Wahi Abd Rashid

KISAH SAYA DAN BISNES KERETA SEWA

Rumah keluarga saya di Felda Keratong 3, Pahang Darul Makmur.

Salam kali ni saya nak kongsi kisah saya dan bisnes kereta sewa. Gambar di atas adalah rumah keluarga saya di Felda Keratong 3, Pahang Darul Makmur. Rumah ni dah roboh dan kini tapak rumah dibiarkan kosong. Kalau ada jiran-jiran nak buat kenduri boleh pakai tapak rumah ni secara percuma.

Di sinilah saya membesar sampai habis sekolah menengah, arwah ayah tak pernah renovate rumah ni sejak beliau masuk jadi Peneroka Felda sampailah rumah ni roboh sebab reput. Ayah saya ni bukan tiada duit, tapi duitnya banyak habis dengan bengkel motosikal yang dia usahakan di sebelah rumah kami.

Arwah ayah saya ni ada penyakit asma, jadi dia tak boleh kerja berat di ladang kelapa sawit. Ladang sawit beliau upah kontraktor untuk uruskan. Dapat la duit sikit lepas tolak gaji kontraktor. Untuk tambah pendapatan dia sediakan servis membaiki kenderaan di sebelah rumah kami. Pendapatan tak ada la banyak mana, tapi yang teruknya, banyak pelanggannya berhutang dan melarikan diri bila tak boleh bayar.

Akibatnya duit ayah banyak habis macam tu saja. Nak menyimpan memang tak ada. Nak renovate rumah, nak beli perabot nak beli barang elektrik apa tah lagi. Jadi hidup kami boleh dikatakan sangat susah masa tu. Namun Alhamdulillah hidup kami berubah selepas abang sulung saya dapat bekerja dengan sebuah syarikat kereta sewa di Langkawi. Daripada hanya kerja cuci kereta, beliau diberi kepercayaan menguruskan syarikat kereta sewa berkenaan.

 
Abang sulung saya Abdul Wahid Abd Rashid (gambar 2013).

Daripada pendapatan bisnes kereta sewa berkenaan, abang saya banyak bantu keluarga kami. Saya belajar di universiti pun banyak dibantu oleh abang sulung saya. Arwah mak saya pergi haji pun abang sulung saya bantu. Hidup kami betul-betul berubah. Sebaik tamat belajar di universiti, bisnes kereta sewa juga selamatkan saya. Masa tu saya nak sangat kerja kerajaan, tapi malangnya permohonan saya tak berjaya. Saya sempat kerja dengan syarikat kereta sewa bersama abang saya di Langkawi selama setahun.

Sepanjang saya bekerja di sana, saya perhatikan pengusaha kereta sewa seolah-olah terpaksa menipu untuk mencari rezeki. Pada saya pengusaha kereta sewa bukan orang jahat, tetapi mereka terpaksa menipu disebabkan tekanan dalam bisnes kereta sewa. Semua ini sedikit sebanyak disebabkan oleh sikap sesetengah pelanggan yang hanya fikirkan perut mereka sahaja. Mereka nak sewa kereta murah-murah, bila berlaku masalah mereka akan melarikan diri. Pada saya pelanggan macam ni umpama virus dalam bisnes kereta sewa. Mereka hanya pentingkan diri sendiri dan tidak fikirkan bagaimana susahnya pengusaha kereta sewa mencari rezeki. Sama seperti pelanggan yang tak bayar hutang ayah saya menyebabkan hidup kami sangat susah dulu.

Apabila saya mula bekerja di universiti, saya pernah menyewa van dengan sebuah syarikat kereta sewa. Tujuan nak pergi kenduri kahwin seorang rakan. Apa yang tak menyeronokkan saya dilayan seolah-olah saya ni macam penyamun. Nak sewa kereta minta bil api, bil air, kena tinggal motosikal dan bermacam syarat lagi. Saya ni bukan orang jahat tapi kenapa saya dilayan macam saya ni penyamun. Dipendekkan cerita bila saya mulakan bisnes kereta sewa pada tahun 2006, saya nekad dalam hati, saya tak mahu ada penipuan dalam syarikat saya. Pada saya kalau itu hak saya, itu memang hak saya, kalau itu bukan hak saya maka itu bukan hak saya. Sebab itu bila pelanggan guna servis syarikat saya apabila mereka tak berpuas hati, syarikat saya akan pulangkan duit mereka 100%. Sebabnya saya rasa tak berhak dapat duit pelanggan kalau mereka tak dapat apa yang mereka patut dapat.

Saya juga mahu setiap pelanggan syarikat saya dilayan dengan penuh hormat. Sebab itu syarikat saya tak pernah minta pelanggan beri bil api, bil air, tinggal motosikal dan kebanyakan kami tak ambil deposit pun. Dengan syarat pelanggan ikut proses tempahan yang kami tetapkan. Untuk elak pelanggan-pelanggan “virus” kami wujudkan sistem tempahan Green Matrix. Sistem berkenaan umpama firewall kepada bisnes kereta sewa saya. Pelanggan tak berkualiti awal-awal lagi kena reject kalau tak boleh ikut step yang telah ditetapkan. Hasilnya setakat ini syarikat saya tiada kes kereta hilang, customer lari, saman tak bayar, kalau pelanggan pulang minyak kereta kurang RM10 pun mereka akan bayar. Sebabnya pelanggan yang menggunakan servis syarikat saya adalah orang baik-baik.

Bila saya mengajar orang buat bisnes kereta sewa, sebenarnya saya nak mereka berjaya dan boleh berniaga dengan jujur. Saya nak mereka tak teraniaya dapat pelanggan yang tak berkualiti sebagaimana keluarga saya hidup susah bila pelanggan lari tak mahu bayar hutang. Saya juga nak orang baik-baik dilayan dengan penuh hormat. Orang yang tak hormat orang lain dan hanya fikirkan perut sendiri pada saya tak layak pun dilayan. Mereka adalah virus dalam mana-mana bisnes. Matlamat saya suatu masa nanti semua orang boleh bergabung dalam satu platform. Zaman sekarang bukan lagi zaman membina empayar dan kaya sorang-sorang, zaman sekarang adalah zaman berkongsi ekonomi. Bekerjasama dan kuasai pasaran bersama.

Impian saya suatu masa nanti sesiapa yang nak sewa kereta dekat mana sekali pun mereka boleh tempah melalui platform Green Matrix. Kalau ada orang sanggup buat platform seperti Green Matrix, saya lebih suka gunakan platform dia saja, saya akan fokus beli kereta, cari pelanggan dan buat duit secepat mungkin. Sambil bantu orang baik-baik sewa kereta sambil buat duit. Aliran tunai daripada bisnes kereta sewa saya akan gunakan untuk beli hartanah. Bila dah tua nanti boleh wariskan bisnes kereta sewa pada anak-anak, kalau dah tak larat sangat fokus kutip duit sewa rumah saja.

Kepada anda yang baru nak memulakan bisnes kereta sewa, tak perlulah nak bina jenama sendiri, kalau anda betul-betul nak jadi founder anda perlu melabur ratusan ribu ringgit setahun untuk menuntut ilmu, bina sistem, bina team, bina jenama dan bermacam lagi. Banyak yang saya perhati mereka cuba jadi founder, tetapi mereka struggle dan tidak boleh bertahan. Puncanya pertama mereka buat bisnes kereta sewa hanya sebab duit. Kedua mereka tidak sanggup melabur pada ilmu.

Green Matrix wujud pada saya kerana saya ingin ubah kehidupan saya. Saya juga berharap kami dapat bantu ubah hidup orang lain. Tiada paksaan untuk anda sertai Green Matrix, cuma cara paling pantas untuk buat duit adalah bekerjasama. Cabaran dalam bisnes kereta sewa adalah kebanyakan pengusaha kereta sewa yang saya kenal adalah dari kalangan orang Melayu. Masalah orang Melayu adalah mereka susah nak bekerjasama. Kalau mereka tengok orang lain berjaya, mereka cuba tiru dan acah-acah nak jadi founder, tapi akhirnya mereka jadi founder not found. Bila mereka tak berjaya mereka mula iri hati dan burukkan orang lain.

Kadang-kadang saya terfikir, apa salahnya semua pengusaha kereta sewa bergabung dan kongsi rezeki bersama, mana tahu boleh borong kereta bersama, boleh buka workshop bersama, boleh ada rangkaian car wash bersama, boleh ada hotel bersama, boleh beli hartanah bersama. Zaman sekarang tak perlu jadi Melayu tipikal, sekarang ni kita perlu jadi Melayu era baru, Melayu yang boleh bekerjasama dengan sesiapa saja. Insya Allah semua orang boleh berjaya kalau bekerjasama. Ok itu saja perkongsian saya kali ini. Kalau anda ada apa-apa soalan tentang bisnes kereta sewa boleh email kepada saya info@wahiabdrashid.com.

Comments are closed.

Post Navigation

 
Analytic Code