Wahi Abd Rashid

AYAH KENAPA KITA MISKIN?

Bagi mereka yang pernah hidup susah, pernahkah anda bertanya soalan di atas kepada ayah anda? Apa perasaannya sekiranya anak-anak kita bertanya soalan itu kepada kita pula suatu hari nanti? Saya pasti sedikit sebanyak pasti hati kita terguris mendengarnya.

Mujurlah saya tidak tergamak bertanya soalan berkenaan kepada ayah saya. Saya sentiasa bersyukur dengan keadaan kami. Tetapi saya sentiasa tertanya-tanya mengapa bangsa saya (Melayu) dan orang Islam di Malaysia kebanyakannya miskin. Kenapa orang cina, yang bukan penduduk asal tanah Melayu boleh menjadi kaya-raya di sini? Benarkah seperti yang biasa saya dengar tentang komplot peniaga cina membunuh perniagaan melayu? Saya bukan hendak membangkitkan isu perkauman di sini. Saya mahu mencari jawapan mengapa orang melayu jauh ketinggalan. Benarkah Islam itu sinonim dengan kemiskinan?

Bagi mencari jawapan kepada soalan-soalan bodoh saya ini, maka saya pun bertanyalah kepada ayah saya. Boleh juga buat modal berborak kosong dengan beliau. Maklumlah saya sekarang tinggal di Sarawak, sekali-sekala balik ke kampung seronok juga mendengar cerita beliau. Untuk makluman ayah saya dilahirkan pada tahun 1925 di Kedah. Beliau pernah hidup semasa zaman penjajahan british, jepun dan komunis. Walaupun sudah berusia lebih 80 tahun, kesihatannya masih dalam keadaan baik, cuma kadangkala beliau diserang penyakit lelah.

KISAH TEBU

Menurut beliau, semasa zaman penjajahan british dahulu orang melayu tidak dibenarkan berniaga. Kalau orang melayu didapati berniaga di bandar, mereka akan ditangkap. “Kenapa pula orang melayu kena tangkap ayah?” tanya saya pelik. Sebab orang melayu tidak ada lesen. Lagipun orang melayu beragama islam. Kalau boleh british tidak mahu orang islam maju, biarlah mereka terus kekal miskin sebagai petani dan nelayan, senang sikit nak kawal. Saya mula teringat tentang dasar pecah dan perintah yang diajar dalam subjek sejarah di sekolah menengah. Mungkin betul seperti apa yang diceritakan oleh ayah. Ini bermakna sejak dahulu lagi british sudah tahu, untuk memastikan orang melayu terus hidup miskin, mereka mesti dihalang daripada berniaga.

Sekiranya orang melayu hendak menjual hasil pertanian, mereka perlu menolaknya kepada orang tengah iaitu peniaga cina. Sebagai contoh tanaman tebu, pada masa itu orang melayu menolak sebatang tebu kepada peniaga cina dengan harga 3 sen, manakala peniaga cina menjual tebu itu dengan harga 7 sen. Urusniaga ini agak berat sebelah kerana orang melayu terpaksa menunggu lebih 6 bulan untuk mendapat 3 sen manakala orang cina hanya perlu tunggu 1 hari untuk mendapat untung sebanyak 4 sen. Dasar british ini menyebabkan orang melayu terus kekal miskin dan orang cina semakin kaya-raya. Hmmm ada logiknya juga cerita ayah saya ni. Orang melayu miskin kerana mereka dipaksa untuk terus hidup miskin. Mereka tidak ada pilihan.

SELEPAS MERDEKA

Sekarang negara kita sudah merdeka, ya kita sudah merdeka selama hampir 55 tahun. British sudah tidak ada dan semua orang boleh berniaga tidak kira, melayu, cina atau india. Tetapi, kenapa orang melayu masih ramai yang miskin? Dalam bahagian ini saya tidak bersetuju dengan pendapat ayah saya. Menurut beliau, orang melayu tidak maju kerana kerajaan yang ada sekarang ini masih mengekalkan sistem british. “nak berniaga mesti kena ada lesen, kalau tak ada lesen kena saman” katanya.

Pada saya itu bukan alasannya, nak buat lesen bukannya susah sangat pun, lagi pun kosnya tidak mahal. Jadi apa sebabnya orang melayu masih ramai yang miskin? Di dalam buku Why We Want You to Be Rich, penulisnya Robert Kiyosaki ada memetik kata-kata daripada Albert Einstein seperti berikut

Insanity : doing the same thing over and over again
and expecting different results”

Maksudnya, kita tidak akan mendapat keputusan yang berbeza sekiranya kita masih melakukan perkara yang sama berulang-ulang. Persoalannya apakah yang orang melayu lakukan selama 55 tahun dan hasilnya mereka masih miskin? Pernahkah anda menerima nasihat sebegini “belajar rajin-rajin nanti dapat masuk universiti, bila dah dapat ijazah boleh cari kerja bagus-bagus dan hidup kamu pasti senang”. Saya yakin setiap ibu-bapa akan memberitahu perkara yang sama kepada anak-anak mereka. Saya juga diberitahu perkara yang sama.

Sekarang lihatlah apa hasilnya. Sekiranya saya perhatikan rakan-rakan yang sama-sama belajar di universiti dahulu, boleh saya katakan bahawa tidak ada seorang pun yang menjadi kaya-raya selepas keluar universiti. Masing-masing mengeluh dengan gaji yang semakin tidak cukup akibat kenaikan kos sara hidup. Ada yang masih belum mampu membeli rumah dan ada juga yang dibebani dengan hutang yang banyak.

Yang peliknya kita masih menyuruh anak-anak kita supaya belajar rajin-rajin, nanti dapat masuk universiti boleh dapat kerja bagus dan hidup kamu pasti senang. Inilah yang dikatakan kerja gila, memberitahu anak-anak kita supaya membuat benda yang sama dan berharap mereka boleh menjadi kaya.

Amat jarang ibu-bapa yang menyuruh anak-anak mereka menjadi ahli perniagaan. Padahal untuk keluar dari kepompong kemiskinan kita mesti terlibat dengan perniagaan. British sudah tahu perkara ini ratusan tahun dahulu dan sebab itu mereka menghalang nenek moyang kita menjadi usahawan. Malangnya ibu-bapa, termasuk kita sendiri meneruskan legasi british menghalang generasi kita terlibat di dalam perniagaan.

Ramai yang beranggapan perniagaan adalah berisiko. Ianya berisiko kerana kita tidak tahu apa-apa tentang sesuatu perniagaan itu. Sebagai contoh, ramai yang menganggap perniagaan kereta sewa yang saya lakukan berisiko tinggi. Tetapi pada saya risikonya rendah kerana saya tahu selok-belok perniagaan ini. Saya telah mengambil langkah-langkah perlu untuk mengurangkan risiko di dalam perniagaan ini. Tetapi sekiranya anda tidak tahu apa-apa tentang perniagaan ini, risiko untuk rugi juga sangat tinggi. Pokok pangkalnya anda mesti tahu segala-galanya sebelum terlibat di dalam sesuatu perniagaan.

Jadi, sekiranya kita mahu keluar dari kepompong kemiskinan, kita mesti berniaga. Ya kita mesti menjadi usahawan. Kita mesti memberitahu kepada generasi seterusnya bahawa menjadi pekerja tidak akan menjadikan mereka kaya. Mereka perlu belajar untuk menjadi usahawan. Insya Allah suatu hari nanti kita tidak perlu ditanya “Ayah kenapa kita miskin?”.

P/S : Cemburu dengan Datuk Siti Nurhaliza, umur kami sama, saya mempunyai Bachelor Degree dan Master, beliau hanya lulus SPM. Kini beliau seorang jutawan..tetapi saya pula hmmmm belum ketahuan..Insya Allah sedang berusaha menjadi jutawan kereta sewa.

One Thought on “AYAH KENAPA KITA MISKIN?

  1. Nuraisyah on September 10, 2016 at 12:18 pm said:

    Ada seorang lelaki Melayu dari asnaf fakir miskin bernama Saudara Adila Bin Suboh. Beliau berasal dari Melaka. Beliau berumur 44 tahun. Beliau tidak mempunyai rumah dan kenderaan sendiri. Beliau sentiasa berada dalam keadaan daif dan hidup dalam serba kekurangan. Beliau tidak mampu menyara keluarganya kerana kesempitan wang. Adakala beliau tidak makan dan mandi beberapa hari. Beliau mengharapkan belas kasihan dari orang yang prihatin dengan keadaan nasibnya. Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan wang secara ikhlas, boleh derma ke akaun maybank 151089317354 Adila Bin Suboh. Sumbangan anda dapat meringankan beban orang yang memerlukannya. Terima kasih.

Leave a Reply

Post Navigation

Analytic Code