Wahi Abd Rashid

KENAPA 3 ORANG LELAKI INI MAHU JADI USAHAWAN?

Salam hormat terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca artikel saya pada kali ini. Hmm agak lama juga saya tidak menulis di blog ini, maklumlah sekarang sedang sibuk menjaga bayi kami yang baru dilahirkan pada 25 May 2012 yang lalu. Kami menamakan bayi berkenaan Arjuna Andika Kaseh. Sengaja beri nama yang klasik sikit supaya nampak lain dari yang lain.

Walaupun saya banyak menyepi, namun saya sering menerima mesej yang meminta pendapat bagaimana hendak berhijrah menjadi usahawan. Di dalam banyak-banyak mesej yang saya terima, saya tertarik dengan kisah 3 orang lelaki. Saya akan namakan mereka sebagai lelaki A, B dan C. Berikut merupakan sedikit latar belakang ketiga-tiga lelaki berkenaan.

LELAKI A

Lelaki A merupakan seorang pelajar di sebuah Universiti. Beliau berumur di dalam lingkungan 21 tahun. Saya agak kagum dengannya kerana walaupun masih muda, beliau sudah mempunyai perniagaan sendiri (bisnes kereta sewa di universiti). Walau bagaimanapun, usaha beliau tidak mendapat sokongan ahli keluarga. Ahli keluarganya meminta beliau berhenti berniaga, tumpukan perhatian kepada pelajaran dan sekiranya sudah bergraduat carilah kerja yang terjamin. Beliau kecewa dengan sikap keluarganya kerana minatnya dalam dunia perniagaan begitu mendalam. Beliau meminta saya memberi nasihat kepadanya.

LELAKI B

Lelaki B merupakan seorang pekerja swasta di ibu Negara berumur sekitar 29 tahun. Beliau sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia 5 bulan. Di dalam emailnya beliau meminta saya memberi khidmat perundingan bagaimana hendak menyelesaikan masalah hutangnya. Berikut merupakan senarai hutangnya.

  • RM60K Personal Loan (Sudah hangus kerana terlibat dengan skim cepat kaya).
  • RM7K  – Kad Kredit
  • RM17K  PTPTN
  • RM18K Kereta

Kalau nak diikutkan, jumlah hutang beliau tidaklah banyak sangat, tetapi mungkin disebabkan kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang, membuatkan beliau sesak nafas. Setiap bulan beliau terpaksa menggunakan kad kredit untuk mengisi minyak kereta. Beliau pening kepala kerana hutang kad kreditnya semakin banyak. Beliau mahu saya memberi idea, bagaimana beliau boleh menyelesaikan masalah hutangnya. Kalau boleh beliau mahu memulakan perniagaan, tetapi beliau tidak tahu hendak berniaga apa.

LELAKI C

Lelaki C merupakan seorang eksekutif di syarikat korporat yang berjaya. Beliau berumur 35 tahun dengan pendapatan RM20K sebulan. Isterinya juga bekerja dengan syarikat korporat dengan pendapatan RM5K sebulan. Walaupun mereka tidak mempunyai masalah kewangan yang serius, namun hidup mereka tertekan kerana dia dan isterinya terpaksa berjauhan beribu-ribu batu. Masuk kali ini sudah 2 kali dia dihantar bekerja di luar negara. Beliau sedih apabila menyetahui bayinya pernah didera oleh pembantu rumahnya warga Indonesia. Anak sulungnya juga lebih rapat dengan datuk dan neneknya berbanding dirinya sendiri. Sepanjang bekerja di luar negara, beliau hilang saat-saat gembira melihat anak-anaknya membesar di depan mata. Kalau boleh beliau mahu berhenti kerja dan memulakan perniagaan sendiri. Beliau mahu menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarganya. Masalahnya beliau tidak yakin untuk hidup dengan pendapatan yang tidak menentu. Beliau bimbang tidak dapat membayar segala hutang-piutangnya apabila dia berhenti kerja kelak.

APA PENYELESAIANYA?

Sekiranya dilihat di antara ketiga-tiga lelaki berkenaan, pada saya masalah mereka sungguh ironi. Lelaki A mahu menjadi usahawan kerana minat tetapi dihalang oleh keluarga. Lelaki B mahu menjadi usahawan kerana merasakan wang gajinya tidak mencukupi. Lelaki C pula mahu menjadi usahawan kerana mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarganya. Kesemua mereka mahu menjadi usahawan pada umur yang berbeza.

Sekiranya diperhatikan dengan teliti, kisah mereka merupakan kisah klasik lelaki di Malaysia. Sebaik tamat belajar di universiti, semua berlumba-lumba mencari pekerjaan. Apabila sudah mendapat pekerjaan kebanyakannya terperangkap dengan beban hutang yang tinggi. Bagi melunaskan hutang, mereka terpaksa bekerja lebih keras lagi supaya dapat naik pangkat dan gaji. Apabila gaji mereka semakin besar, pihak syarikat mula berfikir untuk membuang mereka bagi mengurangkan kos syarikat. Lebih baik ambil fresh graduate daripada membayar gaji eksekutif senior yang tinggi. Kebiasaannya pihak syarikat akan menghantar mereka jauh dari keluarga supaya hidup mereka tertekan. Akhirnya mereka terpaksa berhenti kerja dan syarikat tidak perlu membayar sebarang pampasan kerana mereka berhenti kerja secara sukarela. Itulah yang terjadi di dalam dunia korporat sejak dari dahulu lagi.

NASIHAT SAYA

Bagi lelaki A, anda mempunyai 2 pilihan iaitu pilihan pertama bekerja makan gaji dan kedua menjadi usahawan dan tentukan nasib sendiri. Sekiranya anda memilih pilihan pertama nasib anda mungkin berkesudahan seperti lelaki B dan C (last-last nak jadi usahawan juga). Sekiranya anda memilih pilihan kedua, hanya anda sahaja yang dapat menentukan nasib hidup anda. Pada pendapat saya peringkat umur anda merupakan peringkat paling sesuai memulakan perniagaan. Anda masih belum berkeluarga dan tidak perlu memikirkan apa yang akan terjadi kepada orang di bawah tanggungan anda (anak dan isteri). Percayalah membina perniagaan mengambil masa 3 hingga 5 tahun untuk berjaya. Sepanjang tempoh itu anda akan menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan. Apakah situasi terburuk yang boleh berlaku sekiranya perniagaan anda rugi? Paling teruk sekalipun anda seorang sahaja yang menanggungnya. Impak kepada orang lain amat minima. Anda boleh bangkit kembali dan bina perniagaan anda sehingga berjaya. Insya Allah.

Bagi lelaki B, situasi anda sungguh berbeza, anda mempunyai tanggungan seperti anak dan isteri disamping terpaksa melunaskan hutang yang ada. Nasihat saya mulakan perniagaan berdasarkan minat dan kemahiran yang saudara ada. Mulakan secara kecil-kecilan (maksimum modal RM5,000 sahaja). Bina perniagaan anda perlahan-lahan. Kalau boleh carilah mentor yang mempunyai bidang perniagaan yang sama dengan minat dan kemahiran yang anda ada. Insya Allah dengan bimbingan yang betul dan ikhlas anda pasti boleh berhijrah menjadi usahawan yang berjaya dan hidup dengan lebih selesa.

Bagi lelaki C, anda mempunyai 2 pilihan, sekiranya anda memilih keluarga, anda akan kehilangan kerjaya. Sekiranya anda memilih kerjaya, anda akan kehilangan keluarga. Agak sukar memiliki kedua-duanya melainkan anda sudah menjadi usahawan yang berjaya. Tepuk dada tanya selera, mana yang lebih penting keluarga atau kerjaya?. Jika saya diberi pilihan, saya tidak sanggup kehilangan keluarga. Pada saya anak-anaklah yang akan menjaga kita ketika waktu tua nanti. Percayalah tiada majikan yang sanggup datang menjaga kita apabila kita sudah tua. Hanya anak-anak yang akan menjaga kita dengan penuh kasih sayang apabila kita sudah tua. Itupun sekiranya kita melakukan perkara yang sama ketika anak-anak kita masih kecil. Tuhan itu maha adil, sekiranya kita tinggalkan keluarga kita, tidak mustahil suatu hari nanti keluarga kita akan meningggalkan kita. Sekiranya kita membiarkan anak-anak kita dijaga oleh pembantu rumah atau dihantar ke nurseri, tidak mustahil mereka juga akan mencampakkan kita ke rumah orang tua. Wallahualam.

Leave a Reply

Post Navigation

Analytic Code