Wahi Abd Rashid

TAK TAHU BERNIAGA APA? BACA KISAH LELAKI INI.

1926669_767698583240333_1827390163_n

Bersama Tuan Aqif Azizan semasa Kolokium Pelabur Underground 2014

Gambar di atas merupakan gambar saya bersama tuan Aqif Azizan semasa menghadiri Kolokium Pelabur Underground 2014 di Kuala Lumpur. Beliau merupakan salah seorang speaker yang berkongsi pengalaman di dalam kolokium berkenaan.

Saya tertarik untuk berkongsi kisahnya yang berjaya menjana pendapatan lumayan dalam masa beberapa tahun. Kisah beliau mungkin dapat menjawab soalan-soalan yang saya selalu terima daripada rakan-rakan yang tidak tahu hendak memulakan perniagaan apa.

Berikut merupakan antara apa yang saya dapat tangkap daripada perkongsian beliau.

  • Beliau pernah menjadi penulis dalam sebuah majalah online.
  • Beliau pernah terlibat dalam kemalangan dan mengalami kecederaan tulang belakang.
  • Kemalangan berkenaan menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan kerja seperti biasa.
  • Akibat tidak boleh bekerja, wang simpanan beliau semakin susut.
  • Beliau tidak tahu bagaimana untuk mencari pendapatan dengan keadaannya yang terlantar sakit.
  • Beliau mempunyai kemahiran dalam bidang penulisan dan pemasaran. Masalahnya pada masa itu pelanggan masih tidak yakin dengan kebolehannya.
  • Bagi mengatasi masalah berkenaan beliau menawarkan khidmat nasihat pemasaran secara percuma kepada sebuah syarikat.
  • Beliau berjaya meningkatkan jualan syarikat berkenaan dan syarikat berkenaan sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.
  • Beliau minta izin menggunakan testimoni syarikat berkenaan untuk mendapatkan lebih banyak pelanggan.
  • Pelanggan yang beliau bantu sangat berpuas hati dengan perkhidmatan beliau.
  • Permintaan semakin meningkat, beliau terpaksa melatih beberapa orang untuk membantunya menguruskan pelanggan yang semakin bertambah.
  • Kini syarikat beliau fokus memberikan khidmat nasihat pemasaran untuk pelanggan dalam dan luar negara.
  • Dalam masa beberapa tahun syarikat beliau berjaya menjana pendapatan yang agak lumayan.

Itulah merupakan serba sedikit maklumat yang saya dapat tangkap daripada perkongsian Tuan Aqif Azizan (maaf kalau ada point yang kurang tepat).

Apa kaitan dengan pemilihan perniagaan? Daripada kisah tuan Aqif Azizan dapat disimpulkan bahawa sebolehnya pilih bidang perniagaan yang anda mahir dan minat.

Disebabkan beliau buat sesuatu yang beliau minat dan mahir, maka beliau lebih fokus kepada kepuasan hati pelanggan. Prinsip beliau itu membuatkan pelanggan sentiasa berpuas hati dan memilih untuk menggunakan perkhidmatan beliau.

Jadi kepada yang tidak tahu hendak berniaga apa, nasihat saya cuba berniaga bidang yang anda minat dan mahir lakukan. Bagaimana nak tahu apa yang anda minat dan mahir lakukan? cuba perhatikan apa perkara yang anda sanggup lakukan walaupun tidak dibayar.

Seterusnya cuba fikirkan bagaimana hendak menggunakan minat dan kemahiran yang anda miliki itu untuk menambah nilai hidup orang lain. Elakkan terlalu fokus kepada wang, fokus untuk selesaikan masalah orang lain.

Masih tidak tahu nak buat bisnes apa? Cuba senaraikan 3 perkara yang anda minat dan mahir lakukan? Kalau masih tidak tahu apa yang anda minat dan mahir, cuba belajar untuk minat dan mahir dalam sesuatu perkara. Baca buku, pergi seminar dan perhatikan apa yang orang berjaya lakukan.

Kalau apa yang anda minat dan mahir itu sesuatu yang mahal, sebolehnya elakkan mengeluarkan modal yang besar. Gunakan apa yang ada sahaja dulu, tawarkan perkhidmatan jenis servis atau makan komisen saja dulu.

Sebagai contoh, semasa memulakan perniagaan kereta sewa, saya hanya mengeluarkan modal RM3K sahaja untuk membeli 2 unit kereta terpakai. Pada peringkat awal, saya banyak makan komisen dengan menyewakan kereta orang lain.

Komisen dan keuntungan yang saya dapat, saya gunakan untuk mengembangkan perniagaan sedikit-demi sedikit. Alhamdulillah kini perniagaan saya berjaya menjana pendapatan yang agak baik.

Ok saya harap artikel ini dapat menjawab dilema anda untuk memilih bidang perniagaan yang sesuai. Saya ulangi sekali lagi langkah yang anda perlu lakukan.

  1. Pilih bidang perniagaan yang anda minat dan mahir.
  2. Fokus gunakan minat dan kemahiran untuk menambah nilai hidup orang lain.
  3. Sebagai permulaan berikan perkhidmatan secara percuma/diskaun hebat dan dapatkan maklum balas pelanggan.
  4. Gunakan maklum balas pelanggan untuk pemasaran.
  5. Sentiasa berikan perkhidmatan terbaik untuk mendapatkan lebih banyak pelanggan.
  6. Kalau permintaan semakin meningkat, kongsi rezeki dengan orang lain.
  7. Perbaiki perniagaan dari masa ke semasa.

Kalau anda masih tidak tahu apa yang anda minat dan mahir lakukan, maka saya rasa anda memang ditakdirkan untuk menjadi pekerja sampai bila-bila. Wallahualam.

One Thought on “TAK TAHU BERNIAGA APA? BACA KISAH LELAKI INI.

  1. Anonymous on June 10, 2015 at 10:51 am said:

    assalam.tuan,sy dh bc. sy sbnanye mmg minat biz,sy sbenanye ske nk bjual tudung tp mmg xyakin sy dpt buat ker tidak,skunk sy dh mmbeli fareeda utk djual smula,n skunk jgak sy bminat nk join member emas

Leave a Reply

Post Navigation

Analytic Code