Wahi Abd Rashid

Author Archives: Wahi Abd Rashid

Wahi Bin Abd Rashid merupakan seorang usahawan kereta sewa, penulis dan speaker di dalam bidang keusahawanan. Syarikat beliau www.greenmatrixcarrental.com menyediakan perkhidmatan kereta sewa di seluruh Malaysia. Beliau juga banyak berkongsi pengalaman di dalam blog peribadinya www.wahiabdrashid.com

BAGAIMANA UNTUK MENDAPATKAN PINJAMAN BANK SEKIRANYA SAYA BEKERJA SENDIRI ATAU MASIH BELAJAR DI UNIVERSITI?

Salam hormat, Kali ini saya menerima mesej dari seorang pelajar dari sebuah universiti. Beliau ingin mendapatkan nasihat bagaimana hendak mendapatkan pinjaman bank untuk memulakan perniagaan. Untuk makluman, saya juga sering menerima rungutan daripada rakan-rakan yang berniaga kecil-kecilan tentang kesukaran untuk mendapatkan pinjaman bank. Secara umumnya situasi kedua-dua individu berkenaan boleh dikatakan sama iaitu tidak mempunyai dokumen sokongan seperti penyata gaji bulanan dan kwsp untuk memohon pinjaman.

Sungguhpun begitu terdapat cara bagaimana untuk mendapatkan pinjaman bank walaupun mereka tidak mempunyai kerja tetap samada di sektor awam atau swasta. Syaratnya mereka mestilah mempunyai sumber pendapatan daripada perniagaan (tidak kisah walaupun berniaga goreng pisang di tepi jalan). Berikut merupakan caranya;

  1. Daftar perniagaan kecil (sekurang-kurangnya milikan tunggal)
  2. Buka akaun semasa perniagaan.
  3. Masukkan hasil jualan ke dalam akaun semasa perniagaan.
  4. Keluarkan apabila mahu gunakan untuk modal pusingan.
  5. 10% peratus hasil jualan mestilah disimpan di dalam ASB atau Tabung Haji.
  6. Lakukan transaksi berkenaan selama 6 bulan.
  7. Kalau boleh transaksi mestilah lebih RM5K sebulan. Pelajari teknik transaksi ulangan di dalam buku Rahsia Senang Mendapat Pinjaman untuk meningkatkan jumlah transaksi. Lagi banyak transaksi lagi bagus.
  8. Selepas 6 bulan, hantar salinan penyata akaun semasa (untuk 6 bulan berturut-turut), sijil pendaftaran perniagaan, kad pengenalan pemilik perniagaan dan buku ASB/Tabung Haji kepada bank untuk memohon pinjaman.
  9. Insya Allah pinjaman anda akan lebih mudah lulus.

Jumlah pinjaman bergantung kepada purata transaksi anda selama 6 bulan. Sebagai contoh, sekiranya purata transaksi anda adalah RM10,000 sebulan, maka anda layak mendapat pinjaman dengan bayaran bulanan RM1,000 sebulan (jumlah tidak tetap dan bergantung kepada jumlah komitmen sedia ada anda dan kelulusan bank). Semasa saya hendak membeli rumah pertama berharga RM175,000, purata transaksi di dalam akaun semasa saya adalah RM15,000 sebulan.

Formulanya adalah seperti berikut

Purata Duit Masuk 6 bulan x 10% = Jumlah Ansuran Yang Layak

Contoh

RM10,000 x 10% = RM1,000

Sekiranya anda ada komitmen hutang sedia ada sebanyak RM500 maka anda hanya layak membuat pinjaman dengan ansuran bulanan RM500 sahaja (RM1,000 – RM500).

PERINGATAN

Seboleh-bolehnya pinjaman dilakukan untuk membesarkan perniagaan, bukan untuk memulakan perniagaan. Jadi, bagi mereka yang baru hendak memulakan perniagaan, nasihat saya gunakan modal sendiri dahulu. Binalah perniagaan anda perlahan-lahan, bila hendak berkembang, barulah memohon pinjaman. Insya Allah anda pasti akan berjaya. Selamat mencuba.

BAGAIMANA KAMI BERJAYA MEMBELI 3 BUAH RUMAH BERHARGA RM1.06 JUTA?

Salam Hormat,

Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman bagaimana “kami” berjaya membeli 3 buah rumah berharga RM1.06 Juta dalam masa 5 tahun. Saya bahasakan diri sebagai “kami” kerana usaha ini dilakukan secara berpasukan di antara saya dan isteri.

Rumah pertama dibeli dengan harga RM175,000 pada tahun 2008 di atas nama saya dan isteri. Pembelian rumah ini tidak menghadapi banyak masalah kerana saya dan isteri masih bekerja di universiti. Walaupun komitmen hutang kami tinggi, namun sokongan penyata akaun semasa banyak membantu kami membeli rumah ini. Pada waktu itu, gaji saya dan isteri lebih kurang RM6000 dan wang keluar masuk di dalam akaun semasa adalah RM15,000 sebulan. Kami menggunakan wang KWSP untuk membayar sebahagian besar bayaran muka rumah berkenaan.

Pada tahun 2010, perniagaan bisnes kereta sewa kami semakin berkembang dan kami perlu memindahkan operasi ke rumah yang lebih besar. Syukur Alhamdulillah permohonan pinjaman perumahan kami diluluskan untuk membeli rumah yang berharga RM210,000. Kali ini kami terpaksa mengikat perut membayar bayaran muka dan yuran guaman sebanyak RM40,000 menggunakan duit simpanan sendiri. Untuk makluman, pembelian rumah ke 2 tidak layak untuk pengeluaran KWSP. Aliran wang masuk di dalam akaun semasa adalah RM50K sebulan.

Pada tahun 2013, kami berjaya membeli rumah ke 3 jenis semi-d 2 tingkat berharga RM680K. Rumah ini dibeli bagi memindahkan operasi perniagaan yang semakin berkembang. Dua buah rumah yang dibeli sebelum ini akan disewakan. Ketika memohon pinjaman rumah ini, cashflow di dalam akaun semasa syarikat setiap bulan adalah RM125K.

BAGAIMANA KAMI LAKUKAN?

Kalau hendak diikutkan, kami sebenarnya tidak layak untuk membeli ketiga-tiga buah rumah berkenaan memandangkan komitmen hutang kami sangat tinggi. Maklumlah bila dah buat bisnes kereta sewa, nama kami penuh dengan pinjaman kereta. Tetapi disebabkan sokongan penyata akaun semasa kami berjaya membeli ketiga-tiga buah rumah berkenaan.

Bagi mereka yang menghadapi masalah membeli rumah. Berikut merupakan langkah yang perlu diambil;

  1. Daftar perniagaan (enterprise pun ok)
  2. Buka akaun semasa perniagaan.
  3. Gaji/Pendapatan perniagaan di masukkan ke dalam akaun semasa perniagaan.
  4. 10% daripada pendapatan di simpan di dalam ASB.
  5. Semasa memohon pinjaman, sertakan penyata akaun semasa perniagaan selama 6 bulan, buku simpanan ASB, tabung haji, KWSP dan aset cair yang ada.

Insya Allah, pinjaman anda mudah untuk diluluskan.

KENAPA 3 ORANG LELAKI INI MAHU JADI USAHAWAN?

Salam hormat terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca artikel saya pada kali ini. Hmm agak lama juga saya tidak menulis di blog ini, maklumlah sekarang sedang sibuk menjaga bayi kami yang baru dilahirkan pada 25 May 2012 yang lalu. Kami menamakan bayi berkenaan Arjuna Andika Kaseh. Sengaja beri nama yang klasik sikit supaya nampak lain dari yang lain.

Walaupun saya banyak menyepi, namun saya sering menerima mesej yang meminta pendapat bagaimana hendak berhijrah menjadi usahawan. Di dalam banyak-banyak mesej yang saya terima, saya tertarik dengan kisah 3 orang lelaki. Saya akan namakan mereka sebagai lelaki A, B dan C. Berikut merupakan sedikit latar belakang ketiga-tiga lelaki berkenaan.

LELAKI A

Lelaki A merupakan seorang pelajar di sebuah Universiti. Beliau berumur di dalam lingkungan 21 tahun. Saya agak kagum dengannya kerana walaupun masih muda, beliau sudah mempunyai perniagaan sendiri (bisnes kereta sewa di universiti). Walau bagaimanapun, usaha beliau tidak mendapat sokongan ahli keluarga. Ahli keluarganya meminta beliau berhenti berniaga, tumpukan perhatian kepada pelajaran dan sekiranya sudah bergraduat carilah kerja yang terjamin. Beliau kecewa dengan sikap keluarganya kerana minatnya dalam dunia perniagaan begitu mendalam. Beliau meminta saya memberi nasihat kepadanya.

LELAKI B

Lelaki B merupakan seorang pekerja swasta di ibu Negara berumur sekitar 29 tahun. Beliau sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia 5 bulan. Di dalam emailnya beliau meminta saya memberi khidmat perundingan bagaimana hendak menyelesaikan masalah hutangnya. Berikut merupakan senarai hutangnya.

  • RM60K Personal Loan (Sudah hangus kerana terlibat dengan skim cepat kaya).
  • RM7K  – Kad Kredit
  • RM17K  PTPTN
  • RM18K Kereta

Kalau nak diikutkan, jumlah hutang beliau tidaklah banyak sangat, tetapi mungkin disebabkan kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang, membuatkan beliau sesak nafas. Setiap bulan beliau terpaksa menggunakan kad kredit untuk mengisi minyak kereta. Beliau pening kepala kerana hutang kad kreditnya semakin banyak. Beliau mahu saya memberi idea, bagaimana beliau boleh menyelesaikan masalah hutangnya. Kalau boleh beliau mahu memulakan perniagaan, tetapi beliau tidak tahu hendak berniaga apa.

LELAKI C

Lelaki C merupakan seorang eksekutif di syarikat korporat yang berjaya. Beliau berumur 35 tahun dengan pendapatan RM20K sebulan. Isterinya juga bekerja dengan syarikat korporat dengan pendapatan RM5K sebulan. Walaupun mereka tidak mempunyai masalah kewangan yang serius, namun hidup mereka tertekan kerana dia dan isterinya terpaksa berjauhan beribu-ribu batu. Masuk kali ini sudah 2 kali dia dihantar bekerja di luar negara. Beliau sedih apabila menyetahui bayinya pernah didera oleh pembantu rumahnya warga Indonesia. Anak sulungnya juga lebih rapat dengan datuk dan neneknya berbanding dirinya sendiri. Sepanjang bekerja di luar negara, beliau hilang saat-saat gembira melihat anak-anaknya membesar di depan mata. Kalau boleh beliau mahu berhenti kerja dan memulakan perniagaan sendiri. Beliau mahu menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarganya. Masalahnya beliau tidak yakin untuk hidup dengan pendapatan yang tidak menentu. Beliau bimbang tidak dapat membayar segala hutang-piutangnya apabila dia berhenti kerja kelak.

APA PENYELESAIANYA?

Sekiranya dilihat di antara ketiga-tiga lelaki berkenaan, pada saya masalah mereka sungguh ironi. Lelaki A mahu menjadi usahawan kerana minat tetapi dihalang oleh keluarga. Lelaki B mahu menjadi usahawan kerana merasakan wang gajinya tidak mencukupi. Lelaki C pula mahu menjadi usahawan kerana mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarganya. Kesemua mereka mahu menjadi usahawan pada umur yang berbeza.

Sekiranya diperhatikan dengan teliti, kisah mereka merupakan kisah klasik lelaki di Malaysia. Sebaik tamat belajar di universiti, semua berlumba-lumba mencari pekerjaan. Apabila sudah mendapat pekerjaan kebanyakannya terperangkap dengan beban hutang yang tinggi. Bagi melunaskan hutang, mereka terpaksa bekerja lebih keras lagi supaya dapat naik pangkat dan gaji. Apabila gaji mereka semakin besar, pihak syarikat mula berfikir untuk membuang mereka bagi mengurangkan kos syarikat. Lebih baik ambil fresh graduate daripada membayar gaji eksekutif senior yang tinggi. Kebiasaannya pihak syarikat akan menghantar mereka jauh dari keluarga supaya hidup mereka tertekan. Akhirnya mereka terpaksa berhenti kerja dan syarikat tidak perlu membayar sebarang pampasan kerana mereka berhenti kerja secara sukarela. Itulah yang terjadi di dalam dunia korporat sejak dari dahulu lagi.

NASIHAT SAYA

Bagi lelaki A, anda mempunyai 2 pilihan iaitu pilihan pertama bekerja makan gaji dan kedua menjadi usahawan dan tentukan nasib sendiri. Sekiranya anda memilih pilihan pertama nasib anda mungkin berkesudahan seperti lelaki B dan C (last-last nak jadi usahawan juga). Sekiranya anda memilih pilihan kedua, hanya anda sahaja yang dapat menentukan nasib hidup anda. Pada pendapat saya peringkat umur anda merupakan peringkat paling sesuai memulakan perniagaan. Anda masih belum berkeluarga dan tidak perlu memikirkan apa yang akan terjadi kepada orang di bawah tanggungan anda (anak dan isteri). Percayalah membina perniagaan mengambil masa 3 hingga 5 tahun untuk berjaya. Sepanjang tempoh itu anda akan menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan. Apakah situasi terburuk yang boleh berlaku sekiranya perniagaan anda rugi? Paling teruk sekalipun anda seorang sahaja yang menanggungnya. Impak kepada orang lain amat minima. Anda boleh bangkit kembali dan bina perniagaan anda sehingga berjaya. Insya Allah.

Bagi lelaki B, situasi anda sungguh berbeza, anda mempunyai tanggungan seperti anak dan isteri disamping terpaksa melunaskan hutang yang ada. Nasihat saya mulakan perniagaan berdasarkan minat dan kemahiran yang saudara ada. Mulakan secara kecil-kecilan (maksimum modal RM5,000 sahaja). Bina perniagaan anda perlahan-lahan. Kalau boleh carilah mentor yang mempunyai bidang perniagaan yang sama dengan minat dan kemahiran yang anda ada. Insya Allah dengan bimbingan yang betul dan ikhlas anda pasti boleh berhijrah menjadi usahawan yang berjaya dan hidup dengan lebih selesa.

Bagi lelaki C, anda mempunyai 2 pilihan, sekiranya anda memilih keluarga, anda akan kehilangan kerjaya. Sekiranya anda memilih kerjaya, anda akan kehilangan keluarga. Agak sukar memiliki kedua-duanya melainkan anda sudah menjadi usahawan yang berjaya. Tepuk dada tanya selera, mana yang lebih penting keluarga atau kerjaya?. Jika saya diberi pilihan, saya tidak sanggup kehilangan keluarga. Pada saya anak-anaklah yang akan menjaga kita ketika waktu tua nanti. Percayalah tiada majikan yang sanggup datang menjaga kita apabila kita sudah tua. Hanya anak-anak yang akan menjaga kita dengan penuh kasih sayang apabila kita sudah tua. Itupun sekiranya kita melakukan perkara yang sama ketika anak-anak kita masih kecil. Tuhan itu maha adil, sekiranya kita tinggalkan keluarga kita, tidak mustahil suatu hari nanti keluarga kita akan meningggalkan kita. Sekiranya kita membiarkan anak-anak kita dijaga oleh pembantu rumah atau dihantar ke nurseri, tidak mustahil mereka juga akan mencampakkan kita ke rumah orang tua. Wallahualam.

Analytic Code