Wahi Abd Rashid

PTPTN – SEKIRANYA SAYA BOLEH KEMBALI 10 TAHUN DAHULU

Sejak akhir-akhir ini negara agak heboh tentang isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Ada yang minta dimansuhkan dan ada juga yang minta diteruskan. Saya pula mempunyai pandangan yang berbeza tentang isu ini. Sebenarnya saya bukanlah pelajar yang mendapat pinjaman PTPTN. Semenjak mengikuti kursus matrikulasi, saya memang ditawarkan pinjaman MARA. Seingat saya, selepas menamatkan kursus matrikulasi, kami diberi pilihan samada mahu memilih pinjaman MARA atau menukar kepada pinjaman PTPTN. Pada masa itu ramai rakan-rakan yang memilih pinjaman PTPTN. Maklumlah PTPTN menawarkan pinjaman lebih tinggi iatu RM21K manakala MARA hanya memberikan RM15K. Sementara itu, saya pula malas hendak mengisi borang permohonan baru dan meneruskan dengan pinjaman MARA. Kadangkala terasa menyesal pula kerana tidak memilih PTPTN. Rakan-rakan yang mengambil PTPTN boleh dikatakan sudah menjadi Orang Kaya Baru (OKB) di universiti, manakala saya pula saya pula terpaksa berjimat cermat dengan duit pinjaman MARA yang sedikit.

Setelah berjaya menamatkan pengajian, saya bersyukur kerana pihak MARA menukar status pinjaman saya menjadi biasiswa. Sementara itu rakan-rakan yang mengambil PTPTN terpaksa membayar pinjaman berkenaan. Selepas 10 tahun bergraduat, saya pasti ada rakan-rakan yang sudah habis membayar pinjaman PTPTN berkenaan dan ada yang masih belum. Saya tidak mahu komen tentang isu ini. Saya bersetuju, sekiranya kita berhutang kita perlu membayar balik pinjaman.

SELEPAS 10 TAHUN BERGRADUAT

Apa yang saya hendak kongsikan di sini adalah apa yang telah terjadi kepada kami selepas 10 tahun bergraduat. Saya agak terkejut apabila menerima banyak email dari rakan-rakan yang mahu berhenti bekerja dan ingin menjadi usahawan. Kebanyakannya sudah bosan dengan kerja masing-masing. Ada yang tertekan dengan suasana tempat kerja, Ada yang dibebankan dengan hutang yang tinggi. Ada pula yang merasakan pendapatan makan gaji semakin tidak mencukupi dan ada juga yang tidak tahan berjauhan dengan keluarga kerana dihantar bekerja di luar negara.

Mungkin apabila kami sudah mencecah umur 30 tahun, masing-masing mahu kehidupan yang lebih relaks atau “settle down” kalau boleh mahu bersama keluarga. Ketika ini boleh dikatakan semua rakan-rakan saya sudah berkeluarga dan mempunyai anak. Ramai yang mengeluh kerana tidak dapat meluangkan masa bersama keluarga. Maklumlah suami isteri sibuk bekerja, waktu siang anak-anak dihantar ke nurseri. Apabila malam, masing-masing sudah keletihan.

Saya percaya, sebagai ibu bapa kita mestilah rapat dengan anak-anak semenjak dari kecil. Sekiranya kita membiarkan nurseri atau orang gaji Indonesia mengambil alih tanggungjawab kita sebagai ibu bapa, tidak mustahil suatu hari nanti mereka juga dengan selamba boleh mencampakkan kita ke rumah orang tua-tua. “Hey..dulu kamu campakkan saya ke nurseri dan biarkan bibik menjaga saya, sekarang biar kamu pula merasa apa yang saya rasa dahulu” mungkin itu kata-kata yang mungkin kita akan dengar apabila sudah tua nanti. Lagipun kita tidak tahu apa yang akan berlaku 30 – 40 tahun lagi. Mampukah anak-anak kita menyara kita pada masa itu. Sekiranya kos sara hidup zaman sekarang dijadikan ukuran, saya pasti anak-anak kita tidak mampu menyara kita pada masa itu.

Sekiranya difikirkan balik, apa yang kita wariskan kepada mereka apabila bersara nanti? kalau saya masih berterusan bekerja makan gaji, saya mungkin tidak dapat memberikan apa-apa kepada anak saya. Mereka mungkin terpaksa mengikut jejak langkah saya, bekerja makan gaji, terlalu sibuk dengan kerja mereka dan akhirnya terpaksa menghantar saya ke rumah orang tua-tua. Ohh saya tidak mahu semua itu berlaku, biarlah hari tua saya dikelilingi oleh anak-anak dan cucu.

BERHIJRAH MENJADI USAHAWAN

Berbalik tentang cerita mengenai menjadi usahawan, saya pasti ramai rakan-rakan yang bercita-cita mahu menjadi usahawan. Mereka mula membayangkan kehidupan yang lebih bebas, dapat bersama keluarga dan tidak perlu mengalami stress di pejabat lagi. Walau bagaimanapun ramai yang tidak berani mengambil langkah ini dan tidak kurang juga yang kecundang di tengah jalan. Menurut statistik Malaysia, 93 peratus perniagaan ditutup dalam tempoh 3 tahun pertama. Ini bermakna daripada 10 orang yang mahu menjadi usahawan, 9 orang lagi akan dijamin “bungkus”.

Hmm mengapa susah sangat hendak menjadi usahawan? Pada saya, puncanya adalah disebabkan selama ini kita dilatih untuk menjadi pekerja, bukannya usahawan. Sebagai bekas tenaga pengajar di universiti, saya pernah mengajar pelajar diploma perikanan. Saya yakin tidak ramai bekas pelajar saya menjadi usahawan dalam bidang perikanan. Semasa di universiti mereka diajar untuk tahu segala-galanya, tetapi tidak ada satu benda pun yang mereka betul-betul tahu. Cuba tanya bagaimana mereka hendak mendapatkan modal perniagaan? pasti mereka terkebil-kebil memikirkan bagaimana caranya. Saya cukup hairan mengapa mereka diajar pelbagai subjek yang kadangkala tidak ada kaitan langsung dengan subjek perikanan.

SEKIRANYA SAYA BOLEH KEMBALI 10 TAHUN DAHULU

Saya tidak mahu merungut tentang polisi pendidikan negara. Pada saya lebih mudah mengubah diri sendiri, daripada mengubah dasar kerajaan. Sekiranya saya boleh kembali 10 tahun dahulu, saya akan memberi nasihat seperti berikut;

  1. Jangan ambil pinjaman PTPTN itu, nanti kamu akan terperangkap dengan beban hutang yang tidak berkesudahan. Kalau boleh dapatkan biasiswa. Kalau tidak dapat biasiswa, cubalah gunakan duit sendiri. Kalau tidak mampu, mungkin kamu boleh berfikir tempat kamu bukan di universiti. Ingat universiti bukan satu-satunya tempat untuk belajar. Bill Gates, Mark Zukerberg, Tan Sri Syed Al Bukhary dan banyak lagi billionair di dunia juga tidak masuk universiti.
  2. Saya juga akan berkata kepada mereka, kalau nak belajar tak perlu rajin-rajin sangat sebab ilmu yang kamu belajar akan memerangkap kamu menjadi kuli selama-lamanya, suatu hari nanti kamu pasti bosan dengan kerja kamu.
  3. Tumpukan kepada kekuatan dan minat kamu, jadilah hebat di dalam perkara yang kamu minat.
  4. Belajarlah menjadi usahawan ketika di universiti sebab 10 tahun dari sekarang kamu pasti ingin menjadi usahawan. Gunakan duit sebaik mungkin, sementara ada peluang, pergilah berkursus, belajar tentang ilmu keusahawanan, perakaunan, pemasaran, pengurusan kewangan, teknologi maklumat dan sebagainya.
  5. Lagi satu, berkawanlah dengan ramai ahli perniagaan, carilah mentor yang dapat mendidik kamu menjadi usahawan. Saya percaya, sekiranya kamu mengikut nasihat saya ini, pasti kamu tidak akan mengeluh tentang nasib diri sekarang.

Hey Wahi, itu 10 tahun dahulu, kita bercakap tentang masa sekarang. Nasihat kamu sudah terlambat, apa yang kami perlu lakukan kalau nak berhijrah  menjadi usahawan seperti kamu? Sabar, janganlah marah. berikut merupakan apa yang anda perlu lakukan sekiranya hendak berhijrah menjadi usahawan;

  1. Taatlah perintah Allah dan Sayangilah keluarga anda.
  2. Bayarlah segala hutang anda perlahan-lahan dan berhenti membuat hutang tidak sihat (kad kredit. pinjaman peribadi, skim ansuran mudah).
  3. Berhenti meminta nasihat percuma dari perancang kekayaan (Wealth Planner). Jadilah perancang kewangan diri sendiri.
  4. Beli buku perniagaan, belajar tentang ilmu keusahawanan. Belajar tentang pengurusan kewangan peribadi.
  5. Berkawanlah dengan ahli perniagaan yang berjaya, elakkan berkawan dengan usahawan penglipurlara (usahawan yang mahu menjadi kaya sekelip mata).
  6. Cari seorang mentor yang dapat mendidik anda menjadi usahawan.
  7. Bina perniagaan anda perlahan-lahan.

Insya Allah, anda pasti boleh menjadi usahawan yang berjaya. Saya yakin, sekiranya kita berusaha dari awal, suatu hari nanti kita dapat mewariskan empayar perniagaan kepada anak-anak kita. Saya berharap kita tidak lagi perlu bimbang dihantar ke rumah orang tua-tua.

P/S : Berabis duit berpuluh ribu ringgit, buat ijazah tapi hidup susah juga. baik belajar buat bisnes kereta sewa, cukup bulan, kutip duit, kepala tak pening, hati pun tak sakit – pendapatan Alhamdulillah.

2 Thoughts on “PTPTN – SEKIRANYA SAYA BOLEH KEMBALI 10 TAHUN DAHULU

  1. terima kasih tuan abd wahi diats segala nasihat yg diberi ..sy berdoa smge ALLAH memberikan kebaikan kpd tuan diatas segala ilmu yg diajarkan

Leave a Reply

Post Navigation

Analytic Code