Wahi Abd Rashid

MENGAPA BISNES SAYA MASIH TIDAK BERJAYA?

Salam hormat, terima kasih kerana meluangkan masa membaca pos kali ini. Memiliki perniagaan yang berjaya merupakan impian ramai orang. Walau bagaimanapun statistik di Malaysia menunjukkan 9 daripada 10 bisnes yang baru dimulakan akan lingkup dalam masa 3 tahun pertama.

Ramai orang telah melaluinya termasuk saya sendiri. Mengapa ini terjadi? puncanya adalah kerana ramai yang terlepas pandang dalam aspek yang paling penting iaitu matlamat perniagaan.

Apa Matlamat Perniagaan Anda?

Apabila seseorang itu terfikir untuk memulakan perniagaan, soalan yang paling kerap ditanya adalah “Bisnes apa yang boleh menjana keuntungan yang lumayan?” Bagi mendapatkan jawapannya, mereka akan mula bertanya rakan sekeliling, kaum keluarga dan ada melayari internet untuk mencari model perniagaan yang dapat memenuhi matlamat perniagaan berkenaan.

Sebaik sahaja mereka mengenal pasti bisnes yang sesuai, maka mereka akan berusaha untuk menjayakannya. Matlamat utama perniagaan mereka adalah untuk menjana keuntungan sebanyak yang mungkin.

Di sinilah bermulanya kesilapan kebanyakan bakal usahawan (termasuk saya dahulu). Memang tidak salah menetapkan matlamat perniagaan untuk menjana keuntungan sebanyak yang mungkin.

Namun apabila kita terlalu fokus kepada keuntungan, maka biasanya kita akan memilih bisnes secara tangkap muat.

Memilih Bisnes Secara Tangkap Muat

Maksudnya di sini, kita memilih bisnes bukan berdasarkan minat dan kemahiran yang kita ada. Asalkan nampak boleh hasilkan keuntungan yang tinggi, maka kita akan terjun di dalam perniagaan itu tanpa berfikir panjang.

Contohnya suatu ketika dahulu perniagaan ikan keli di dalam kanvas agak popular. Ramai yang tertawan dengan pulangan yang tinggi di dalam perniagaan berkenaan. Justeru tidak hairanlah jika ramai yang cuba menceburi perniagaan berkenaan. Akibatnya terdapat terlalu banyak pengusaha dan bekalan ikan keli di pasaran yang menyebabkan harganya jatuh merudum.

Keadaan ini menyebabkan ramai pengusaha ikan keli mengalami kerugian kerana pulangannya tidak setimpal dengan kos yang dikeluarkan. Akhirnya ramai yang berputus asa dan meninggalkan perniagaan itu begitu sahaja.

Bagi yang masih bersemangat, mereka akan mencari peluang perniagaan baru yang boleh memberikan keuntungan yang lebih lumayan. Kini perniagaan sarang burung walit sedang mendapat sambutan. Ramai yang berlumba-lumba mengusahakan perniagaan berkenaan.

Kita dapat perhatikan banyak premis komersial dan bangunan dibina untuk dijadikan sebagai tempat penghasilan sarang burung walit. Saya tidak pasti adakah perniagaan ini akan menerima nasib yang sama seperti perniagaan ikan keli di dalam kanvas.

Apa yang pasti, apabila terlalu ramai orang terjun di dalam sesuatu perniagaan, maka persaingan akan meningkat dan menyebabkan harga produk akan jatuh merudum. Hanya mereka yang fokus dan kreatif sahaja dapat bertahan di dalam sesuatu perniagaan.

Pentingnya Minat Di Dalam Perniagaan

Turun naik di dalam perniagaan adalah perkara biasa. Adakalanya harga naik, adakalanya harga turun. Bagi mereka yang memulakan perniagaan berdasarkan minat dan kemahiran. Saya yakin, mereka tidak akan cepat berputus asa. Ini kerana matlamat perniagaan mereka bukan keuntungan semata-mata.

Mereka melakukannya kerana seronok dan puas dapat melakukan sesuatu yang mereka minat. Mereka akan terus fokus dan lebih kreatif mempelbagaikan produk di dalam perniagaan yang mereka ceburi. Jadi tidak hairanlah kebanyakan pengusaha yang melakukan perniagaan berdasarkan minat dapat bertahan lebih lama berbanding mereka yang melakukan bisnes secara tangkap muat.

Pengalaman Saya

Saya juga pernah melakukan kesilapan “tangkap muat” apabila terlibat di dalam bisnes ladang kelapa sawit. Saya tertarik dengan bisnes berkenaan setelah melihat kejayaan seorang rakan yang mengusahakan ladang kelapa sawit seluas 70 ekar. Semangat saya semakin berkobar-kobar apabila mendapat tahu bahawa beliau berjaya menjana pendapatan melebihi 5 angka sebulan.

Pada masa itu, matlamat perniagaan saya hanya satu, iaitu mahu menjadi kaya sama seperti rakan saya itu. Namun, matlamat saya itu tidak tercapai setelah menghadapi pelbagai masalah seperti kesukaran mendapat pekerja, serangan penyakit pada pokok, kesilapan teknik penanaman dan kenaikan kos baja dan racun.

Setelah ditimpa satu demi satu masalah, semangat saya semakin pudar. Setelah bertungkus-lumus selama 3 tahun, akhirnya saya mengambil keputusan untuk berhenti meneruskan perniagaan kelapa sawit berkenaan. Keadaan mungkin akan berbeza sekiranya saya melakukan perniagaan berdasarkan minat. Walaupun menghadapi pelbagai masalah, saya akan terus melakukannya kerana ia memberi kepuasan kepada diri saya.

Rakan saya itu mungkin pernah mengalami masalah seperti saya, namun disebabkan minatnya di dalam perladangan kelapa sawit, maka dia tetap melakukannya sehingga mencapai kejayaan. Tambahan pula, beliau menjalankan perniagaan ladang kelapa sawit, bukan mengejar keuntungan semata-mata. Beliau melakukannya kerana ingin membantu kaum keluarganya meningkatkan taraf ekonomi di kampung. Mungkin sebab itu beliau berjaya berbanding saya.

Apa Matlamat Perniagaan Yang Betul?

Saya berpendapat bakal usahawan perlu menetapkan matlamat perniagaan mereka adalah untuk membantu memudahkan hidup orang lain. Elakkan terlalu fokus mengejar keuntungan semata-mata. Seboleh-bolehnya pilih perniagaan berdasarkan minat dan kemahiran yang kita ada. Cara mudah untuk mengetahui minat kita adalah dengan bertanya pada diri sendiri, apakah perkara yang kita sanggup lakukan walaupun tidak dibayar.

Sebagai contoh, sejak dari kecil saya memang meminati bidang permotoran. Saya tahu serba sedikit tentang penjagaan kenderaan. Saya menggunakan minat itu untuk membantu menjimatkan kos operasi pelanggan dengan menyediakan perkhidmatan kereta sewa berkualiti pada harga yang berpatutan. Hasilnya saya berjaya menerima tempahan yang tidak putus-putus daripada pelanggan terutamanya syarikat korporat.

Walaupun saya pernah mengalami banyak kerugian, namun saya tidak pernah berputus asa kerana saya sangat meminati bidang perniagaan ini. Cabaran demi cabaran membuatkan saya lebih kreatif mencipta produk-produk perkhidmatan yang berbeza daripada syarikat kereta sewa yang lain.

Alhamdulillah perniagaan saya masih bertahan setalah hampir 7 tahun memulakannya (sejak 2006). Saya juga berjaya mengembangkan perniagaan dengan membuka 16 cawangan secara kerjasama di bandar-bandar utama di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Syukur Alhamdulillah

Kesimpulan

Kesimpulannya, sebelum anda memulakan perniagaan, seboleh-bolehnya pilihlah bidang perniagaan berdasarkan minat dan kemahiran yang anda ada. Tanya pada diri sendiri apa yang anda sanggup lakukan walaupun tidak dibayar. Elakkan terlalu fokus mengejar keuntungan, sebaliknya gunakan minat dan kemahiran yang ada untuk membantu memudahkan hidup orang lain. Insya Allah wang akan datang kemudian apabila kita banyak memberi. Saya percaya semakin banyak kita beri, semakin murah rezeki yang dikurniakanNya.

Percayalah, setiap orang dikurniakan lebih daripada satu minat dan kemahiran, tugas kita adalah untuk mencari dan menggunakannya untuk membantu hidup orang lain. Saya juga menyedari bahawa saya minat menulis, merakam video dan bercakap. Saya gunakan minat dan kemahiran itu untuk berkongsi pengalaman supaya dapat memberi sedikit panduan kepada mereka yang berminat mahu menjadi usahawan.

Kini syukur Alhamdulillah, usaha kecil saya ini telah membuahkan hasil. Walaupun tidak banyak, namun saya cukup gembira apabila mendapat mesej dan email daripada rakan-rakan pembaca yang mengucapkan terima kasih dan doa di atas usaha saya yang tidak seberapa ini. Semoga usaha kecil saya ini terus memberi manfaat kepada anda semua. Insya Allah

Leave a Reply

Post Navigation

Analytic Code