Wahi Abd Rashid

4 LANGKAH BEBAS HUTANG

Assalamualaikum

Terima kasih kerana meluangkan masa membaca artikel ini. Sejak kebelakangan ini hampir setiap hari saya menerima email dan mesej yang meminta nasihat bagaimana untuk keluar daripada masalah kewangan dan hutang.

Soalan-soalan yang diterima menimbulkan tanda tanya kepada saya. Apakah jawapan terbaik yang boleh saya berikan? Saya yakin setiap orang mempunyai masalah kewangan yang berbeza. Jadi cara penyelesaian masalah juga mungkin berbeza.

Sungguhpun begitu, daripada kes-kes yang saya terima ada 4 langkah penting yang ramai yang terlepas pandang. Justeru izinkan saya berkongsi 4 Langkah penting yang perlu dilakukan sekiranya anda ingin bebas daripada masalah kewangan dan hutang. Langkah-langkah ini memang 100% daripada pengalaman saya sendiri dan Insya Allah ianya berkesan.

LANGKAH 1 : BERSYUKUR

Langkah ini merupakan langkah yang paling penting dan selalu tidak dipedulikan. Saya sendiri tersedar selepas menghadiri seminar keusahawanan anjuran Dr Azizan Osman. Di dalam seminar berkenaan penceramah ada menerangkan tentang pentingnya kita bersyukur. Beliau membacakan sebaris ayat di dalam Al Quran yang bermaksud seperti berikut;

Dan (ingatlah) tatakala Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.

Surah Ibrahim : 7

Di dalam ayat berkenaan, Allah SWT telah berfirman, sekiranya kita bersyukur, maka Dia akan tambahkan nikmatNya kepada kita, dan sekiranya kita kufur, maka Dia akan membalas dengan azab yang amat keras.

Pulang Dari Seminar

Setelah pulang daripada seminar berkenaan, saya sentiasa teringatkan kata-kata penceramah berkenaan. Mungkin silap saya kerana tidak mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT. Justeru selepas solat saya telah mengubah doa daripada doa A kepada doa B. Untuk makluman anda doa A adalah doa yang saya amalkan sebelum menghadiri seminar Dr Azizan Osman dan Doa B adalah doa yang saya amalkan pada hari ini.

Jadual 1 : Doa selepas solat

DOA A (DAHULU)

DOA B (SEKARANG)

  1. Ampunkan dosa
  2. Bersihkan hati
  3. Kekalkan iman
  4. Permudahkan tugas
  5. Murahkan rezeki
  6. Berikan kesihatan
  7. Bimbing anak menjadi soleh
  8. Kabulkan doa

 

  1. Bersukur dengan segala kurniaan Allah SWT
  2. Ampunkan dosa
  3. Bersihkan hati
  4. Kekalkan iman
  5. Permudahkan tugas
  6. Murahkan rezeki
  7. Berikan kesihatan
  8. Bimbing anak menjadi soleh
  9. Berikan kekayaan dunia dan akhirat
  10. Ampunkan dosa kedua ibu-bapa
  11. Kabulkan doa

Alhamdulillah, setelah mengamalkan doa B, ternyata rezeki saya banyak berubah. Rezeki mula datang mencurah-curah lebih banyak daripada sebelumnya. Ianya datang dalam pelbagai bentuk. Ada dalam bentuk peluang perniagaan, idea bisnes, peningkatan jualan, kerjasama perniagaan dan bermacam lagi. Segala-galanya sangat menakjubkan dan sukar dijelaskan dengan kata-kata.

Siapakah Pemilik Rezeki?

Apa yang berlaku kepada saya mungkin sama seperti yang diterangkan oleh penulis buku Mudahnya Menjemput Rezeki Ustaz Fathuri Salehuddin. Beliau menerangkan bahawa rezeki ini umpama sekumpulan semut. Sekiranya kita meletakkan gula di satu tempat, maka kumpulan semut pasti akan datang mengerumuninya. Pendek kata sekiranya kita berikan apa yang semut mahu, maka ia akan datang dengan sendirinya.

Begitu juga rezeki, siapakah pemilik rezeki? Jawapannya pasti Allah SWT. Jadi sekiranya kita memberikan apa yang Allah SWT mahu, maka Allah SWT akan mengurniakan rezekiNya tanpa henti.

Tahukah anda apa yang Allah SWT mahu? Ya pastinya Allah SWT mahu kita menurut segala perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Justeru marilah kita menunaikan segala perintahNya dan meninggalkan LaranganNya (peringatan untuk diri saya juga). Sebagai tambahan, cuba amalkan perkara-perkara berikut untuk membuka pintu rezeki seluas-luasnya.

1. Baca Al Quran dan fahami maknanya
2. Solat tahajjud, solat dhuha.
3. Bergaul dengan orang baik-baik dan soleh
4. Perbanyakkan berpuasa.
5. Perbanyakkan berzikir.

Mintalah Secara Spesifik

Allah SWT itu maha pemurah. Dia akan berikan apa yang kita minta. Di dalam doa A, saya meminta di murahkan rezeki. Alhamdulillah rezeki saya memang murah. Walau bagaimanapun rezeki ini wujud di dalam pelbagai bentuk. Udara yang kita hirup juga adalah rezeki.

Jadi sekiranya saya mahu kaya wang ringgit maka saya saya perlu berdoa dengan lebih spesifik. Di dalam doa B, saya berdoa semoga dikurniakan kekayaan dunia dan akhirat. Semenjak itu, nasib saya semakin berubah, jumlah pendapatan syarikat mula melonjak-lonjak naik. Wang mula masuk tidak kira masa, samada saya tidur atau celik.

Kesilapan saya dahulu adalah meminta sesuatu secara tidak spesifik. Ia umpama saya meminta sesuatu tanpa menyatakan apa yang saya mahu. Contohnya saya mahu anda membantu saya, tetapi saya tidak menyatakan bantu dari segi apa. Ia mungkin bantuan wang ringgit, tenaga, buah fikiran, masa dan sebagainya. Jadi sekiranya anda ingin meminta sesuatu dari Allah SWT, maka mintalah secara spesifik. Insya Allah anda akan dapat apa yang anda minta.

LANGKAH 2 : BELAJAR ILMU UNTUK TERIMA REZEKI

Setelah mengamalkan langkah 1, ternyata rezeki saya datang mencurah-curah. Walau bagaimanapun saya perlu ada ilmu untuk menerima rezeki yang dikurniakan. Ia bukannya turun dari langit dan saya hanya mengutipnya.

Sebagai contoh, saya menerima berpuluh-puluh permintaan daripada individu dan syarikat yang mahu melabur di dalam syarikat saya. Jumlahnya bernilai jutaan ringgit. Ianya satu rezeki yang tidak disangka-sangka.

Walau bagaimanapun saya perlu ada ilmu bagaimana hendak menguruskan rezeki yang diberikan. Saya perlu tahu bagaimana hendak mengambilnya, menguruskannya dan menggandakannya.

Ianya bukan perkara mudah dan saya perlu belajar semuanya dari A hingga Z. Sekiranya saya hanya duduk berdoa dan berharap sahaja, ia mungkin tidak berguna walaupun rezeki itu ada di depan mata. Dengan sedikit ilmu yang ada, maka saya dapat menukar peluang yang ada dalam bentuk perniagaan yang menjana keuntungan.

LANGKAH 3 : BELAJAR URUS REZEKI

Seterusnya setelah anda tahu bagaimana hendak menukar rezeki yang datang kepada perniagaan yang menjana keuntungan, maka anda perlu tahu bagaimana hendak mengembangkannya.

Sebagai contoh, selepas saya menerima pelaburan di dalam perniagaan kereta sewa, maka saya perlu menggunakan keuntungan berkenaan untuk mengembangkan lagi perniagaan saya. Saya perlu membuka lebih banyak cawangan di seluruh Malaysia.

Selain itu saya perlu belajar bagaimana mengembangkan perniagaan dengan melabur di dalam beberapa portfolio perniagaan lain seperti hartanah, syarikat penerbitan, pembelian saham dan sebagainya.

Semua itu menuntut saya untuk terus belajar dan belajar tanpa henti. Sekiranya saya bersikap sombong dan tidak mahu belajar maka perniagaan saya tidak akan ke mana. Jadi sekiranya anda ingin hidup kaya raya, maka anda perlu merendah diri dan sentiasa ada perasaan ingin belajar. Bacalah buku, pergi seminar, bergaul dengan orang yang sudah berjaya dan dapatkan mentor untuk memberi bimbingan.

LANGKAH 4 : KONGSI REZEKI

Di dalam buku tulisan seorang usahawan terkenal, Robert Kiyosaki bertajuk Retire Rich, Retire Young. Beliau mengatakan bahawa sekiranya anda ingin hidup kaya raya maka anda perlu banyak memberi. Semakin banyak anda beri maka rezeki akan datang lebih banyak lagi.

Masalah dengan orang yang menghadapi masalah kewangan dan hutang yang teruk biasanya adalah disebabkan mereka kurang memberi. Mereka sentiasa memikirkan apa yang mereka boleh dapat dan tidak memikirkan apa yang mereka boleh beri.

Contohnya apabila mereka bekerja, mereka sentiasa berkira dengan kerja yang dilakukan. Setiap tahun mereka sentiasa meminta dinaikkan gaji. Jarang ada pekerja yang berfikiran bagaimana mahu membantu meningkatkan keuntungan syarikat tanpa memikirkan imbuhan yang mereka bakal terima.

Di dalam perniagaan, saya cuba memberi sebanyak yang mungkin. Pemberian boleh jadi di dalam pelbagai bentuk. Ianya mungkin dalam bentuk zakat, sedekah, perkhidmatan yang memuaskan hati pelanggan, bayaran gaji dan bonus kepada kakitangan, keuntungan kepada rakan niaga dan pelabur. dan juga ilmu kepada mereka yang berminat ingin mengikut jejak langkah saya.

Saya yakin sekiranya saya banyak berkongsi rezeki, maka saya akan menerima lebih banyak rezeki lagi. Insya Allah.

PENUTUP

Itu merupakan antara 4 langkah yang perlu anda lakukan sekiranya ingin keluar daripada masalah kewangan dan hutang. Saya ulangi sekali langkah-langkah berkenaan.

1. Bersyukur
2. Belajar ilmu untuk terima rezeki
3. Belajar urus rezeki
4. Kongsi rezeki

Saya selalu menerima soalan bagaimana hendak mendapatkan lebih banyak pinjaman bagi menyelesaikan masalah kewangan dan hutang yang dihadapi. Pada pendapat saya, sebanyak mana sekalipun wang yang mereka terima, masalah kewangan mereka tidak akan selesai selagi mereka tidak melakukan 4 langkah di atas. Selagi mereka tidak faham bagaimana wang bekerja, selagi itulah mereka akan terus mengalami masalah kewangan sampai bila-bila. Wallahualam.

KLIK SINI untuk baca bagaimana saya selesaikan masalah hutang.

14 Thoughts on “4 LANGKAH BEBAS HUTANG

  1. Tq Tuan..

  2. faris omar on November 20, 2013 at 10:23 am said:

    perkongsian yang sungguh bermanfaat…semua orang islam khususnya perlu ada keempat-empat perkara ni.

  3. NUR FADHLINA MOHD ARIFFIN on November 20, 2013 at 11:04 am said:

    Syukur atas peluang Allah berikan untuk menimba ilmu ini.
    Terima kasih dan tahniah kepada Wahi merupakan exschoolmate yang berjaya sebagai usahawan yang berjaya kini.
    insyaallah mudah mudah ilmu yg dipelajari dipraktikkan dalam kehidupan…

  4. radziah ismail on November 20, 2013 at 9:25 pm said:

    terima kasih berkongsi pengalaman dan pengetahuan sebagai panduan. Semoga lebih ramai lagi usahawan bangsa kita berjaya seperti tuan.

  5. AHAMAD SHAMRI BAHAROM on November 21, 2013 at 8:33 am said:

    Terima kasih tuan,
    info yg sangat bermanfaat.

  6. Salam, En. Wahi.
    Terima kasih atas perkongsian tuan yang begitu menginsafkan. Allah sememangnya Maha Mengetahui malah Dia tahu apa yang kita inginkan. Cuma kadangkala Allah ingin menguji sejauh mana kesungguhan & keikhlasan kita dalam memohon pertolonganNya. Wallahu a’lam.

  7. Ahmad Farid Bin Ahmad Nordin on November 21, 2013 at 9:06 pm said:

    salam.. saya memerlukan tios dari masa ke semasa.. in shaa allah akan mula practice..TQ..:-)

  8. Apa yg saya dapat dr pembacaan diatas ialah mengamalkn doa yg spesifik dan lakukan 4 langkah tersebut… tqvm

  9. Terbaik tuan..terima kasih.

  10. Alhamdulillah, sungguh bermanfaat perkongsian tuan terutama tentang bab penukaran skrip dan isi doa, saya share ya artikel ini di FB 🙂

  11. zanariah selamat on November 27, 2013 at 5:43 am said:

    Alhamdulillah terima kasih kerana sudi berkongsi ilmu… semoga Allah memberi rahmat….

  12. shakiela abu bakar on April 1, 2015 at 12:30 pm said:

    Terima kasih tuan

Leave a Reply

Post Navigation

Analytic Code