Wahi Abd Rashid

PENGALAMANKU BELAJAR DENGAN DR AZIZAN OSMAN

Artikel ni saya tulis untuk kongsi pengalaman sepanjang belajar dengan Dr Azizan Osman. Berikut merupakan program-program Dr Azizan Osman yang saya pernah ikuti dari tahun 2012 hingga 2017.

  1. Seminar Jutawan Industri (SJI) – 2012
  2. Seminar Berani Berniaga (SBB) – 2013
  3. Intensif Magnet Kekayaan & Kejayaan (IMKK) – 2014
  4. Master Your Business (MYB) – 2014
  5. Rahsia Kuasa Minda Jutawan (RKMJ) – 2015
  6. Train The Trainer (TTT) – 2015
  7. Retire Young Retire Rich (RYRR) – 2015
  8. Milionaire Marketing Mastery (MMM) – 2016
  9. Business Growth Workshop (BGW) – 2017

BAGAIMANA TERGERAK HATI NAK JOIN?

Sebelum join program Dr Azizan Osman ni saya memang agak skeptikal dengan program beliau (masa ni masih duduk di Bintulu, Sarawak), tapi bila tengok kat facebook dan youtube banyak video testimonial student-student dia, perasaan nak pergi tu mula timbul.

Tapi perasaan tu terbantut bila terbaca blog-blog di internet yang beri komen negatif pasal Dr Azizan Osman. Komen tentang Dr palsu la, Dr Mickey Mouse la, khurafat la, ada joget-joget la macam-macam lagi.

Nak dijadikan cerita, satu hari ada sorang rakan menghubungi saya kerana mahu meminta pendapat tentang program Dr Azizan Osman, saya katakan padanya saya tak tahu sebab tak pernah pergi program Dr Azizan Osman.

Sempat juga saya ingatkan kepadanya supaya berhati-hati sebab banyak komen-komen negatif mengenai Dr Azizan Osman di internet. Tidak lama selepas itu rakan saya tu terus daftar seminar Dr Azizan Osman.

Selepas pulang, saya berkesempatan berjumpa dengannya, beliau terus menceritakan apa yang beliau dapat daripada program Dr Azizan Osman. Daripada gaya penceritaannya, saya rasa dia dah kena rasuk dengan Dr Azizan Osman.

Tak habis-habis beliau menceritakan bagaimana beliau berjaya meningkatkan hasil jualan belacan (beliau buat belacan di Bintulu) daripada strategi pemasaran yang dipelajari dalam program Dr Azizan Osman.

Kata-kata rakan saya itu membuatkan saya rasa ingin untuk hadir program Dr Azizan Osman. Kalau tak silap masa tu tahun 2012.

CERITA SAYA SEBELUM ITU

Sebelum saya pergi program Dr Azizan Osman, saya memang sudah ada perniagaan kereta sewa. Saya memulakan perniagaan berkenaan sejak tahun 2006 secara sambilan. Bermula dengan 2 buah kereta kancil terpakai perniagaan berkenaan mula berkembang sedikit demi sedikit.

Alhamdulillah pada tahun 2010, saya sudah memiliki 70 buah kereta sewa dengan pendapatan mencecah 5 angka sebulan. Pada tahun 2011 saya ambil keputusan untuk berhenti kerja kerana ingin fokus kepada peniagaan kereta sewa.

Pada tahun yang sama iaitu 27 September 2011 saya mendaftar syarikat Green Matrix Enterprise Travel & Tours Sdn Bhd (sebelum tu saya berniaga pakai enterprise je). Tujuan pendaftaran syarikat Sdn Bhd adalah untuk memudahkan saya mengembangkan syarikat.

Sejak daripada itu saya mula membuka cawangan-cawangan baru melalui konsep licensing (macam francais). Alhamdulillah perniagaan terus berkembang dan kami berjaya membuka rangkaian perniagaan kereta sewa hampir di seluruh Malaysia. Pada tahun 2012 pendapatan syarikat berjaya mencecah RM1 juta pertama.

INCOME BANYAK TAPI PENAT BEB

Walaupun syarikat menjana pendapatan yang agak lumayan, namun saya rasa hidup sangat stress. Kalau dulu saya handle satu cawangan saja (bintulu). Tapi bila buka banyak cawangan, bermacam-macam masalah saya kena hadap.

Masalah paling utama adalah terlalu banyak benda nak kena urus, sampai saya rasa tak ada masa untuk diri sendiri. Paling menyedihkan bila ada licensee yang dah tahu selok-belok perniagaan kereta sewa, mereka mula belot dan buka syarikat sendiri.

Penat saja saya mengajar, last-last habuk pun saya tak dapat. Selain itu, saya mula terima bermacam-macam aduan daripada pelanggan yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan sesetengah licensee. Dah tegur banyak kali masalah masih lagi berulang. Nama baik syarikat mula terjejas.

Dari situ saya mula terfikir saya perlu lakukan sesuatu supaya masalah ini tidak berterusan. Kalau tidak diperbetulkan hidup saya boleh porak peranda dan perniagaan kereta sewa saya boleh bungkus. Saya perlu mencari seseorang yang dapat mengajar saya bagaimana untuk mengurus perniagaan dengan lebih baik.

Saya cuba juga mencari usahawan-usahawan bumiputera yang sudah berjaya di Bintulu, mana tahu dapat belajar daripada mereka. Cuma saya dapati ada 2 jenis usahawan yang ada. 1. usahawan yang berjaya dengan cara betul, 2. usahawan yang berjaya dengan cara tidak betul (faham-faham la ya).

Untuk berjumpa dengan usahawan no 1, ianya hampir mustahil kerana mereka terlalu sibuk. Kalau ada pun mungkin mereka tiada masa nak mengajar orang macam saya. Jadi harapan saya sangat tipis untuk mencari orang yang sudi mengajar saya.

SUKA BACA BUKU PERNIAGAAN

Rak buku di rumah (maaf berserabut sikit)

Salah satu cara saya belajar ilmu perniagaan adalah dengan membaca buku-buku yang ditulis oleh usahawan yang sudah berjaya. Sejak tahun 2005, saya mula membaca buku-buku perniagaan. Kebanyakannya berbahasa Melayu. Lepas habis semua buku saya baca, saya beli pula ebook, Lepas habis semua ebook saya baca, saya mula beli DVD.

Boleh dikatakan habis semua buku, ebook dan DVD yang saya jumpa di pasaran saya khatam. Setakat ini saya sudah memiliki lebih 1,000 buku, ebook dan DVD berkaitan perniagaan. Alhamdulillah banyak ilmu yang saya dapat, dan sebahagiannya saya apply dalam perniagaan kereta sewa saya.

Cuma sampai satu tahap, saya rasa perniagaan saya macam dah tak boleh pergi jauh, macam ada benda saja yang tersekat. Saya perlukan guru yang dapat tunjukkan cara yang betul. Jalan yang lurus, tak perlu lagi try & error.

KEMBARA MENCARI GURU

Saya memulakan kembara mencari guru sejak tahun 2012. Antara seminar pertama Dr Azizan Osman yang saya pergi adalah Seminar Jutawan Industri yang diadakan di Ipoh, Perak. Saya seorang saja hadir masa tu, isteri ikut sekali tetapi dia tinggal di dalam bilik hotel saja kerana menjaga anak kami yang masih kecil.

Selepas seminar berkenaan, saya beritahu isteri, saya mahu sertai program Intensif Magnet Kekayaan dan Kejayaan (IMKK). Kosnya pada masa itu agak mahal juga. Setelah berbincang, kami ambil keputusan untuk fikir dahulu sebab bukan mudah untuk terbang dari Sarawak ke Kuala Lumpur.

Banyak lagi kos lain yang saya perlu fikirkan. Masa pun berlalu pergi begitu saja. Pada tahun 2013, seorang rakan mengajak saya travel dari Bintulu ke Sabah. Kebetulan masa tu Dr Azizan Osman ada buat Seminar Berani Berniaga 2013.

Saya pun apa lagi, join saja program tu. Macam biasa lepas habis seminar saya cakap pada wife nak daftar IMKK. Paling best IMKK kali ni di buat di Sabah, so kos saya jimat sikit. Wife pun setuju. Malangnya program berkenaan dibatalkan atas sebab yang saya kurang pasti.

Krew Dr Azizan Osman ada pujuk saya supaya hadir IMKK di Semenanjung, tapi saya agak keberatan sebab anak-anak masih kecil. Susah saya nak tinggalkan keluarga kalau pergi ke mana-mana. Biasanya saya akan bawa ahli keluarga (wife dan anak-anak) walau ke mana saya pergi.

Pada tahun 2014, saya ternampak seorang rakan menawarkan tiket promosi IMKK pada harga yang agak murah. Tanpa membuang masa saya terus sambar tiket berkenaan. Bukan 1 tapi saya beli 2. Satu untuk saya satu lagi untuk isteri.

APA YANG SAYA BELAJAR DALAM IMKK?

Masya Allah banyak betul ilmu yang saya belajar dalam program IMKK yang berlangsung selama 4 hari 3 malam. Secara ringkasnya IMKK ni macam program untuk reprogramming diri kita semula.

Dalam program berkenaan saya belajar bagaimana untuk memperbetulkan hubungan dengan Allah, hubungan dengan keluarga dan hubungan dengan orang lain.

Sekiranya kita buat salah kenalah minta maaf dengan orang yang pernah kita sakiti. Kalau ada orang yang pernah sakitkan kita, jangan berdendam, maafkan mereka. Seterusnya cuba jadi insan yang lebih baik hari demi hari.

Sepanjang program berkenaan saya tidak henti-henti menitiskan air mata, saya rasa bersalah kerana lalai dari segi keagamaan, saya rasa bersalah kerana tidak sempat membalas budi ibu-bapa saya ketika mereka masih hidup.

Saya rasa bersalah kerana tidak menjadi seorang suami dan bapa yang baik kepada isteri dan anak-anak. Saya rasa bersalah kerana tidak bersungguh-sungguh menolong orang yang pernah meminta bantuan daripada saya.

Selepas program berkenaan saya dan isteri sama-sama menitiskan air mata dan memohon maaf di antara satu sama lain. Kami bertekad mahu menjadi orang yang lebih baik pada masa akan datang.

PROGRAM PLATINUM DR AZIZAN OSMAN

Sebaik sahaja program IMKK tamat, saya dan isteri mengambil keputusan untuk menyertai  program Platinum Dr Azizan Osman. Program berkenaan terdiri daripada 4 komponen dan diadakan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh 1 tahun.

  1. Master Your Business (MYB)
  2. Rahsia Kuasa Minda Jutawan (RKMJ)
  3. Train The Trainer (TTT)
  4. Retire Young Retire Rich (RYRR)

Alhamdulillah kami berjaya habiskan ke semua program berkenaan. Sepanjang tempoh berkenaan saya tidak tahu berapa banyak air mata kami mengalir, terutamanya isteri yang rindukan anak-anak kerana sepanjang program kami terpaksa meninggalkan mereka di Bintulu, Sarawak.

Untuk berjaya mahu tidak mahu kami terpaksa berkorban masa, tenaga, wang ringgit dan perasaan. Alhamdulillah secara peribadi saya rasakan program berkenaan banyak mengubah kehidupan kami. Berikut merupakan ringkasan ilmu yang saya dapat dalam 4 program di atas.

MASTER YOUR BUSINESS (MYB)

Secara ringkasnya program MYB memberi fokus bagaimana anda dapat menjadi tuan kepada perniagaan anda sendiri. Ramai pemilik perniagaan sebenarnya menjadi hamba kepada perniagaannya sendiri, termasuk saya dulu.

Sebab itu sebelum hadir program Dr Azizan Osman, saya sangat stress. Semua kerja saya kena buat. Saya juga tak tahu bagaimana nak kawal kakitangan dengan betul. Semuanya berpunca daripada kesilapan mengambil pekerja secara tangkap muat.

Selepas hadir program berkenaan saya mula menstrukturkan kembali syarikat. Saya mula membetulkan struktur organisasi dalam syarikat saya. Setiap pekerja ada tugas masing-masing. Kalau ada kerja yang tak siap, saya tahu siapa nak kena pecat.

Saya juga mula mengambil staff baru untuk bantu uruskan kewangan syarikat. Dulu isteri saya seorang yang uruskan kewangan syarikat, sampai dia pun naik stress. Nak uruskan akaun syarikat bukannya mudah, tambah-tambah kami ada banyak cawangan di seluruh Malaysia.

Staff yang bermasalah, semua saya pecat dan saya mula mengambil staff baru. Semuanya perlu ikut prosedur di mana saya akan mengiklan dan menyatakan spesifikasi pekerja yang saya mahukan. Mereka yang layak perlu hantar resume.

Syarikat akan memanggil calon yang layak untuk sesi temuduga. Syarikat hanya memilih mereka yang terbaik sahaja sebagai pekerja. Alhamdulillah sejak daripada itu saya tiada lagi masalah dengan staff, semua staff mengikut arahan. Mana yang tidak boleh ikut arahan, saya pecat saja.

Program licensing juga saya tutup buat sementara waktu. Saya mahu perbaiki modul program licensing sedia ada supaya hanya mereka yang benar-benar layak saja diterima masuk sebagai licensee. Tiada lagi peserta tangkap muat seperti dahulu.

Program MYB benar-benar menjadikan saya Master kepada peniagaan saya sendiri.

RAHSIA KUASA MINDA JUTAWAN (RKMJ)

Program RKMJ ni boleh dikatakan nenek kepada program IMKK. Dalam program berkenaan saya belajar memahami bagaimana mengawal minda separa sedar.

Rupanya sebahagian besar kehidupan kita dipengaruhi oleh minda separa sedar. Orang berjaya mampu mengawal minda separa sedarnya.

Manakala orang gagal, tidak mampu mengawal minda separa sedarnya. Contoh mudah adalah rokok, orang berjaya mampu mengawal minda separa sedarnya supaya tidak merokok. Orang gagal pula tidak mampu mengawal minda separa sedarnya dan susah untuk mereka berhenti merokok.

Minda separa sedar akan mengawal segala-gala aspek kehidupan kita, dari segi pengurusan kewangan, keyakinan, ketaatan perintah agama dan sebagainya. Orang yang tidak mampu mengawal minda separa sedarnya akan menyebabkan mereka terjerumus dengan masalah kewangan, ketagihan dan bermacam-macam masalah lagi.

Program RKMJ juga mengubah persepsi saya tentang kekayaan. Dahulu niat saya berniaga adalah untuk menjadi orang kaya. Selepas program berkenaan matlamat hidup saya terus berubah 360°. Saya niatkan dalam diri, saya tidak mahu menjadi kaya, saya hanya mahu bawa keluarga saya masuk syurga.

Untuk masuk syurga saya mesti jadi kaya supaya saya mampu menolong lebih ramai orang. Sepanjang proses itu saya tahu banyak rintangan yang terpaksa saya lalui, namun semua itu tidak menjadi masalah kerana saya mampu mengawal minda separa sedar saya.

TRAIN THE TRAINER (TTT)

Dalam Train The Trainer saya belajar teknik-teknik yang betul untuk mengajar dan melatih agen. Kalau dulu bila diminta mengajar saya terpaksa mengambil masa yang lama untuk buat persediaan.

Kadang-kadang boleh ambil masa sampai 1 bulan untuk buat slide presentation. Sudahnya masa presentation semua peserta tertidur. Mungkin cara penyampaian saya tidak kena.

Saya pernah buat seminar bisnes kereta sewa. Persediaan hampir 1 bulan. Kos seminar dalam RM10K, Jumlah peserta yang hadir tak sampai 100 orang. Kutipan yuran seminar pula tak sampai RM10K. Kalau diikutkan saya rugi sebab buang masa, dan hasilnya tak seberapa Semuanya sebab tak ada ilmu.

Lepas program TTT, saya boleh buat persediaan presentation dalam masa yang lebih singkat. Ilmu berkenaan saya gunakan untuk melatih agen-agen yang menyertai program licensing di syarikat saya. Alhamdulillah tiada lagi peserta yang tidur di dalam kelas. Mereka semua faham bagaimana nak uruskan perniagaan dengan baik.

Buktinya saya menerima banyak komen positif daripada pelanggan yang berpuas hati dengan perkhidmatan kereta sewa kami. Rating syarikat juga meningkat naik sehingga kami menjadi antara syarikat kereta sewa yang mempunyai rating tertinggi di dunia iaitu 9.2/10.

Rating syarikat dalam laman web Trustpilot

Melalui TTT syarikat saya boleh menjana pendapatan lebih 6 angka setahun dengan berkongsi ilmu saja. Kalau dulu, baru buat seminar satu hari, saya dah flat habis, sekarang Alhamdulillah dengan teknik yang saya belajar dalam program TTT saya masih ada stamina walaupun seminar dibuat dari pagi sampai malam.

RETIRE YOUNG RETIRE RICH (RYRR)

Dalam program RYRR saya belajar bagaimana untuk melabur wang hasil daripada perniagaan dalam beberapa instrumen pelaburan. Terdapat banyak instrumen pelaburan yang diajar antaranya saham, emas, forex, hartanah dan unit trust. Anda perlu pilih instrumen pelaburan yang sesuai dengan jiwa anda.

Bagi saya pula, saya lebih suka memilih instrumen pelaburan dalam hartanah. Profil kewangan diri sendiri dan syarikat kena mantap. Selepas daripada program berkenaan syarikat saya sudah membeli beberapa hartanah bernilai lebih RM4.2 Juta.

MILLIONAIRE MARKETING MASTERY (MMM)

Dalam program MMM ini saya belajar tentang berbagai-bagai teknik pemasaran. Pemasaran sebenarnya bukan setakat iklan, iklan dan iklan. Ianya merangkumi keseluruhan proses perniagaan. Bermula bagaimana pelanggan nampak perniagaan kita, seterusnya bagaimana mereka membuat tempahan, bayaran, ambil kereta dan pemulangan kereta. Semuanya perlu lancar dan profesional.

Untuk itu syarikat saya telah membelanjakan ratusan ribu ringgit untuk membangunkan sistem laman web kereta sewa yang dapat memproses tempahan kereta sewa dengan lebih pantas. Pelanggan boleh mendapatkan sebut harga secara automatik. Proses tempahan juga lebih mudah dan pembayaran boleh dilakukan 100% online.

Penyimpanan database pelanggan juga sangat penting, setakat ini saya sudah mengumpul lebih 10,000 database pelanggan. Kalau dulu, memang tak ada simpan langsung database.

Dari segi kualiti perkhidmatan pula syarikat banyak memberi tumpuan kepada latihan kepada setiap cawangan supaya sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik. Hasilnya tanpa membelanjakan kos pengiklanan yang banyak, kami berjaya mengekalkan pendapatan syarikat walaupun dalam keadaan ekonomi agak mencabar.

BUSINESS GROWTH WORSHP (BGW)

BGW merupakan antara program terbaru Dr Azizan Osman, program ini lebih sesuai kepada mereka yang sudah mempunyai perniagaan dan dalam fasa pengembangan. Di dalam program ini saya belajar untuk menghasikan bisnes model dan rancangan perniagaan yang dapat menarik minat pelabur profesional melabur di dalam syarikat. Saya masih lagi belajar apply ilmu yang dipelajari daripada program ini. Mungkin ambil masa sedikit untuk dapat hasil. Insya Allah.

PHD PALSU?

Yang ini saya tak boleh nak beri komen. Walau bagaimanapun sebagai seorang yang pernah bekerja dalam dunia akademik di universiti, saya tahu seorang ahli akademik perlu melakukan 3 perkara berikut.

  1. Mengajar pelajar-pelajar dalam bidangnya.
  2. Menulis, journal, thesis atau buku.
  3. Memberi khidmat masyarakat.

Sekiranya diperhatikan Dr Azizan Osman sudah melakukan ke semua perkara di atas. Dari segi pengajaran, memang tidak dapat dinafikan, beliau sudah mengajar ratusan ribu pelajarnya di seluruh negara.

Dari segi penerbitan, tak perlu nak cerita pasal jurnal atau thesis lah, beliau dah tulis lebih daripada 10 buku berkenaan perniagaan. Ada pula bukunya yang jadi best seller di luar negara.

Dari segi khidmat masyarakat, beliau ada pertubuhan sendiri yang dinamakan Richwell, pertubuhan berkenaan banyak membantu anak-anak yatim, orang kurang upaya dan mereka yang tidak bernasib baik.

Kalau di universiti sebenar, Dr Azizan Osman bukan lagi Dr, pada saya beliau sudah lebih daripada tahap Professor. Walau bagaimanapun ianya tidak bermakna apa-apa kerana tidak diiktiraf oleh universiti di dunia nyata.

UNIVERSITY OF LIFE

Pada 13 Jun 2015 saya berjaya menamatkan program platinum beliau. Perasan tak di dalam gambar di bawah, tertulis perkataan “Dr Azizan Osman’s University Of Life“.

Pada orang lain beliau tidak layak untuk memegang title Dr, tetapi di dalam dunianya beliau adalah Dr di dalam University Of Life yang diciptanya sendiri khas untuk anak-anak muridnya.

 

Majlis konvokesyen saya bersama Dr Azizan Osman

Pada saya sekarang ni nak belajar ni tak semestinya kena masuk universiti. Ilmu boleh dicari di mana-mana. Universiti biasa mengajar kita menjadi seorang pekerja, manakala universiti kehidupan pula mengajar kita menjadi tuan. Terpulang kepada diri masing-masing samada nak jadi pekerja biasa atau nak hidup luar biasa dan menjadi tuan. Tepuk dada tanya selera.

PERUBAHAN KEPADA SYARIKAT

Berikut merupakan pendapatan syarikat kami dari tahun 2012 sehingga 2016.

2012 = RM1,046,592
2013 = RM1,786,071
2014 = RM4,036,221
2015 = RM5,004,523
2016 = RM4,637,294

Secara keseluruhan pendapatan syarikat terus meningkat selepas hadir program Dr Azizan Osman, kecuali terdapat penurunan pada tahun 2016. Antara faktornya adalah kesan kelembapan ekonomi menyebabkan banyak pelanggan domestik terpaksa mengurangkan bajet untuk sewaan kereta.

Kalau dahulu hanya saya dan isteri sahaja bekerja untuk syarikat. Kini kami mempunyai lebih 10 orang kakitangan yang membantu menguruskan syarikat. Saya juga sudah memiliki 11 syarikat yang fokus kepada pelancongan, pembangunan teknologi dan hartanah.

Kumpulan Syarikat

  1. Green Matrix Enteprise Travel & Tours Sdn Bhd – Pelancongan – Induk
  2. Green Matrix Borneo Sdn Bhd – Pelancongan – Cawangan Kota Kinabalu
  3. Green Matrix Transport Sdn Bhd – Pelancongan – Cawangan Kuantan
  4. Green Matrix Venture Sdn Bhd – Pelancongan – Cawangan KLIA
  5. Green Matrix Southern Sdn Bhd – Pelancongan – Cawangan Johor Bharu
  6. Green Matrix Klcity Sdn Bhd – Pelancongan – Cawangan Kuala Lumpur
  7. Gocareta Sdn Bhd – Pembangunan teknologi kereta sewa layan diri
  8. Jride Sdn Bhd – Pembangunan teknologi perkongsian kereta
  9. Gmstay Sdn Bhd – Pelaburan hartanah
  10. GM Empire Sdn Bhd – Syarikat Pegangan Pelaburan (IHC)
  11. Green Matrix Global Sdn Bhd – Pelancongan – Cawangan Selangor

PENUTUP

Artikel ini bukan bertujuan untuk membodek Dr Azizan Osman, saya tulis sebagai kenangan kepada saya supaya suatu hari nanti saya tidak lupa jasa beliau kepada saya. Saya tidak tahu apa akan terjadi kepada saya sekiranya saya terus menutup pintu hati hanya kerana membaca blog-blog yang menulis perkara tidak baik mengenai beliau.

Kalau difikirkan kembali hidup saya pasti porak peranda, rumah tangga kucar-kacir, perniagaan jatuh melingkup kerana tidak ada orang yang dapat menunjukkan saya jalan yang betul. Kepada anda di luar sana, saya nasihatkan supaya beri peluang kepada diri sendiri untuk hadir ke program beliau.

Betul yurannya program beliau agak mahal, tetapi anda boleh bermula dengan program yang murah, seperti yang saya lakukan dulu. Perlahan-lahan apply ilmu yang anda belajar darinya. Ada modal baru masuk kelas yang mahal. Kalau bernasib baik anda mungkin dapat harga promosi.

Kepada Dr Azizan Osman, Jerry dan team Richworks, terima kasih saya ucapkan kerana telah mengubah kehidupan ramai orang termasuk saya dan isteri. Hanya Allah saja dapat membalas jasa kalian.

Wahi Abd Rashid

2 Thoughts on “PENGALAMANKU BELAJAR DENGAN DR AZIZAN OSMAN

  1. Penulisan pengalaman ciri akademik yang sangat baik diperkongsikan oleh tuan.

    Saya adalah antara murid paling awal Dr Azizan dan mempunyai sedikit pengalaman pahit dengan beliau dan menimbulkan rasa negatif untuk terus berguru dengannya.
    Bukan saya seorang sahaja tetapi belasan dan mungkin puluhan murid awalnya.

    Saya tidak berniat untuk mendedahkan disini situasi tersebut kerana sudah memaafkannya.

    Cuma sebagai manusia, sudah tentu Azizan Osman ada kelemahan dan kekurangannya tetapi apa yang beliau sumbangkan kepada dunia keusahawanan cukup berbaloi.

  2. Betul tuan tiada manusia yang sempurna.

Leave a Reply

Post Navigation

Analytic Code