Wahi Abd Rashid

(CTOS) STRATEGI SYARIKAT MENGELAK DITIPU

 Bagaimana saya mengendalikan kes penipuan di dalam perniagaan

Salam Hormat,

Terima kasih kerana meluangkan masa membaca pos kali ini. Saya percaya, mana-mana usahawan pernah mengalami masalah penipuan di dalam perniagaan. Saya juga pernah mengalaminya dan ia amat menyakitkan hati kerana kita seolah-olah tidak dapat melakukan apa-apa tindakan. Nasihat yang biasa didengari adalah buat laporan polis dan ambil tindakan undang-undang.

Ya saya sudah melakukan semua itu, namun ia mengambil masa dan kos yang tinggi. Kos untuk membawa satu kes ke mahkamah di antara RM2,500 dan boleh mencecah sehingga RM5,000. Walaupun dari segi perundangan, saya menang di mahkamah, namun ianya bukan semudah yang disangka. Kebiasaannya kes akan terbiar begitu sahaja tanpa ada pelaksanaan. Sekiranya saya mahu meneruskan proses pelaksanaan (menyita atau kaveat aset pelanggan), saya terpaksa mengeluarkan lebih banyak wang untuk meneruskan proses yang panjang dan rumit.

BAGAIMANA SYARIKAT MENGELAK DITIPU?

Memang tidak dapat dinafikan kebanyakan syarikat pernah ditipu. Namun, apabila mereka ditipu, mereka akan mengambil tindakan bagaimana untuk mengelak dari ditipu kali ke 2. Justeru cara terbaik adalah melanggan khidmat CTOS. CTOS atau Credit Tip Of Service merupakan sistem yang merekodkan maklumat kredit individu atau syarikat. Ia dibangunkan oleh sebuah syarikat persendirian iaitu CTOS Data Systems Sdn Bhd (247651-H)

Sekiranya anda menjadi pelanggan CTOS, anda dapat melihat rekod kredit seseorang individu seperti kes tuntutan di mahkamah, maklumat kebankrapan, jumlah hutang yang tidak dibayar, malah anda dapat mengetahui samada individu atau syarikat itu pernah mengeluarkan cek tendang atau tidak. Bagi sebuah syarikat, sekiranya bakal pelanggan mereka mempunyai rekod CTOS, langkah pertama yang mereka ambil adalah mengelak berurusan dengan pelanggan berkenaan. Sebab itu kebanyakan bank tidak akan melayan pelanggan yang mempunyai rekod dalam sistem CTOS.

Seterusnya, apabila seseorang pelanggan culas membayar hutang, maka pihak syarikat mempunyai kuasa untuk memasukkan maklumat pelanggan berkenaan di dalam sistem CTOS. Akibatnya pelanggan berkenaan tidak dapat melakukan sebarang urusan seperti mendapatkan pinjaman bank, membuka akaun semasa dan sebagainya. Pihak syarikat juga boleh mengeluarkan arahan kepada peguam, untuk membekukan aset pelanggan berkenaan.

KOS MAHAL TETAPI BERKESAN

Kos untuk melanggan khidmat CTOS memang agak mahal iaitu yuran bulanan lebih kurang RM400 atau RM4800 setahun. Namun sekiranya dibandingkan dengan kos guaman yang terpaksa diambil, ianya lebih murah. Tambahan pula apabila kita menggunakan khidmat CTOS, kita dapat menyaring bakal pelanggan. Kos untuk menyemak rekod CTOS adalah RM10 untuk satu nama (hanya pelanggan CTOS sahaja boleh membuat semakan). Walaupun terpaksa mengeluarkan wang untuk menyemak rekod bakal pelanggan, namun pada saya ia berbaloi jika hendak dibandingkan dengan kerugian yang bakal ditanggung akibat ditipu pelanggan yang mempunyai rekod kredit yang buruk.

BAGAIMANA UNTUK MELANGGAN CTOS

Sekiranya anda berminat untuk melanggan khidmat CTOS, sila hubungi melalui butiran berikut;

Unit A-8-4, 8th Floor Magan Avenue 1,
No 189, Jalan Tun Razak,
50400, Kuala Lumpur, Malaysia.

Tel : 603 2722 88 33 Fax : 603 2722 8822
Email : gen@ctos.com.my

Semoga perkongsian ini bermanfaat.

Leave a Reply

Post Navigation

Analytic Code