Wahi Abd Rashid

Category Archives: Hijrah Menjadi Usahawan

TIP MEMILIH BIDANG PERNIAGAAN

Picture19

Assalamualaikum, skrin shot di atas merupakan salah satu mesej yang saya terima daripada pembaca buku Hijrah Menjadi Usahawan. Menurut pembaca berkenaan, beliau sangat teruja untuk memulakan perniagaan selepas membaca buku berkenaan. Walau bagaimanapun beliau tidak tahu hendak memulakan bisnes apa. 

Menurutnya, kalau boleh beliau tidak mahu memulakan bisnes yang sudah orang lain buat. Beliau mahu memulakan bisnes baru, bisnes yang tidak banyak pesaing. Sungguhpun begitu beliau tidak pasti dengan ideanya. Justeru beliau meminta pendapat saya.

Ini merupakan pendapat saya.

  • Sekiranya beliau ingin memulakan perniagaan, tidak semestinya beliau perlu memilih perniagaan yang belum pernah orang lain buat. Perniagaan baru, mungkin bagus kerana kurang persaingan. Namun perniagaan baru biasanya memakan masa kerana beliau perlu membangunkan produk atau perkhidmatan yang belum tentu mendapat sambutan.
  • Pada saya sebolehnya mulakan perniagaan berdasarkan minat dan kemahiran yang beliau ada. Tidak kisah walaupun perniagaan berkenaan sudah ada orang lain buat. Memulakan bisnes berdasarkan minat dan kemahiran penting kerana beliau akan lebih fokus. Orang putih kata “passion“. Apabila kita fokus, kita akan tetap melakukannya walaupun perniagaan berkenaan sedang naik atau turun.
  • Seterusnya elakkan terlalu fokus pada duit. Cuba fokus bagaimana menggunakan minat dan kemahiran yang beliau ada untuk membantu orang lain atau pelanggan. Beri dahulu, dan Insya Allah wang akan datang kemudian
  • Apabila kita gembira melakukan sesuatu yang kita suka, sudah tentu kita akan melakukan sebaik mungkin. Pelanggan juga sudah tentu gembira dan berpuashati. Seterusnya mereka pasti akan mempromosikan perniagaan kita kepada orang lain. Jadi tidak timbul isu tentang persaingan.
  • Selagi kita memberikan perkhidmatan yang terbaik, bisnes kita tetap akan bertahan. Sebaliknya sekiranya kita melakukan bisnes kerana ikut-ikutan dan mengejar keuntungan semata-mata, saya pasti apabila perniagaan berkenaan menghadapi masalah, kita pasti akan meninggalkan bisnes berkenaan dan mencari peluang perniagaan yang baru. Proses berkenaan akan berulang dari satu bisnes ke bisnes yang lain.

Video berikut merupakan penerangan saya berkenaan tip-tip di atas.

 

4 LANGKAH BEBAS HUTANG

Assalamualaikum

Terima kasih kerana meluangkan masa membaca artikel ini. Sejak kebelakangan ini hampir setiap hari saya menerima email dan mesej yang meminta nasihat bagaimana untuk keluar daripada masalah kewangan dan hutang.

Soalan-soalan yang diterima menimbulkan tanda tanya kepada saya. Apakah jawapan terbaik yang boleh saya berikan? Saya yakin setiap orang mempunyai masalah kewangan yang berbeza. Jadi cara penyelesaian masalah juga mungkin berbeza.

Sungguhpun begitu, daripada kes-kes yang saya terima ada 4 langkah penting yang ramai yang terlepas pandang. Justeru izinkan saya berkongsi 4 Langkah penting yang perlu dilakukan sekiranya anda ingin bebas daripada masalah kewangan dan hutang. Langkah-langkah ini memang 100% daripada pengalaman saya sendiri dan Insya Allah ianya berkesan.

LANGKAH 1 : BERSYUKUR

Langkah ini merupakan langkah yang paling penting dan selalu tidak dipedulikan. Saya sendiri tersedar selepas menghadiri seminar keusahawanan anjuran Dr Azizan Osman. Di dalam seminar berkenaan penceramah ada menerangkan tentang pentingnya kita bersyukur. Beliau membacakan sebaris ayat di dalam Al Quran yang bermaksud seperti berikut;

Dan (ingatlah) tatakala Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.

Surah Ibrahim : 7

Di dalam ayat berkenaan, Allah SWT telah berfirman, sekiranya kita bersyukur, maka Dia akan tambahkan nikmatNya kepada kita, dan sekiranya kita kufur, maka Dia akan membalas dengan azab yang amat keras.

Pulang Dari Seminar

Setelah pulang daripada seminar berkenaan, saya sentiasa teringatkan kata-kata penceramah berkenaan. Mungkin silap saya kerana tidak mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT. Justeru selepas solat saya telah mengubah doa daripada doa A kepada doa B. Untuk makluman anda doa A adalah doa yang saya amalkan sebelum menghadiri seminar Dr Azizan Osman dan Doa B adalah doa yang saya amalkan pada hari ini.

Jadual 1 : Doa selepas solat

DOA A (DAHULU)

DOA B (SEKARANG)

  1. Ampunkan dosa
  2. Bersihkan hati
  3. Kekalkan iman
  4. Permudahkan tugas
  5. Murahkan rezeki
  6. Berikan kesihatan
  7. Bimbing anak menjadi soleh
  8. Kabulkan doa

 

  1. Bersukur dengan segala kurniaan Allah SWT
  2. Ampunkan dosa
  3. Bersihkan hati
  4. Kekalkan iman
  5. Permudahkan tugas
  6. Murahkan rezeki
  7. Berikan kesihatan
  8. Bimbing anak menjadi soleh
  9. Berikan kekayaan dunia dan akhirat
  10. Ampunkan dosa kedua ibu-bapa
  11. Kabulkan doa

Alhamdulillah, setelah mengamalkan doa B, ternyata rezeki saya banyak berubah. Rezeki mula datang mencurah-curah lebih banyak daripada sebelumnya. Ianya datang dalam pelbagai bentuk. Ada dalam bentuk peluang perniagaan, idea bisnes, peningkatan jualan, kerjasama perniagaan dan bermacam lagi. Segala-galanya sangat menakjubkan dan sukar dijelaskan dengan kata-kata.

Siapakah Pemilik Rezeki?

Apa yang berlaku kepada saya mungkin sama seperti yang diterangkan oleh penulis buku Mudahnya Menjemput Rezeki Ustaz Fathuri Salehuddin. Beliau menerangkan bahawa rezeki ini umpama sekumpulan semut. Sekiranya kita meletakkan gula di satu tempat, maka kumpulan semut pasti akan datang mengerumuninya. Pendek kata sekiranya kita berikan apa yang semut mahu, maka ia akan datang dengan sendirinya.

Begitu juga rezeki, siapakah pemilik rezeki? Jawapannya pasti Allah SWT. Jadi sekiranya kita memberikan apa yang Allah SWT mahu, maka Allah SWT akan mengurniakan rezekiNya tanpa henti.

Tahukah anda apa yang Allah SWT mahu? Ya pastinya Allah SWT mahu kita menurut segala perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Justeru marilah kita menunaikan segala perintahNya dan meninggalkan LaranganNya (peringatan untuk diri saya juga). Sebagai tambahan, cuba amalkan perkara-perkara berikut untuk membuka pintu rezeki seluas-luasnya.

1. Baca Al Quran dan fahami maknanya
2. Solat tahajjud, solat dhuha.
3. Bergaul dengan orang baik-baik dan soleh
4. Perbanyakkan berpuasa.
5. Perbanyakkan berzikir.

Mintalah Secara Spesifik

Allah SWT itu maha pemurah. Dia akan berikan apa yang kita minta. Di dalam doa A, saya meminta di murahkan rezeki. Alhamdulillah rezeki saya memang murah. Walau bagaimanapun rezeki ini wujud di dalam pelbagai bentuk. Udara yang kita hirup juga adalah rezeki.

Jadi sekiranya saya mahu kaya wang ringgit maka saya saya perlu berdoa dengan lebih spesifik. Di dalam doa B, saya berdoa semoga dikurniakan kekayaan dunia dan akhirat. Semenjak itu, nasib saya semakin berubah, jumlah pendapatan syarikat mula melonjak-lonjak naik. Wang mula masuk tidak kira masa, samada saya tidur atau celik.

Kesilapan saya dahulu adalah meminta sesuatu secara tidak spesifik. Ia umpama saya meminta sesuatu tanpa menyatakan apa yang saya mahu. Contohnya saya mahu anda membantu saya, tetapi saya tidak menyatakan bantu dari segi apa. Ia mungkin bantuan wang ringgit, tenaga, buah fikiran, masa dan sebagainya. Jadi sekiranya anda ingin meminta sesuatu dari Allah SWT, maka mintalah secara spesifik. Insya Allah anda akan dapat apa yang anda minta.

LANGKAH 2 : BELAJAR ILMU UNTUK TERIMA REZEKI

Setelah mengamalkan langkah 1, ternyata rezeki saya datang mencurah-curah. Walau bagaimanapun saya perlu ada ilmu untuk menerima rezeki yang dikurniakan. Ia bukannya turun dari langit dan saya hanya mengutipnya.

Sebagai contoh, saya menerima berpuluh-puluh permintaan daripada individu dan syarikat yang mahu melabur di dalam syarikat saya. Jumlahnya bernilai jutaan ringgit. Ianya satu rezeki yang tidak disangka-sangka.

Walau bagaimanapun saya perlu ada ilmu bagaimana hendak menguruskan rezeki yang diberikan. Saya perlu tahu bagaimana hendak mengambilnya, menguruskannya dan menggandakannya.

Ianya bukan perkara mudah dan saya perlu belajar semuanya dari A hingga Z. Sekiranya saya hanya duduk berdoa dan berharap sahaja, ia mungkin tidak berguna walaupun rezeki itu ada di depan mata. Dengan sedikit ilmu yang ada, maka saya dapat menukar peluang yang ada dalam bentuk perniagaan yang menjana keuntungan.

LANGKAH 3 : BELAJAR URUS REZEKI

Seterusnya setelah anda tahu bagaimana hendak menukar rezeki yang datang kepada perniagaan yang menjana keuntungan, maka anda perlu tahu bagaimana hendak mengembangkannya.

Sebagai contoh, selepas saya menerima pelaburan di dalam perniagaan kereta sewa, maka saya perlu menggunakan keuntungan berkenaan untuk mengembangkan lagi perniagaan saya. Saya perlu membuka lebih banyak cawangan di seluruh Malaysia.

Selain itu saya perlu belajar bagaimana mengembangkan perniagaan dengan melabur di dalam beberapa portfolio perniagaan lain seperti hartanah, syarikat penerbitan, pembelian saham dan sebagainya.

Semua itu menuntut saya untuk terus belajar dan belajar tanpa henti. Sekiranya saya bersikap sombong dan tidak mahu belajar maka perniagaan saya tidak akan ke mana. Jadi sekiranya anda ingin hidup kaya raya, maka anda perlu merendah diri dan sentiasa ada perasaan ingin belajar. Bacalah buku, pergi seminar, bergaul dengan orang yang sudah berjaya dan dapatkan mentor untuk memberi bimbingan.

LANGKAH 4 : KONGSI REZEKI

Di dalam buku tulisan seorang usahawan terkenal, Robert Kiyosaki bertajuk Retire Rich, Retire Young. Beliau mengatakan bahawa sekiranya anda ingin hidup kaya raya maka anda perlu banyak memberi. Semakin banyak anda beri maka rezeki akan datang lebih banyak lagi.

Masalah dengan orang yang menghadapi masalah kewangan dan hutang yang teruk biasanya adalah disebabkan mereka kurang memberi. Mereka sentiasa memikirkan apa yang mereka boleh dapat dan tidak memikirkan apa yang mereka boleh beri.

Contohnya apabila mereka bekerja, mereka sentiasa berkira dengan kerja yang dilakukan. Setiap tahun mereka sentiasa meminta dinaikkan gaji. Jarang ada pekerja yang berfikiran bagaimana mahu membantu meningkatkan keuntungan syarikat tanpa memikirkan imbuhan yang mereka bakal terima.

Di dalam perniagaan, saya cuba memberi sebanyak yang mungkin. Pemberian boleh jadi di dalam pelbagai bentuk. Ianya mungkin dalam bentuk zakat, sedekah, perkhidmatan yang memuaskan hati pelanggan, bayaran gaji dan bonus kepada kakitangan, keuntungan kepada rakan niaga dan pelabur. dan juga ilmu kepada mereka yang berminat ingin mengikut jejak langkah saya.

Saya yakin sekiranya saya banyak berkongsi rezeki, maka saya akan menerima lebih banyak rezeki lagi. Insya Allah.

PENUTUP

Itu merupakan antara 4 langkah yang perlu anda lakukan sekiranya ingin keluar daripada masalah kewangan dan hutang. Saya ulangi sekali langkah-langkah berkenaan.

1. Bersyukur
2. Belajar ilmu untuk terima rezeki
3. Belajar urus rezeki
4. Kongsi rezeki

Saya selalu menerima soalan bagaimana hendak mendapatkan lebih banyak pinjaman bagi menyelesaikan masalah kewangan dan hutang yang dihadapi. Pada pendapat saya, sebanyak mana sekalipun wang yang mereka terima, masalah kewangan mereka tidak akan selesai selagi mereka tidak melakukan 4 langkah di atas. Selagi mereka tidak faham bagaimana wang bekerja, selagi itulah mereka akan terus mengalami masalah kewangan sampai bila-bila. Wallahualam.

KLIK SINI untuk baca bagaimana saya selesaikan masalah hutang.

BAGAIMANA BUAT KERJA SIKIT TAPI DAPAT DUIT BANYAK?

Assalamualaikum

Baru-baru ini saya ada pos gambar saya bersama anak bongsu saya. Di dalam gambar berkenaan saya ada tulis bahawa saya menjaga anak saya 100% daripada dia lahir hingga sekarang. Walaupun saya sibuk menjaga anak, namun saya sentiasa pastikan perniagaan berjalan seperti biasa.

Pada hari tersebut saya menjana wang hampir RM1K walaupun saya sibuk menjaga anak. Ini menunjukkan bahawa walaupun saya sibuk menguruskan keluarga, namun ia bukan penghalang bagi saya untuk menjalankan perniagaan. Bagi saya keluarga adalah keutamaan.

 

1375002_683307138346145_23942457_n

 

DO MORE AND MORE WITH LESS AND LESS

Bagi membolehkan saya melakukan 2 perkara yang agak mencabar, maka saya telah menggunakan konsep Do More and More With Less and Less. Konsep ini sebenarnya saya baca daripada buku Robert Kiyosaki Retire Young, Retire Rich. Menurut Robert Kiyosaki, sekiranya anda ingin menjadi kaya, maka anda perlu banyak membantu orang. Semakin ramai yang anda bantu, maka wang akan mula datang tanpa henti.

Walau bagaimanapun setiap manusia mempunyai batasan. Contohnya saya hanya mempunyai 2 tangan 2 kaki, 2 mata, 2 telinga dan 1 mulut.  Sekiranya saya ingin membantu ramai orang maka, ia agak terbatas. Justeru saya perlu belajar menggunakan leveraj.

LEVERAJ

Leveraj ini umpama suatu kuasa yang kita gunakan untuk menggandakan keupayaan kita membantu orang lain. Laman web ini juga merupakan satu leveraj. Kalau anda lihat statistik di sebelah kanan laman web ini (skroll ke bawah sedikit ya) terdapat hampir 90,000 pelawat yang memasuki laman web ini.

Laman web ini memudahkan saya membantu lebih 400,000 pelawat yang mahu mendapatkan maklumat yang mereka mahu. Kalau harapkan saya nak berjumpa dengan setiap pelawat, memang sesuatu yang mustahil.

JENIS LEVERAJ

Sebenarnya terdapat pelbagai jenis leveraj di dunia ini, contohnya;

  1. Others People Money (OPM) – Pinjaman bank, wang pelabur, wang keluarga, rakan kongsi dsbnya.
  2. Others People Time (OPT) – Pekerja, freelance, kontraktor dsbnya
  3. Partnership – Joint Venture, agen dsbnya.
  4. Tools – Telefon bimbit, internet, kapal terbang dsbnya.

Kita perlu belajar menggunakan leveraj berkenaan untuk membolehkan kita membantu ramai orang dengan menggunakan sumber/tenaga yang terbatas.

AKIBAT TIDAK MAHU BELAJAR MENGGUNAKAN LEVERAJ

Biasanya orang yang belajar menggunakan leveraj, akan mendahului orang yang bersikap ignorance (tidak ambil peduli). Contohnya orang yang belajar menggunakan pinjaman bank dengan betul akan hidup senang berbanding orang yang takut berhutang. Mereka tidak tahu apa itu hutang sihat dan hutang tidak sihat.

Selain itu, orang yang tidak mahu belajar menggunakan leveraj, kebiasaannya mereka akan dipergunakan oleh orang yang pandai menggunakan leveraj. Hidup mereka tidak akan berubah, manakala hidup orang yang pandai menggunakan leveraj akan berubah dalam masa yang singkat.

ILMU LEVERAJ SENTIASA BERUBAH

Ilmu leveraj ini sentiasa bergerak pantas, jika dahulu manusia hanya boleh menggunakan kapal laut untuk bergerak dari satu benua ke benua yang lain. Kini kita boleh menaiki kapal terbang dan sampai ke destinasi dengan lebih pantas.

Sekiranya kita masih menggunakan kapal laut, maka kita akan ketinggalan jauh di belakang berbanding orang yang menggunakan kapal terbang. Justeru kita perlu sentiasa mengemaskini ilmu leveraj setiap masa agar tidak ketinggalan zaman.

 

Penerangan tentang konsep Do More and More with Less and Less

KESIMPULANNYA

Sekiranya anda ingin menjadi kaya dan berjaya, maka anda perlu banyak membantu orang. Semakin ramai yang anda bantu maka semakin murah rezeki anda. Walau bagaimanapun manusia mempunyai batasan, justeru anda perlu bijak menggunakan leveraj yang ada.

Mereka yang tidak mahu belajar menggunakan leveraj, tidak dapat membantu ramai orang justeru hidup mereka juga tidak banyak berubah dan biasanya akan dipergunakan oleh orang yang pandai menggunakan leveraj.

Harap artikel ini bermanfaat.

Analytic Code