Wahi Abd Rashid

BAGAIMANA MENDAPATKAN PINJAMAN MENGGUNAKAN TEKNIK “POST DATED CHEQUE”?

Sekiranya bermanfaat, Kongsikan Artikel Ini..

Salam hormat, terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca artikel ini. Kali ini saya ingin berkongsi kaedah untuk mendapatkan pinjaman menggunakan teknik “post dated cheque“. Teknik ini hanya boleh diaplikasikan sekiranya anda mempunyai akaun semasa. Teknik ini pernah saya gunakan untuk membeli sebuah excavator berharga RM55,000 dan sebuah kereta perodua kancil berharga RM12,000.

MEMBELI EXCAVATOR

Pada tahun 2008 saya pernah terlibat di dalam bisnes pembangunan ladang kelapa sawit. Salah satu masalah untuk membangunkan ladang kelapa sawit adalah kos untuk menyewa excavator adalah sangat tinggi. Jadi setelah membuat kira-kira, saya mendapati sekiranya saya memiliki sendiri sebuah excavator, ianya lebih menjimatkan. Setelah membuat perbandingan harga maka saya mengambil keputusan untuk membeli sebuah excavator terpakai berharga RM55,000. Pada mulanya saya cuba memohon pinjaman daripada bank komersial, malangnya pinjaman saya ditolak. Mungkin pada masa itu, komitmen hutang saya sangat tinggi. Nasib baik syarikat penjual excavator itu mencadangkan saya memohon pinjaman daripada syarikat pemberi pinjaman berlesen (Orix Leasing Malaysia Berhad). Syukur alhamdulillah permohonan saya di luluskan dengan syarat berikut;

  • Deposit RM15,000
  • Pinjaman yang diluluskan RM40,000
  • Kadar faedah 6% setahun
  • Bayaran bulanan RM867 x 5 tahun
  • Setiap tahun saya perlu memberikan 12 keping “post dated cheque”  selama 5 tahun.

Saya bersetuju dengan syarat yang ditetapkan. Setelah menandatangani semua dokumen dan membayar deposit maka akhirnya saya berjaya memiliki excavator berkenaan. Kalau tidak kerana teknik ini, saya pasti tidak dapat memiliki excavator berkenaan sampai bila-bila.

MEMBELI PERODUA KANCIL

Pada tahun 2008, perniagaan kereta sewa saya semakin mendapat sambutan. Jadi saya perlu menambah bilangan kereta sewa. Walau bagaimanapun saya menghadapi masalah kerana sukar mendapatkan pinjaman bank untuk membeli kereta baru. Puas saya berfikir bagaimana hendak menambah bilangan kereta sewa saya. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menggunakan teknik “post dated cheque“. Tanpa membuang masa saya berjumpa dengan seorang tauke penjual kereta terpakai dan bertanya sekiranya dia mahu menjual keretanya secara ansuran. Setelah berbincang maka dia bersetuju dengan syarat berikut;

  • Harga jualan kereta RM12,000
  • Deposit RM2500
  • Pinjaman RM9500
  • Kadar faedah 10% setahun
  • Bayaran bulanan RM305 x 3.5 tahun
  • Setiap tahun saya perlu memberikan 12 keping “post dated cheque” kepadanya selama 3.5 tahun.

Walaupun kadar faedah yang ditawarkan agak tinggi, namun masih berbaloi kerana saya dapat menyewakan kereta itu pada kadar RM600 sebulan. Sekurang-kurangnya lebih baik daripada pinjaman along dan kad kredit.

PERINGATAN

Walaupun teknik ini membolehkan anda memiliki sesuatu yang diluar kemampuan anda, namun sebelum menggunakan teknik ini terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira.

  • Teknik “post dated cheque” adalah pilihan terakhir, setelah anda  gagal mendapat pinjaman daripada bank.
  • Hanya untuk mengembangkan perniagaan, bukan untuk memulakan perniagaan.
  • Pastikan anda mampu.
  • Pastikan baki di dalam akaun semasa sentiasa cukup untuk menjelaskan cek yang dikeluarkan. Setiap kali cek anda ditendang, penalti RM50 dikenakan. Sekiranya cek anda ditendang sebanyak 2 kali, akaun anda akan ditutup serta-merta. Akibatnya anda tidak dapat membuka akaun semasa dalam tempoh yang ditetapkan.

p/s : Sekiranya pinjaman digunakan dengan betul, ia boleh menambah kekayaan. Sekiranya disalahguna ia pasti memakan diri.

Sekiranya bermanfaat, Kongsikan Artikel Ini..

Leave a Reply

Post Navigation

%d bloggers like this: