Wahi Abd Rashid

FANTASI BAKAL USAHAWAN

Salam hormat, terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca artikel kali ini. Di dalam post ini saya ingin berkongsi kisah menarik yang dihantar melalui email kepada saya. Di dalam email berkenaan penulis menyatakan kekecewaannya kerana sukar untuk mendapatkan pinjaman perniagaan. Untuk makluman beliau telah mencuba memohon pinjaman berjumlah RM100,000 daripada Bank, Mara dan Tekun. Beliau mahu memulakan bisnes francais menjual air minuman berjenama. Walau bagaimanapun permohonan ditolak kerana perniagaannya belum cukup 6 bulan.

BERMULANYA FANTASI

Di dalam buku Hijrah Menjadi Usahawan saya ada menceritakan bagaimana seorang usahawan taska yang terpaksa mengadaikan rumah bapanya bagi membayar balik pinjaman bernilai RM60 ribu setelah mengalami kerugian yang teruk di dalam perniagaan itu.

Pada saya, ini adalah antara kesilapan yang sering dilakukan oleh bakal usahawan. Pada mereka semakin besar modal yang dilaburkan, maka keuntungan juga lebih besar. Saya sering melihat ramai rakan-rakan usahawan yang terpaksa gulung tikar, muflis dan disenarai hitam akibat kegagalan membayar balik pinjaman perniagaan bernilai puluhan ribu dan ada yang mencecah ratusan ribu.

Mereka tidak tahu bahawa 9/10 usahawan yang baru memulakan perniagaan akan bungkus dalam 3 tahun pertama. Ini kerana tedapat banyak “titik buta” di dalam sesuatu perniagaan. Di atas kertas, cadangan sesuatu perniagaan memang nampak menarik, tetapi realitinya banyak perkara yang diluar jangkaan. Saya juga pernah mengalaminya apabila mengusahakan ladang kelapa sawit dan bisnes menyewakan jentolak. Nasib baik saya tidak jatuh muflis.

NASIHAT SAYA

Berikut nasihat saya bagi mereka yang baru hendak memulakan perniagaan.

  1. Mulakan perniagaan berdasarkan minat dan kemahiran sendiri. Kebanyakan usahawan yang berjaya, mereka melakukan perniagaan berdasarkan minat dan kemahiran yang mereka ada.
  2. Mulakan perniagaan dengan modal maksimum RM5,000 sahaja. Ini kerana 9/10 usahawan yang baru memulakan perniagaan bungkus dalam masa 3 tahun pertama. Sudah ramai “wannabe” usahawan muflis/blacklist kerana gagal membayar pinjaman perniagaan.
  3. Fokus perniagaan adalah membantu pelanggan, bukan mengejar keuntungan semata-mata. Prinsip perniagaan adalah mudah, beri dahulu dan Insya Allah wang akan datang kemudian.
  4. Sentiasa perbaiki/bina sistem perniagaan. Pergi kursus, belajar dari buku, cari mentor yang sudah berjaya (bayar mereka sekiranya perlu). Bisnes yang mempunyai sistem yang baik adalah bisnes yang boleh ditinggalkan dan masih boleh menjana pendapatan tanpa kehadiran kita.

Saya berharap, kepada bakal usahawan, elakkan melakukan kesilapan yang pernah saya dan ramai lagi lakukan. Mulakan perniagaan secara kecil-kecilan dahulu dan kemudian membesar. Insya Allah, kejayaan pasti muncul kepada mereka yang fokus dan bersabar.

Leave a Reply

Post Navigation

Analytic Code