di atas (he he kantoi, kami sebenarnya bukan kaya sangat pun). Alhamdulillah semua kos di atas dibayar secara tunai.

Untuk makluman anda, pembelian rumah berkenaan bukan untuk menunjuk-nunjuk. Ia adalah untuk memindahkan operasi perniagaan kereta sewa kami yang semakin membesar.

Saya rasakan rumah lama terlalu crowded dan tidak lagi selesa untuk didiami oleh 9 orang ahli keluarga (saya tinggal bersama ibu bapa mertua dan 2 adik ipar).

Picture59

Rumah lama yang kami tinggal  dahulu

Seperti yang saya nyatakan di atas “duit simpanan kami habis licin membayar kos pembelian rumah baru”. Apabila kami membuat keputusan memindahkan operasi perniagaan kereta sewa di rumah baru, terdapat beberapa kos tambahan lain yang terpaksa kami tanggung. Berikut merupakan sebahagian daripadanya;

Perkara

Kos (RM)

Tempat letak kereta (simen lantai)

25,000

Bengkel servis kereta belakang rumah

10,000

Tinted cermin pejabat (bilik terlalu panas)

3,500

Jumlah 38,500

Secara keseluruhannya kami terpaksa membelanjakan wang sebanyak RM38.5k untuk membiayai kos extra tersebut. Alhamdulillah semuanya berjaya dibayar secara tunai.

DILANDA BANJIR KILAT

Setelah berhabis ratusan ribu, kami diuji pula dengan banjir kilat. Lebih kurang 16 buah kereta sewa kami ditenggelami air. Mujur air hanya naik separas lutut. Kebanyakan kereta mengalami kerosakan Electronic Central Unit (ECU) dan kos penggantian alat berkenaan lebih kurang RM15K. Alhamdulillah, kami berjaya membayar kos kerosakan berkenaan secara tunai.

Dalam kejadian banjir berkenaan, apa yang menyedihkan saya adalah stok buku dan DVD jualan saya habis musnah. Kos kerugian lebih kurang RM5K. Alhamdulillah, saya berjaya membeli semula stok-stok berkenaan secara tunai.

NAIK TARAF LAMAN WEB SYARIKAT

Walaupun kami dilanda musibah, namun kami bernasib baik kerana banyak pihak yang berminat untuk menyertai Green Matrix Car Rental melalui konsep licensing. Walau bagaimanapun kami tidak dapat menerima permohonan baru selagi kami tidak menyiapkan platform laman web untuk semua rakan niaga.

Ini kerana saya dapati setiap rakan niaga cenderung untuk membina laman web sendiri menggunakan jenama Green Matrix Car Rental. Masalah ini akan menyebabkan pelanggan akan keliru kerana terlalu banyak laman web Green Matrix Car Rental di internet.

Bagi menyelesaikan masalah berkenaan saya perlu mengupah seorang programmer untuk membina laman web khas untuk syarikat saya. Selain itu saya perlu mencetak dokumen sewa untuk semua rakan niaga yang ingin menyertai kami. Kos keseluruhan lebih kurang RM15k.

Sudahlah kerugian puluhan ribu ringgit  akibat banjir, terpaksa pula keluar modal untuk bantu lebih ramai usahawan kereta sewa sertai Green Matrix Car Rental. Alhamdulillah walaupun sukar, namun kos berkenaan berjaya di bayar secara tunai.

PERCUTIAN KELUARGA

Pada bulan November, saya dan isteri bercadang untuk membuat road tour untuk menziarahi rakan niaga Green Matrix Car Rental di Semenanjung Malaysia. Sambil berziarah, kami mengambil keputusan untuk bercuti bersama keluarga. Kos percutian lebih kurang RM10k dan Alhamdulillah semuanya dibayar secara tunai.

Pada bulan 2, saya dan isteri ada mengikuti Kongres Ainon Business School (ABS) di Kuala Lumpur. Kasihan nak tinggalkan anak-anak maka kami ambil keputusan untuk membawa bersama mereka. Memandangkan saya dan isteri akan mengikuti Kongres selama 2 hari, maka saya terpaksa membawa baby sitter untuk menjaga anak-anak kami di bilik hotel. Kos percutian lebih kurang RM10k. Alhamdulillah kami berjaya membayarnya secara tunai.

BAGAIMANA KAMI LAKUKAN?

Sekiranya diperhatikan setelah berpindah ke rumah baru, dalam masa 1 tahun kami telah berbelanja lebih kurang RM239,000 secara tunai. Saya juga agak hairan bagaimana kami boleh mencari duit sebanyak itu.

Walaupun bisnes kereta sewa kami semakin berkembang, namun margin keuntungan tidak banyak berbanding tahun sebelumnya. Ini mungkin kerana persaingan yang semakin sengit di kawasan kami beroperasi. Bilangan kereta sewa di cawangan saya di Bintulu juga sudah dikurangkan daripada 70 unit kepada 40 unit.

Apa yang saya perhatikan, setiap kali kami menghadapi cabaran kewangan soalan yang akan keluar dalam kepala kami adalah “How can we afford it?” atau “Bagaimana kami mampu membiayainya?”.

Setiap kali kami bertanya soalan berkenaan, maka secara automatik otak kami akan mula ligat berfikir bagaimana cara untuk mendapatkan wang untuk membiayai apa yang kami mahu.

Sebagai contoh semasa hendak membuat road tour di seluruh Semenanjung Malaysia pada penghujung tahun 2013, kami memang tidak ada peruntukan untuk pergi bercuti. Maklumlah duit dah banyak habis untuk renovasi rumah.

Apa yang saya lakukan adalah, seminggu sebelum bertolak, saya mula menulis sebuah ebook bertajuk Rahsia Pinjaman Rumah. Alhamdulillah setelah seminggu bersengkang mata, akhirnya ebook berkenaan berjaya disiapkan. Setelah mendapat feed back yang positif daripada rakan-rakan, maka saya melancarkan ebook berkenaan.

Ecover Nurul Luvleey

Ebook Rahsia Pinjaman Rumah

Dalam masa yang singkat ebook berkenaan berjaya dijual sebanyak 250 unit dan menjana pendapatan sehingga RM7.5k. Wang berkenaan cukup untuk menampung sebahagian besar kos road tour berkenaan dan selebihnya ditanggung oleh syarikat kereta sewa kami.

Seterusnya semasa hendak membina laman web baru syarikat, kami melancarkan pra pendaftaran rakan niaga dan berjaya mengutip yuran licensing sehingga RM34k. Kos berkenaan cukup untuk membiayai pembinaan laman web baru dan cetakan dokumen sewa. Sebahagian lagi digunakan untuk menampung kerugian akibat banjir.

Bagi membeli semula stok buku dan DVD saya yang musnah akibat banjir, saya membuat pra pelancaran DVD Panduan Bisnes Kereta Sewa (Edisi Baru). Saya mengambil masa 20 hari untuk menyiapkan pakej DVD berkenaan. Dalam masa yang singkat saya berjaya menjual DVD dan buku-buku dan hasil jualan mencecah RM25K.

Begitulah antara cara kami menghadapi cabaran kewangan. Kami tidak akan sesekali mengambil jalan mudah seperti membuat pinjaman untuk menyelesaikan masalah kewangan yang kami hadapi.

Sungguhpun begitu, ia bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kesabaran dan disiplin yang tinggi. Namun setiap kali kami berjaya menyelesaikan masalah kewangan yang kami hadapi, masalah seterusnya menjadi lebih mudah.

APA YANG PERLU ANDA LAKUKAN?

Sekiranya anda menghadapi masalah kewangan tidak kira samada masalah hutang, ingin memiliki sesuatu atau menghadapi musibah, elakkan mencari jalan penyelesaian mudah seperti membuat lebih banyak hutang.

Cuba hadapi masalah berkenaan. Cabar diri sendiri bagaimana anda mampu menyelesaikan masalah berkenaan. Ianya bukan mudah, namun sekiranya anda berjaya menyelesaikan masalah berkenaan, wang bukan lagi satu masalah.

Saya percaya, sekiranya anda tahu bagaimana menghasilkan wang tanpa wang, anda tidak perlukan bank atau sesiapa untuk mendapatkan apa yang anda mahu.

BAGAIMANA SAYA SELESAIKAN MASALAH HUTANG?

Picture1
Salam hormat

Terima kasih kerana meluangkan masa membaca artikel ini. Beberapa minggu yang lalu saya ada menerima satu email. Di dalam email berkenaan penulis meluahkan perasaannya. Beliau tertekan kerana sukar mendapatkan pinjaman bank. Kalau tak silap pinjaman itu mahu digunakan untuk membayar hutangnya yang berjumlah RM25,000.

Sebenarnya, email berkenaan adalah antara email favourite yang saya selalu terima. Kebanyakannya akan mengadu tentang masalah hutang yang bertingkek-tingkek. Sebagai jalan penyelesaian mereka mahu membuat pinjaman bank untuk membayar hutang lama. Biasanya mereka akan terkandas kerana rekod pembayaran hutang lama yang kurang elok.

Penat juga nak jawab soalan-soalan berkenaan satu persatu. Jadi saya ambil keputusan untuk tulis artikel ini. Saya harap ianya dapat menjawab semua soalan yang saya selalu terima berkenaan hal ini.

KENALI HUTANG ANDA

Menurut Garrent Sutton iaitu penulis buku The ABCs of Getting Out of Debt secara umumnya hutang ini boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu hutang sihat dan hutang tidak sihat. Hutang sihat akan menjadikan anda lebih kaya, manakala hutang tidak sihat akan menjadikan anda semakin miskin.

Jadi sekiranya anda mahu hidup kaya, maka anda perlu fokus kepada hutang sihat. Contoh hutang sihat adalah dengan menggunakan pinjaman untuk menambah aset, mengembangkan perniagaan, pembelian saham dan sebagainya. Tidak kira apa pun yang anda beli, pastikan ianya boleh menjana lebih banyak wang masuk ke dalam poket anda.

KENAPA SUKAR BUAT HUTANG SIHAT?

Untuk makluman anda, hutang sihat bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi. Menurut Garrent Sutton lagi, kebiasaannya pihak bank lebih mudah memberi pinjaman untuk membiayai hutang tidak sihat berbanding hutang sihat. Contohnya anda lebih mudah mendapat pinjaman untuk membeli kereta, membeli motosikal berkuasa tinggi, memiliki kad kredit, pinjaman peribadi, skim ansuran mudah dan sebagainya.

Sebaliknya sekiranya anda cuba memohon pinjaman untuk mengembangkan perniagaan atau membeli hartanah untuk pelaburan ianya amat sukar. Jadi tidak hairanlah mengapa ramai yang memilih untuk membuat pinjaman untuk membiayai hutang tidak sihat.

Seterusnya menurut Garret Sutton lagi terlalu banyak hutang tidak sihat biasanya akan lebih menyukarkan peminjam mendapatkan pinjaman untuk membiayai hutang sihat. Contohnya sekiranya anda mempunyai banyak hutang kad kredit, pinjaman kereta, pinjaman peribadi dan sebagainya, kemungkinan besar anda sukar mendapatkan pinjaman untuk mendapatkan modal perniagaan dan juga pembelian hartanah untuk pelaburan.

Justeru tidak hairanlah kebanyakan mereka yang menghantar email kepada saya sukar mendapatkan pinjaman kerana mereka mempunyai banyak hutang tidak sihat. Keadaan bertambah sukar, apabila mereka gagal menguruskan hutang tidak sihat berkenaan dengan baik. Dalam erti kata lain tidak membayar tepat pada masanya.

KENAPA RAMAI TERLIBAT HUTANG TIDAK SIHAT?

Saya berpendapat, tiada siapa yang mahu terlibat dengan hutang tidak sihat. Namun realitinya ramai yang terperangkap dengan hutang berkenaan. Semuanya berpunca daripada kesilapan samada secara sengaja ataupun tidak.

Kesilapan secara sengaja biasanya adalah disebabkan kejahilan menguruskan wang. Contohnya ada rakan yang membuat pinjaman peribadi untuk bercuti ke luar negara. Saya tidak tahu apa tujuannya, mungkin ingin menunjuk-nunjuk kepada rakan bahawa mereka mempunyai kehidupan yang hebat seperti orang kaya.

Kesilapan secara tidak sengaja pula biasanya di sebabkan kesilapan membuat pelaburan yang merugikan. Contohnya anda terbeli rumah terbengkalai yang gagal disiapkan oleh pemaju. Mahu tidak mahu anda terpaksa membayar hutang berkenaan walaupun projek berkenaan terus terbengkalai. Apabila memiliki hutang tidak sihat wang terus mengalir keluar dari poket anda dari masa ke semasa.

PENGALAMAN SAYA

Saya juga tidak terkecuali melakukan kesilapan. Kesilapan berkenaan mengakibatkan saya terpaksa menanggung hutang yang tidak sihat. Berikut merupakan antara hutang tidak sihat yang terpaksa saya tanggung;

Perkara

Kesilapan

Jumlah (RM)

Ansuran Bulanan (RM)

Jangkamasa Tamat

1 Unit Kereta 4WD Dicuri dan gagal buat tuntutan insuran kerana silap buat laporan polis.

50,000

350

2 tahun

1 Unit Kereta Sedan Dicuri dan gagal buat tuntutan insuran kerana silap buat laporan polis.

35,000

700

2.5 tahun

Biasiswa Pendidikan Langgar kontrak tidak mahu kembali bekerja dengan majikan lama.

160,000

500

25 tahun

JUMLAH

245,000

1,550

Kalau nak diikutkan banyak lagi hutang tidak sihat yang terpaksa saya tanggung. Jumlahnya mencecah RM0.5 Juta. Namun syukur alhamdulillah, walaupun perit namun sebahagian (RM255,000) telah berjaya diselesaikan perlahan-lahan.

BELAJAR DARI KESILAPAN

Menurut Robert Kiyosaki iaitu penulis terkenal buku Rich Dad Poor Dad, melakukan kesilapan adalah sesuatu yang bagus. Apa yang penting kita belajar daripada kesilapan lalu dan cuba untuk tidak mengulanginya.

Dalam kes saya, semasa mula terlibat di dalam perniagaan, saya banyak melakukan kesilapan. Semuanya berpunca daripada kejahilan saya sendiri. Daripada kesilapan-kesilapan berkenaan saya jadikan sebagai pengajaran.

Pada hari ini, saya masih melakukan kesilapan, namun kesilapan sekarang tidak seteruk seperti dahulu. Sekarang saya lebih berhati-hati.

BAGAIMANA SAYA MEMBAYAR HUTANG TIDAK SIHAT?

Saya tidak pernah cuba memohon pinjaman untuk membayar hutang tidak sihat berkenaan. Saya pasti tidak akan belajar apa-apa sekiranya mengambil jalan mudah dengan menggunakan kaedah korek lubang, tutup lubang. Apa yang pasti saya mungkin terus melakukan kesilapan dan akhirnya terperangkap dengan hutang yang semakin meningkat.

Justeru saya memilih jalan yang panjang dan sukar tetapi banyak memberi pengajaran berguna kepada saya. Berikut merupakan antara jalan yang saya ambil untuk membayar hutang tidak sihat berkenaan.

1. HIDUP DI BAWAH KEMAMPUAN

Saya cuba hidup di bawah kemampuan. Walaupun syarikat saya menjana pendapatan yang agak lumayan, namun saya cuba hidup sesederhana yang mungkin. Kereta rasmi keluarga saya adalah Perodua Kembara 1.3 (A) tahun 2001. Kereta berkenan di beli dari kedai kereta terpakai pada tahun 2007 dengan bayaran ansuran sebanyak RM255 sebulan selama 8 tahun.

Selain itu, keluarga saya tidak membazir untuk perkara-perkara yang tidak menjana wang. Kami hanya membeli pakaian yang biasa dan tidak menggunakan peralatan kosmetik yang mahal. Sebagai contoh pewangi badan yang kami gunakan adalah dari jenis biasa berharga RM20 hingga RM30 sebotol.

Saya mungkin berbelanja lebih untuk tinggal di rumah yang agak besar. Secara purata saya membelanjakan lebih RM4,000 untuk membayar ansuran bank dan bil-bil utiliti  setiap bulan. Walau bagaimanapun rumah ini digunakan untuk menjalankan sebahagian besar operasi perniagaan keluarga.

Pendapatan daripada perniagaan biasanya lebih besar daripada kos menduduki rumah ini dan syukur Alhamdulillah boleh menampung overhead untuk tinggal di rumah sebegini.

2. TAMBAH PENDAPATAN

Seterusnya saya cuba mempelbagaikan sumber pendapatan. Antaranya adalah seperti berikut;

A. MENULIS BUKU

Saya bermula dengan menulis buku. Buku pertama yang saya tulis adalah Rahsia Senang Mendapat Pinjaman. Buku berkenaan diterbitkan pada tahun 2011. Ianya menerangkan bagaimana saya berjaya mendapatkan pinjaman bank bernilai RM2.7 Juta untuk membangunkan bisnes kereta sewa.

Picture2

Saya akan menerima bayaran royalti sebanyak RM1.99 untuk setiap buku yang berjaya dijual oleh penerbit. Kalau nak diikutkan kutipan royalti tidaklah banyak sangat. Namun saya dapati ia mula menaikkan nama dan jenama syarikat saya.

B. KHIDMAT BIMBINGAN

Selepas buku Rahsia Senang Mendapat Pinjaman diterbitkan, saya dihubungi oleh seorang wanita dari Sabah. Beliau meminta saya mengajarnya bagaimana untuk membangunkan bisnes kereta sewa yang bermula dari kosong. Mungkin beliau yakin dengan saya setelah membaca buku Rahsia Senang Mendapat Pinjaman.

Saya bersetuju dan memintanya bertanya apa sahaja soalan berkaitan bisnes kereta sewa. Saya akan menjawab dalam bentuk rakaman video dan menghantarnya melalui email kepada beliau.

Saya mengenakan sedikit yuran untuk bimbingan selama 3 bulan. Syukur alhamdulillah wanita berkenaan kini sudah menjadi usahawan kereta sewa yang berjaya di Tawau, Sabah.

Seterusnya saya dihubungi oleh seorang lelaki yang turut mahu belajar bisnes kereta sewa. Saya turut mengenakan bayaran untuk sesi bimbingan selama 3 bulan. Kali ini kerja saya lebih mudah kerana bahan-bahan sudah ada. Alhamdulillah hasil bimbingan saya beliau kini sudah berjaya menjadi usahawan kereta sewa di Kuala Lumpur.

C. PENERBITAN DVD

Kejayaan mereka mula menjadi buah mulut beberapa orang yang berminat menjadi usahawan kereta sewa. Saya mula menerima permintaan yang mahu saya mengajar bagaimana hendak membangunkan bisnes kereta sewa.

Memandangkan bilangan yang berminat semakin ramai, maka saya mempakejkan segala ilmu yang saya ada di dalam DVD Panduan Bisnes Kereta Sewa. Sekiranya mereka memerlukan bantuan atau ada soalan, boleh bertanya di dalam support group yang saya sediakan.

dvda1
Syukur alhamdulillah ramai yang sudah berjaya menjadi usahawan kereta sewa hasil daripada DVD berkenaan. Ada yang sudah berjaya memiliki hampir 50 unit kereta sewa dalam masa 2 tahun. DVD berkenaan juga berjaya dijual dengan kutipan melebihi RM100,000.

D. LICENSING

Di kalangan pembeli DVD berkenaan, ada yang berminat bekerjasama dengan syarikat saya. Terdapat lebih kurang 45 orang yang berminat dan saya menawarkan kerjasama melalui program licensing.

Di dalam program berkenaan saya akan sama-sama membantu membangunkan bisnes kereta sewa mereka. Mereka juga diberikan kemudahan di syarikat seperti sistem perniagaan, lesen, dokumen rasmi syarikat, baju korporat, laman web, bimbingan yang berterusan. Saya berjaya mengutip yuran licensing lebih RM100,000.

Setiap bulan mereka perlu membayar royalti sebanyak 3% daripada kutipan sewa. Secara purata kutipan royalti licensing mencecah sehingga 4 angka sebulan.

E. BUKU KEDUA

Sungguhpun pendapatan di atas agak selesa, namun saya tidak terus berdiam diri. Saya terus cuba menambah pelbagai sumber pendapatan. Pada tahun 2012 saya berjaya menulis sebuah buku kedua bertajuk Hijrah Menjadi Usahawan. Buku berkenaan menerangkan bagaimana saya berjaya berhijrah daripada seorang pekerja yang selalu kesempitan wang dan akhirnya menjadi usahawan dengan pendapatan sehingga 6 angka sebulan.

hijrah-menjadi-usahawan-moresales-1210-16-moresales@3

Royalti buku berkenaan adalah RM2.79 senaskah. Setakat ini kutipan royalti tertinggi yang saya pernah terima adalah RM1,500 untuk setiap 6 bulan. Jumlahnya tidak besar, namun ianya sudah cukup bagus kerana saya memperolehinya tanpa perlu bekerja keras.

F. PELABURAN HARTANAH

Pada tahun 2013, saya cuba menambah pendapatan melalui kutipan rumah sewa. Setakat ini saya sudah memiliki 2 buah rumah sewa yang menjana pendapatan bersih sebanyak RM1500 sebulan.

G. PENULISAN EBOOK

Pengalaman membeli beberapa buah rumah itu saya kongsikan di dalam sebuah ebook Rahsia Pinjaman Rumah. Ebook berkenaan menerangkan bagaimana saya berjaya membeli 4 buah rumah berharga RM1.22 juta dalam masa 5 tahun. Hasil jualan ebook berkenaan setakat ini sudah mencecah RM50,000 sejak ia dilancarkan.

Ecover Nurul Luvleey

H. AFFILIATE

Selain itu saya juga berjaya menjana pendapatan daripada program affiliates. Affiliate merupakan satu sistem di mana kita mendaftar sebagai agen dan membantu menjual produk orang lain. Sekiranya agen affiliate berjaya menghasilkan jualan, mereka akan dibayar komisen  sehingga 50% daripada harga jualan.

Komisen

Komisen daripada program affiliate Sistem Jualan Pro 2.0

Sungguhpun begitu berdasarkan pengalaman saya sendiri, tanpa ilmu yang betul seseorang itu agak sukar menjana pendapatan daripada sistem affiliates. Justeru saya mencadangkan anda mendapatkan Sistem Jualan Pro 2.0 untuk belajar bagaimana menjana wang daripada sistem affiliate.

Sistem berkenaan merupakan panduan yang disediakan oleh pakar affiliate terkenal di Malaysia iaitu tuan Rahman Basri. Panduan berkenaan menerangkan bagaimana beliau berjaya menjana pendapatan sehingga 5 angka sebulan melalui sistem affiliate.

TIP BUAT DUIT MELALUI AFFILIATE

Berikut merupakan sedikit tip yang saya gunakan untuk menjana wang daripada sistem affiliates.

  1. Pastikan produk yang hendak dipromosikan itu berkualiti.
  2. Promosikan produk berkenaan sekiranya anda berpuashati.
  3. Promosikan produk berkenaan melalui facebook (pastikan jumlah friend list 1000 ke atas), fanpage (iklan berbayar), laman web dan mailing list.
  4. Elakkan memaksa pelanggan membeli produk berkenaan secara agresif. Gunakan kaedah didik dan jual. Anda boleh memberikan pendapat tentang produk berkenaan atau menceritakan bagaimana produk berkenaan boleh membantu memudahkan hidup anda.

Sekiranya anda ingin serius menjana wang melalui affiliate saya mencadangkan anda belajar melalui Sistem Jualan Pro 2.0. Saya sendiri berjaya menjana pendapatan lebih RM1,000 sebulan daripada ilmu yang beliau kongsikan.

WANG BUKAN LAGI SATU MASALAH

Begitulah serba sedikit panduan bagaimana saya menyelesaikan masalah hutang yang tidak sihat. Hasil daripada pendapatan berkenaan, saya berjaya membayar hutang tidak sihat saya sedikit demi sedikit. Ianya tidak mudah kerana memerlukan banyak masa, kesabaran dan disiplin yang tinggi.

Walaupun ia agak sukar, namun sangat berbaloi kerana daripada pengalaman berkenaan saya belajar bagaimana menjana wang tanpa memerlukan wang. Kini wang bukan lagi satu masalah. Pada saya sekiranya anda sabar, ingin belajar dan sentiasa berusaha, Insya Allah anda tidak akan menghadapi masalah kewangan lagi. Pendek kata, kalau anda pandai mencetak wang sendiri, anda tidak memerlukan bank untuk meminjam.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat. Insya Allah.

Analytic Code