Wahi Abd Rashid

KESESUAIAN LOKASI BISNES KERETA SEWA

Di dalam banyak-banyak soalan yang saya terima, saya tertarik untuk menjawab soalan yang ditanya oleh salah seorang rakan lama. Di dalam mesejnya, dia mengatakan bahawa sudah bosan dengan pekerjaannya. Dia mahu memulakan perniagaan yang dapat memberi kepuasan dan kebebasan kepada dirinya. Buat masa sekarang dia sedang melakukan bisnes sambilan sebagai jurugambar perkahwinan. Walau bagaimanapun, pendapatan bisnes berkenaan tidaklah besar kerana ianya bermusim. Justeru dia bercadang untuk menambah sumber pendapatan melalui bisnes kereta sewa. Masalahnya dia tidak pasti adakah bisnes kereta sewa sesuai dilakukan di tempatnya.

Saya mengatakan kepadanya bahawa kejayaan dalam bisnes kereta sewa bergantung kepada berapa banyak pelanggan yang ada di kawasan itu. Pelanggan kereta sewa tidak sama seperti pelanggan kedai runcit. Pelanggan kedai runcit boleh ada di mana sahaja, kerana barang keperluan runcit diperlukan oleh semua orang. Jadi kita boleh membuka kedai runcit samada di kampung, bandar mahupun kem pembalakan.

Berbeza dengan pelanggan kereta sewa, mereka wujud disebabkan tarikan untuk datang ke kawasan itu. Tarikan mungkin disebabkan oleh aktiviti pelancongan, pekerjaan, perniagaan, pendidikan dan sebagainya. Disebabkan kesukaran untuk membawa kenderaan mereka sendiri ke tempat berkenaan, maka mereka lebih suka menyewa kereta kerana ia menjimatkan dari segi tenaga dan wang.

Sebagai contoh, bisnes kereta sewa di Langkawi maju kerana terdapat jutaan pelancong berkunjung ke Pulau peranginan itu. Pelancong yang datang memerlukan kenderaan untuk bergerak Sementara itu kos untuk membawa kenderaan mereka sendiri mungkin lebih tinggi, membuang masa dan tenaga. Jadi penyelesaian terbaik adalah dengan menyewa kereta.

Sementara itu, bagi kawasan saya beroperasi, pekerjaan dalam industri minyak dan gas asli menjadi tarikan utama mengapa ramai orang berpusu-pusu datang ke sini. Saya tambah beruntung kerana kawasan ini  mempunyai antara empangan hidrolektrik terbesar di Asia iaitu Empangan Bakun. Banyak syarikat yang terlibat dalam pembinaan empangan ini yang memerlukan perkhidmatan kereta sewa. Selain itu, baru-baru ini terdapat syarikat dari luar negara melabur wang berbilion ringgit untuk membuka kilang penghasilan panel solar yang menempatkan ribuan orang pekerja. Mereka juga memerlukan perkhidmatan kereta sewa.

Jadi sebelum memulakan bisnes kereta sewa, kenalpasti apakah tarikan yang membuatkan ramai orang ingin datang ke tempat anda. Adakah ia di sebabkan pelancongan, perindustrian, pekerjaan, pendidikan dan sebagainya. Semakin ramai orang ingin datang ke situ, maka semakin besarlah potensi bisnes kereta sewa.

Tanda-Tanda Lokasi Yang Sesuai

Seterusnya dia bertanya lagi, Minta maaf Wahi, aku ada satu lagi soalan, macamana aku nak tau tempat itu ramai orang datang dan berpotensi untuk buat bisnes kereta sewa. Hang (hang adalah loghat orang utara yang bermaksud kau) tau-tau sajalah aku ni kerja makan gaji, hari-hari duduk terperuk dalam kilang, manalah aku tau apa yang berlaku kat luar sana.

Pada saya, itu mudah sahaja, kita perlu melihat beberapa petanda yang berlaku di sekeliling kawasan berkenaan. Berikut merupakan tanda-tanda yang boleh membantu kita membuat keputusan untuk memilih lokasi bisnes kereta sewa.

  1. Persaingan  sekiranya ada pengusaha kereta sewa yang sudah beroperasi di tempat itu, bermakna bisnes berkenaan memang sah ada permintaan. Bak kata peribahasa melayu kalau ada gula, mesti ada semut” maknanya sekiranya di tempat itu ada pelanggan yang mahu menyewa kereta, maka mesti ada orang yang sudah mengusahakannya.
  2. Lapangan Terbang Kalau kawasan itu, berdekatan dengan lapangan terbang, bermakna bisnes kereta sewa ada potensi. Semakin besar dan canggih lapangan terbang itu, maka potensinya juga besar.
  3. Hotel sekiranya hotel-hotel di kawasan anda tumbuh macam cendawan, bermakna ada sesuatu yang menarik minat orang datang ke  kawasan itu. Ia mungkin disebabkan tarikan pelancongan, pekerjaan atau menjadi tempat transit.
  4. Pusat Pengajian Kewujudan pusat pengajian seperti kolej, maktab dan universiti menyediakan pelanggan yang terdiri daripada kakitangan dan juga pelajar di pusat pengajian tersebut.
  5. Tarikan pelancongan Sekiranya tempat anda mempunyai keunikan yang menjadi tarikan pelancongan seperti air terjun, pantai, gua, flora dan fauna, suasana kampung, industri desa, aktiviti pertanian dan sebagainya. Itu bermakna tempat itu berpotensi untuk bisnes kereta sewa. Bisnes kereta sewa bukan setakat menyewakan kereta, ia dapat digabungkan dengan lain-lain perkhidmatan seperti homestay, sewa kenderaan lain seperti basikal, motosikal, Go Kart dan sebagainya bergantung kepada kreativiti anda.

 

Leave a Reply

Post Navigation

Analytic Code