Wahi Abd Rashid

Category Archives: Hijrah Menjadi Usahawan

FORMULA SELESAI MASALAH KEWANGAN

14379591_1155046727889205_2937080241995195429_o

Saya selalu terima mesej meminta pendapat tentang masalah kewangan. Salah satu contoh adalah mesej di atas. Susah juga nak jawab sebab saya tak tahu hujung pangkal kenapa dia lost dalam pengurusan kewangan? Mungkin nak minta formula ajaib bagaimana nak selesaikan masalah kewangan yang dihadapinya.

Walau bagaimanapun daripada pemerhatian saya ada satu formula ajaib yang ramai terlepas pandang. Perkara ini saya belajar dari mentor saya Dr Azizan Osman. Beliau menekankan tentang formula menjaga kebersihan kolam jiwa.

Menurut beliau kalau kolam jiwa bersih, Insya Allah rezeki yang datang adalah berkat dan sentiasa cukup walaupun sedikit. Tetapi kalau kolam jiwa tidak bersih, ada saja perkara yang membocorkan poket kita. Ianya datang dalam pelbagai bentuk seperti kereta rosak, kehilangan barang, kena tipu dan sebagainya.

Akibatnya duit yang masuk sentiasa bocor dan pastinya tidak pernah cukup. Untuk menjaga kolam jiwa, kita perlu menjaga hubungan dengan Allah dan juga manusia. Kalau hubungan dengan Allah tu, kenalah sentiasa bertaubat, ikut apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang.

Kalau hubungan dengan manusia pula, mohon maaf kalau kita pernah buat salah dengan orang lain. Kalau ada yang pernah buat salah dengan kita maafkan mereka, jangan berdendam. Jangan sesekali menganiaya orang lain.

Nampak simple saja, tapi ramai yang abaikan. Masa program Dr Azizan Osman tu, kami belajar untuk solat taubat, mohon ampun dengan Allah, balik dari program kena mohon maaf dengan orang yang pernah kita buat salah, maafkan mereka kalau mereka pernah buat salah dan bersihkan hati daripada dendam.

Dalam kes saya, selepas program berkenaan hidup saya memang berubah 360º. Jarang sangat perkara pelik berlaku dalam hidup saya. Dari segi bisnes kereta sewa, Alhamdulillah tiada masalah, tiada kes kereta sewa hilang, kemalangan teruk kena tipu dan sebagainya. Ada juga ujian-ujian kecil yang Allah hantar, Alhamdulillah semuanya dipermudahkan.

Dalam kes gambar di atas, individu yang bertanya minta pendapat saya bagaimana untuk selesaikan masalah kewangan yang beliau hadapi. Kalau diikutkan income dari sewaan kereta tu dah masyuk, BMW F10, Honda Accord, Vellfire dan beberapa kereta MPV dan Sedan. Tapi pelik duitnya selalu tak cukup.

Nak dijadikan cerita baru-baru ni individu berkenaan ada menempah sebuah van dengan syarikat saya. Tarikh, masa dan harga semua dah setuju. Bila masa nak ambil van dia cakap tunggu sekejap. Lepas 2 jam dia terus mendiamkan diri. Call tak angkat whatapps tak balas. Penat staff kami menunggu.

Akhirnya staff kami pulang dengan tangan kosong. Van pula ambil dari syarikat lain dan terpaksa bayar ganti rugi 1 hari (sesetengah syarikat kereta sewa memang akan caj 1 hari kalau cancel last minute). Kalau tak bayar masam muka la jawabnya.

Bila ditanya rupanya begnya yang dimasukkan di dalam kargo penerbangan rosak dan hilang. Mungkin banyak nak pakai duit untuk beli pakaian baru sebab tu dia tak jawab call dan reply whatapps. Mungkin tak ada rezeki kami.

Tapi tindakan dia diam membisu, call tak angkat mesej tak reply dah menganiaya staff kami yang menunggunya selama 2 jam di lapangan terbang. Cancel pula tak beritahu dan buat dek saja tak tanya nak kena bayar ganti rugi ke apa.

Tetapi itu semua mungkin bukan rezeki kami, cuma bila ditanya kenapa dia selalu tak cukup duit, saya harap satu hari nanti dia faham jawapannya. Bersihkan kolam jiwa, jaga hubungan dengan Allah dan manusia, jangan menganiaya orang lain Insya Allah rezekinya pasti cukup.

Kepada yang selalu tak cukup duit tu, tengok balik hubungan dengan Allah, keluarga, kawan-kawan dan orang sekeliling. Pesanan ni pun untuk saya juga. Sama-sama ambil iktibar. Jaga kolam jiwa, formula simple je, tapi susah nak buat kan?

TAK TAHU BERNIAGA APA? BACA KISAH LELAKI INI.

1926669_767698583240333_1827390163_n

Bersama Tuan Aqif Azizan semasa Kolokium Pelabur Underground 2014

Gambar di atas merupakan gambar saya bersama tuan Aqif Azizan semasa menghadiri Kolokium Pelabur Underground 2014 di Kuala Lumpur. Beliau merupakan salah seorang speaker yang berkongsi pengalaman di dalam kolokium berkenaan.

Saya tertarik untuk berkongsi kisahnya yang berjaya menjana pendapatan lumayan dalam masa beberapa tahun. Kisah beliau mungkin dapat menjawab soalan-soalan yang saya selalu terima daripada rakan-rakan yang tidak tahu hendak memulakan perniagaan apa.

Berikut merupakan antara apa yang saya dapat tangkap daripada perkongsian beliau.

  • Beliau pernah menjadi penulis dalam sebuah majalah online.
  • Beliau pernah terlibat dalam kemalangan dan mengalami kecederaan tulang belakang.
  • Kemalangan berkenaan menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan kerja seperti biasa.
  • Akibat tidak boleh bekerja, wang simpanan beliau semakin susut.
  • Beliau tidak tahu bagaimana untuk mencari pendapatan dengan keadaannya yang terlantar sakit.
  • Beliau mempunyai kemahiran dalam bidang penulisan dan pemasaran. Masalahnya pada masa itu pelanggan masih tidak yakin dengan kebolehannya.
  • Bagi mengatasi masalah berkenaan beliau menawarkan khidmat nasihat pemasaran secara percuma kepada sebuah syarikat.
  • Beliau berjaya meningkatkan jualan syarikat berkenaan dan syarikat berkenaan sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.
  • Beliau minta izin menggunakan testimoni syarikat berkenaan untuk mendapatkan lebih banyak pelanggan.
  • Pelanggan yang beliau bantu sangat berpuas hati dengan perkhidmatan beliau.
  • Permintaan semakin meningkat, beliau terpaksa melatih beberapa orang untuk membantunya menguruskan pelanggan yang semakin bertambah.
  • Kini syarikat beliau fokus memberikan khidmat nasihat pemasaran untuk pelanggan dalam dan luar negara.
  • Dalam masa beberapa tahun syarikat beliau berjaya menjana pendapatan yang agak lumayan.

Itulah merupakan serba sedikit maklumat yang saya dapat tangkap daripada perkongsian Tuan Aqif Azizan (maaf kalau ada point yang kurang tepat).

Apa kaitan dengan pemilihan perniagaan? Daripada kisah tuan Aqif Azizan dapat disimpulkan bahawa sebolehnya pilih bidang perniagaan yang anda mahir dan minat.

Disebabkan beliau buat sesuatu yang beliau minat dan mahir, maka beliau lebih fokus kepada kepuasan hati pelanggan. Prinsip beliau itu membuatkan pelanggan sentiasa berpuas hati dan memilih untuk menggunakan perkhidmatan beliau.

Jadi kepada yang tidak tahu hendak berniaga apa, nasihat saya cuba berniaga bidang yang anda minat dan mahir lakukan. Bagaimana nak tahu apa yang anda minat dan mahir lakukan? cuba perhatikan apa perkara yang anda sanggup lakukan walaupun tidak dibayar.

Seterusnya cuba fikirkan bagaimana hendak menggunakan minat dan kemahiran yang anda miliki itu untuk menambah nilai hidup orang lain. Elakkan terlalu fokus kepada wang, fokus untuk selesaikan masalah orang lain.

Masih tidak tahu nak buat bisnes apa? Cuba senaraikan 3 perkara yang anda minat dan mahir lakukan? Kalau masih tidak tahu apa yang anda minat dan mahir, cuba belajar untuk minat dan mahir dalam sesuatu perkara. Baca buku, pergi seminar dan perhatikan apa yang orang berjaya lakukan.

Kalau apa yang anda minat dan mahir itu sesuatu yang mahal, sebolehnya elakkan mengeluarkan modal yang besar. Gunakan apa yang ada sahaja dulu, tawarkan perkhidmatan jenis servis atau makan komisen saja dulu.

Sebagai contoh, semasa memulakan perniagaan kereta sewa, saya hanya mengeluarkan modal RM3K sahaja untuk membeli 2 unit kereta terpakai. Pada peringkat awal, saya banyak makan komisen dengan menyewakan kereta orang lain.

Komisen dan keuntungan yang saya dapat, saya gunakan untuk mengembangkan perniagaan sedikit-demi sedikit. Alhamdulillah kini perniagaan saya berjaya menjana pendapatan yang agak baik.

Ok saya harap artikel ini dapat menjawab dilema anda untuk memilih bidang perniagaan yang sesuai. Saya ulangi sekali lagi langkah yang anda perlu lakukan.

  1. Pilih bidang perniagaan yang anda minat dan mahir.
  2. Fokus gunakan minat dan kemahiran untuk menambah nilai hidup orang lain.
  3. Sebagai permulaan berikan perkhidmatan secara percuma/diskaun hebat dan dapatkan maklum balas pelanggan.
  4. Gunakan maklum balas pelanggan untuk pemasaran.
  5. Sentiasa berikan perkhidmatan terbaik untuk mendapatkan lebih banyak pelanggan.
  6. Kalau permintaan semakin meningkat, kongsi rezeki dengan orang lain.
  7. Perbaiki perniagaan dari masa ke semasa.

Kalau anda masih tidak tahu apa yang anda minat dan mahir lakukan, maka saya rasa anda memang ditakdirkan untuk menjadi pekerja sampai bila-bila. Wallahualam.

SAYA ADA BANYAK DUIT, TAPI TAK ADA MASA NAK BUAT BISNES

Picture30

Assalamualaikum dan salam hormat

Skrin shot di atas merupakan salah satu email yang saya terima. Agak menarik juga soalan beliau. Menurut penulis beliau bekerja di Qatar. Kalau tak silap biasanya orang yang kerja di Qatar ni kerja dengan syarikat minyak. Pendapatannya mungkin agak besar.

Menurutnya lagi, beliau berminat untuk mengeluarkan modal untuk membantu anak buahnya di dalam bisnes kimpalan. Masalahnya beliau tidak pasti bentuk kerjasama yang boleh dilakukan. Jadi beliau meminta pendapat saya.

Secara peribadi sebagai seorang usahawan, sebolehnya saya mahu rakan kongsi yang sama-sama membangunkan perniagaan. Kalau sekadar sumbang modal kewangan, sesiapa pun boleh. Bank pun boleh beri modal, tapi tak kan saya nak jadikan bank sebagai rakan kongsi?

Mungkin itu yang difikirkan oleh anak buah penulis. Bila penulis menjadi rakan kongsi, kebebasan untuk membuat keputusan tu agak terbatas. Semuanya perlu mendapat persetujuan rakan kongsi.

Biasanya usahawan ni dia nak bebas, mereka bebas melakukan apa sahaja yang mereka mahukan. Tak perlu minta izin daripada sesiapa. Sebab itu mereka menjadi usahawan.

APA KERJASAMA TERBAIK?

Dalam situasi ini, saya nampak ada 2 pihak yang terlibat. Seorang ada duit, tapi tak ada peluang (masa) nak buat bisnes. Seorang lagi ada peluang, tapi mungkin tak cukup duit untuk kembangkan perniagaan. Kedua-dua pihak saling perlu memerlukan. Persoalannya apa kerjasama terbaik yang boleh dilakukan?

KERJASAMA IKUT KONSEP KHADIJAH

Saya mencadangkan penulis menggunakan konsep kerjasama Khadijah. Konsep ini saya belajar daripada sifu saya iaitu Puan Ainon Mohd (Pengasas Ainon Holding Sdn Bhd). Ia dinamakan Khadijah sempena mengambil nama Isteri Nabi Muhammad (SAW).

Seperti yang kita sedia maklum Saidatina Khadijah Binti Khuwailid (RA) merupakan isteri pertama baginda Nabi Muhammad (SAW). Sebelum berkahwin dengan Nabi Muhammad (SAW), beliau memang dikenali sebagai seorang wanita kaya di Mekah. 

Semasa baginda Rasulullah berdagang ke Syam (Syria), Saidatina Khadijah (RA) banyak melabur modal kepada Nabi Muhammad (SAW). Ada pembahagian keuntungan di antara Saidatina Khadijah (RA) dan Nabi Muhammad (SAW).

Konsep ini mungkin boleh ditiru bagi 2 pihak yang saya sebutkan di atas. Sifu saya memanggil golongan yang banyak duit sebagai Khadijah. Usahawan yang kekurangan modal dipanggil sebagai Muhammad Muda.

BAGAIMANA KERJASAMA DILAKUKAN

  1. Muhammad muda perlu membentangkan kepada Khadijah tentang projek yang dia mahu jalankan.
  2. Projek berkenaan perlu mempunyai tempoh contohnya 1 bulan, 3 bulan atau 6 bulan.
  3. Sebolehnya transaksi projek berkenaan bersifat pantas. Tidak boleh terlalu lama seperti pembelian hartanah.
  4. Sekiranya bersetuju Khadijah boleh melabur modal kepada projek Muhammad muda.
  5. Pembahagian keuntungan adalah 30:70

Contoh

Muhammad muda mempunyai perniagaan bengkel kimpalan. Beliau mendapat satu projek kimpalan. Modal yang diperlukan untuk projek berkenaan RM50,000. Jangkamasa projek adalah 2 bulan. Keuntungan projek dianggarkan RM25,000.

Muhammad muda membentangkan projeknya kepada Khadijah. Setelah berbincang, Khadijah bersetuju untuk bekerjasama berdasarkan syarat berikut.

  1. Khadijah akan mengeluarkan modal sebanyak RM50,000.
  2. Jangkamasa projek 2 bulan sahaja.
  3. Selepas 2 bulan, Muhammad muda perlu mengembalikan modal Khadijah sebanyak RM50,000.
  4. Keuntungan daripada projek berkenaan dibahagi 30:70.

Sekiranya projek berjalan lancar, Khadijah akan mendapat pulangan seperti berikut;

Jumlah Modal = RM50,000

Anggaran jumlah keuntungan = RM25,000

Pulangan Pelaburan (ROI)

= RM25,000 x 30%
= RM7,500

= (RM7,500/RM50,000) x 100
= 15%

Jadi dalam masa 2 bulan Khadijah akan mendapat pulangan pelaburan sebanyak 15%. Ianya lebih baik daripada simpanan di unit amanah. Lagipun tempohnya lebih singkat iaitu 2 bulan sahaja.

Muhammad muda pula mendapat untung sebanyak RM17,500. Muhammad muda mendapat bahagian yang banyak kerana dia yang melakukan semua kerja. Segala kos operasi perlu ditanggung oleh Muhammad Muda.

JANGAN LUPA PERANAN MAISARAH

Kerjasama berkenaan nampak senang, tetapi kalau tiada siapa yang memantau, duit Khadijah mungkin lebur. Muhammad muda mungkin menyeleweng dan sebagainya. Jadi pada zaman Nabi Muhammad (SAW), Saidatina Khadijah (RA) mempunyai orang suruhan bernama Maisarah yang akan memantau kerja-kerja Nabi Muhammad (SAW).

Maisarah akan melaporkan segala perbelanjaan dan pendapatan yang diterima oleh Nabi Muhammad (SAW) kepada Saidatina Khadijah (RA). Dalam dunia hari ini, Maisarah umpama seorang kerani yang menjaga wang Khadijah.

DI MANA NAK DAPATKAN MAISARAH?

Maisarah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja. Ia boleh jadi isteri, ahli keluarga ataupun orang yang boleh dipercayai. Khadijah boleh juga menggunakan perkhidmatan Maisarah profesional seperti yang disediakan oleh sifu saya melalui anak syarikat beliau.

Sekiranya berminat untuk menggunakan perkhidmatan Maisarah Profesional, boleh hubungi puan Irnee Bt Ismail. Kalau tak silap terdapat sedikit bayaran dikenakan sekiranya ingin menggunakan khidmat beliau. Beliau akan mengambil 2% keuntungan daripada Khadijah dan 2% daripada Muhammad muda sebagai gajinya.

BAGAIMANA KONSEP INI MEMBANTU?

Sekiranya konsep ini diamalkan, lebih ramai usahawan dapat mengembangkan perniagaan mereka. Sebagai seorang usahawan, konsep ini memang sangat membantu. Maklumlah bukan senang nak dapatkan pinjaman bank. Banyak prosedur yang terpaksa dilalui.

Tambahan pula, konsep ini boleh mengelakkan riba. Riba ini kalau tidak dikawal boleh mendatangkan masalah sosial. Cuba tengok pinjaman Along. Bukannya menolong peminjam, tapi menyusahkan peminjam.

Agama Islam sudah tunjukkan bagaimana orang kaya (berduit) membantu orang miskin (tidak berduit) dengan memberi modal untuk mengembangkan perniagaan. Kalau kita ikut apa yang disuruh, Insya Allah hidup kita pasti aman.

Analytic Code