Wahi Abd Rashid

Category Archives: Bisnes Kereta Sewa

TIP TUNTUT SAMAN ATAU HUTANG

Assalamualaikum dan salam hormat

Baru-baru ini saya menerima email begini

“Assalamualaikum..saya ingin bertanya, sekiranya kereta yg disewa pelanggan mendapat saman PDRM @ JPJ, apakah prosedurnya? Bagaimakah jika prlanggan tdk mahu membayarnya kerana telah melalui tempoh yg lama sebelum saman diketahui (melalui semakan online @ pos)..tq”

Secara ringkasnya saya menjawab begini

Wasalam

  • Maklumkan pelanggan minta mereka bayar secara baik.
  • Kalau tak bayar buat laporan polis. Maklumkan kepada pelanggan.
  • Kalau tak bayar juga masukkan nama mereka dalam www.senaraipenipu.com kemudian maklumkan kepada pelanggan.
  • Kalau tak bayar juga anggap tak ada rezeki.

Tip Tambahan

  • Pada masa depan sebolehnya tapis pelanggan, pastikan anda tahu di mana pelanggan bekerja.
  • Kalau bank mereka akan buat gangguan di tempat kerja pelanggan.
  • Gangguan sampai tahap pelanggan terloncat-loncat mahu membayar hutang he he.

Esoknya saya menerima email ini

Terima kasih byk2 atas nasihat tuan..bila saya hantar message spt ini :

“Maaf..sehingga kini tiada respon dari encik..saya beri peluang utk encik respon dlm masa terdekat..sekiranya tiada pembayaran, saya akan melakukan tindakan berikut:

  • Buat laporan polis.
  • Muat naik maklumat encik dlm website berikut: www.senaraipenipu.com dan medium sosial yg lain spt fb,blog,tweeter,instagram dll..harap maklum.

Akhirnya mlm td dia respon begini :

“Saya tengah usahakan. Saya akan jelaskan bayaran pada masa yang terdekat. Harap maklum. Sekian”

Sekurang2 ada perkembangan positif..tak sia2 saya mengenali tuan..t.kasih sekali lagi..

He he mudah bukan nak kutip hutang daripada pelanggan. Kaedah ini boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang nak kutip hutang. Tak perlu buang duit nak upah peguam dan sebagainya.

Walau bagaimanapun strategi ini tidak 100% terjamin. Namun ia pasti membuatkan mereka melompat-lompat untuk membayar hutang anda. Tak percaya cuba buat.

ps : maaf kalau ada salah ejaan, saya copy paste saja email yang diterima.

STRATEGI PEMASARAN MR TONY

418513_10150546663032789_1473877445_n

Gambar di atas merupakan gambar keluarga Mr Tony. Beliau merupakan pengusaha yang terlibat di dalam bidang percetakan. Syarikat saya memang dari dulu banyak buat tempahan daripada beliau. Apa yang saya nak kongsikan adalah strategi pemasaran yang beliau gunakan. 

Kalau tak silap, saya menerima email daripada Mr Tony sekitar tahun 2008. Saya rasa dia dapat email saya daripada iklan kereta sewa yang saya pos di mudah.my. Apa yang beliau lakukan boleh kira spam juga la. Tapi spam yang kira boleh diterima.

Picture51

Selepas terima email beliau, saya hanya buat tempahan sikit-sikit. Maklumlah syarikat masih kecil. Saya akan membuat tempahan borang perjanjian kereta sewa sebanyak 10 buku dan bisnes kad 3 kotak. Mahu setahun juga nak habis stok tu.

Sekarang tempahan saya semakin bertambah. Setiap kali membuat tempahan minima 100 buku dan ianya akan habis dalam masa 3 bulan sahaja.

Apa yang saya perhatikan, semakin syarikat saya membesar, maka tempahan kepada Mr Tony juga semakin banyak. Apa yang menariknya syarikat saya bukan satu-satunya syarikat yang beliau approach.

Mungkin ada beberapa lagi syarikat yang beliau spam masa itu. Saya percaya bilangan tempahan mereka juga semakin meningkat.

SPAM CARA MR TONY

Strategi pemasaran Mr Tony ni sangat menarik. Beliau akan cuba approach syarikat-syarikat kecil. Walaupun tempahan yang beliau terima sangat kecil, namun beliau tidak kisah. Beliau percaya, semakin maju perniagaan pelanggan beliau, maka perniagaannya juga akan berkembang.

Keadaan berkenaan mungkin benar kerana pada hari ini setiap kali saya membuat tempahan, beliau mengambil masa yang lebih lama untuk menyiapkan tempahan berkenaan. Mungkin kapasiti mesinnya tidak lagi dapat menampung permintaan yang semakin meningkat.

Kadangkala, terfikir nak buat tempahan dekat syarikat lain, tetapi memandangkan saya sudah lama berurusan dengan beliau maka saya batalkan niat saya.  Lagipun setakat ini saya masih berpuas hati dengan perkhidmatan beliau.

Sungguh pun begitu, Mr Tony perlu selesaikan masalah kelewatan tempahan. Kalau tidak, mungkin pelanggan-pelanggannya akan beralih kepada pesaingnya yang lain.

TIRU STRATEGI MR TONY

Saya rasa, strategi Mr Tony boleh di gunakan dalam mana-mana perniagaan termasuk kereta sewa. Berikut merupakan antara beberapa tip yang anda boleh lakukan.

  1. Cuba senaraikan prospek-prospek yang berpotensi menggunakan perkhidmatan/produk anda.
  2. Spam secara baik dengan menghantar email pemberitahuan.
  3. Elakkan menjual membuta tuli. Nyatakan bagaimana perniagaan anda boleh membantu prospek.
  4. Setiap kali menghantar email, doakan prospek seperti “Have a nice day” selamat maju jaya dan sebagainya.
  5. Walaupun tempahan yang anda terima kecil, cuba lakukan yang terbaik.
  6. Bina hubungan yang baik dengan pelanggan.
  7. Sentiasa perbaiki mutu perkhidmatan supaya pelanggan sentiasa berpuas hati.

Insya Allah sekiranya anda amalkan tip di atas. perniagaan anda pasti berkembang seperti yang dialami oleh Mr Tony. Apa yang penting anda perlu buat kerja sedikit dan bersabar.

Sampai satu tahap anda akan mempunyai sekumpulan pelanggan setia yang memberikan wang kepada anda sepanjang masa tanpa henti.

BAGAIMANA NAK DAPATKAN PEMAJAK KERETA SEWA?

Picture46

Kali ini saya nak kongsi pengalaman mendapatkan pemajak. Seingat saya pemajak pertama yang bekerjasama dengan saya adalah rakan sekerja di universiti dulu. Kami membeli sebuah kereta Proton Wira 1.3 (M) secara tunai berharga RM8,000. Pada masa itu saya tidak mempunyai duit, jadi rakan saya mengeluarkan modal membeli kereta berkenaan. 

Cadangannya kereta itu hanya untuk disewakan kepada pelajar-pelajar di tempat saya bekerja dahulu. Walau bagaimanapun tidak berapa lama kemudian kereta berkenaan terpaksa dijual kerana keadaannya yang terlalu uzur. Wang hasil jualan, saya pulangkan semula kepada pemajak berkenaan.

Seterusnya pemajak saya yang kedua adalah seorang rakan yang bekerja sebagai guru. Pada masa itu saya mula mendapat tempahan daripada syarikat-syarikat minyak di Bintulu. Kami berkongsi membeli kenderaan pacuan 4 roda terpakai pada tahun 2008.

Malangnya setahun selepas itu kenderaan itu dicuri oleh penyewa kami. Akibat tidak tahu cara membuat tuntutan insuran yang betul, kami gagal mendapatkan pampasan. Kami terpaksa membayar ansuran bulanan kenderaan itu sehingga habis. Itu merupakan antara kesilapan saya dalam bisnes kereta sewa.

Seterusnya pada tahun 2009 kami berkongsi membeli sebuah kereta Proton Saga BLM 1.3 (A). Keuntungan daripada kereta berkenaan digunakan untuk membayar sebahagian ansuran bulanan kenderaan yang hilang tadi. Jadi beban tidaklah teruk sangat

Pada peringkat awal saya menghadapi banyak masalah seperti penipuan, kecurian, kemalangan dan sebagainya. Namun Alhamdulillah perniagaan saya tetap berkembang sedikit demi sedikit.

Melihat kepada perkembangan perniagaan saya, secara tidak langsung ia menarik minat beberapa orang rakan dan keluarga untuk bekerjasama dengan syarikat saya. Hasil kerjasama berkenaan membolehkan perniagaan saya terus berkembang.

Walaupun kadangkala perniagaan saya ada naik turun, namun saya tetap berusaha membayar wang pajakan kepada pemajak. Sekiranya menghadapi masalah, saya akan cuba selesaikannya. Saya tidak pernah sekali-kali lepas tangan.

Kebiasaannya pemajak di syarikat saya adalah pemajak berulang. Pada mulanya mereka akan memajak 1 atau 2 buah kereta dahulu. Selepas yakin dengan saya, maka mereka akan menambah bilangan kereta satu persatu. Ada pemajak yang meletakkan sehingga 6 buah kereta di syarikat saya.

Pada tahun 2010 saya memiliki 70 buah kereta sewa. Separuh daripadanya adalah kereta pemajak dan separuh lagi adalah milik saya dan isteri. Sebenarnya saya agak bimbang untuk mengambil kereta pemajak. Maklumlah harta orang, nanti sebab saya orang lain yang susah. Kalau harta sendiri, kalau susah pun saya sendiri yang tanggung.

Saya perhatikan apabila kepercayaan terhadap syarikat saya semakin tinggi, semakin ramai pihak yang berminat untuk memajak kereta kepada saya. Walau bagaimanapun saya tidak dapat menerima semua permintaan kerana bimbang overstock.

Sekiranya anda ingin mendapatkan pemajak, berikut merupakan sedikit tip daripada saya.

4 TIP UNTUK MENDAPATKAN PEMAJAK

  1. Cuba bekerjasama dengan rakan terdekat atau ahli keluarga terlebih dahulu.
  2. Mesti amanah, jaga harta pemajak seperti menjaga harta sendiri.
  3. Sekiranya berlaku masalah, selesaikan. Jangan sesekali lepas tangan.
  4. Sentiasa jaga nama baik syarikat.

Sekiranya anda mengamalkan tip di atas, Insya Allah anda tidak perlu pening kepala mencari pemajak. Mereka yang akan mencari anda.

Analytic Code