Wahi Abd Rashid

TOLONG JANGAN BUAT BISNES KERETA SEWA

Sejak kebelakangan ini saya melihat bisnes kereta sewa semakin mendapat sambutan. Ramai yang teruja untuk memulakan perniagaan ini. Keghairahan untuk memulakan bisnes ini menyebabkan bilangan pengusaha kereta sewa tumbuh macam cendawan. 

Semasa saya memulakan bisnes kereta sewa di Bintulu, boleh dikatakan bilangan pengusaha kereta sewa di sini boleh dikira dengan jari. Kini terdapat berpuluh-puluh pengusaha kereta sewa wujud di kawasan saya beroperasi. Saya percaya situasi yang sama juga berlaku di tempat lain.

Keadaan ini sudah tentu mewujudkan persaingan yang sengit di antara pengusaha kereta sewa sedia ada. Di dalam buku Blue Ocean Strategy yang ditulis oleh Profesor W. Chan Kim dan Renée Mauborgne, penulis mengatakan bahawa apabila persaingan terlalu tinggi di dalam sesuatu bidang perniagaan, maka perniagaan berkenaan boleh dikatakan berada di dalam mod red ocean.

Perniagaan di dalam mod red ocean bermakna terdapat terlalu banyak peniaga yang berebut segmen pelanggan yang sama. Sebagai contoh, sepanjang saya menjalankan bisnes kereta sewa, dapat diperhatikan bahawa kebanyakan pengusaha-pengusaha kereta sewa cenderung untuk fokus kepada pelanggan yang terdiri daripada pelajar kolej dan universiti.

Sebut sahaja bisnes kereta sewa, masing-masing hanya terfikir untuk sewa kepada pelajar kolej dan universiti.

Apabila terlalu ramai pengusaha kereta sewa fokus kepada segmen pelanggan yang sama, maka persaingan pun pasti semakin meningkat. Biasanya bagi mengatasi masalah persaingan, pengusaha kereta sewa akan mengambil jalan mudah iaitu dengan menurunkan harga.

Jadi tidak hairanlah ada sesetengah pengusaha kereta sewa sanggup menawarkan harga sewa yang terlalu rendah bagi memastikan mereka terus mendapat pelanggan. Saya yakin peniaga yang berada di dalam red ocean pasti sentiasa sesak nafas kerana margin keuntungan yang terlalu nipis.

Bagi mengatasi masalah berkenaan, maka pengusaha kereta sewa berkenaan perlu keluar daripada red ocean dan masuk ke dalam blue ocean. Blue ocean adalah satu pasaran yang diwujudkan oleh pengusaha kereta sewa itu sendiri di mana di dalam pasaran itu tiada pesaing yang boleh menawarkan perkhidmatan yang sama.

Di dalam blue ocean, pengusaha kereta sewa perlu kreatif menyelesaikan masalah pelanggan secara spesifik dengan memberikan nilai tambah yang berbeza.

Sebagai contoh sebuah syarikat kereta sewa di Amerika Syarikat iatu Zipcar memperkenalkan konsep perkongsian kereta atau carsharing.

Melalui konsep berkenaan pelanggan-pelanggan syarikat berkenaan tidak perlu membeli kereta. Mereka hanya perlu mendaftar sebagai ahli dan membayar yuran tahunan sebanyak USD50. Sekiranya mereka ingin menggunakan kereta, mereka hanya perlu membayar ketika menggunakan kereta itu sahaja.

Picture24

www.zipcar.com

Konsep ini membantu menjimatkan wang pelanggannya kerana mereka tidak perlu bersusah payah memohon pinjaman untuk membeli kereta. Pelanggannya juga boleh bertukar-tukar model kereta pada bila-bila masa.

Zipcar telah mencipta blue ocean mereka sendiri, kerana tidak ada pesaing yang boleh menawarkan perkhidmatan yang sama. Berdasarkan maklumat syarikat berkenaan, mereka mempunyai lebih 800,000 ahli dengan kekuatan 11,000 unit kereta sewa di Amerika Syarikat dan Eropah.

Berdasarkan jumlah keahlian berkenaan, dianggarkan setiap tahun zipcar berjaya mengutip yuran keahlian sebanyak USD40 juta. Jumlah berkenaan cukup banyak untuk mereka membeli kereta bagi kegunaan ahli-ahlinya. Kini konsep zipcar cuba ditiru oleh beberapa syarikat kereta sewa yang lain.

Bagi mengelakkan persaingan, zipcar terus meneroka blue ocean yang baru yang dikenali sebagai peer to peer car sharing. Konsep berkenaan membolehkan pemilik kereta individu menjana pendapatan tambahan dengan menyewakan kereta mereka sendiri.

Picture26

www.buzzcar.com

Zipcar telah menubuhkan Buzzcar untuk membangunkan sistem peer to peer car sharing. Pemilik kereta persendirian perlu mendaftar dengan Buzzcar dan pelanggan mereka boleh menyewa mengikut kadar yang ditetapkan oleh pemilik kereta itu sendiri. Pihak Buzzcar akan menguruskan sistem tempahan, bayaran dan insuran.

Konsep berkenaan membantu pemilik kereta menjana pendapatan daripada kereta yang jarang digunakan. Selain itu ia membantu pengguna mendapatkan harga sewa pada kadar yang lebih berpatutan. Syarikat berkenaan juga membantu mengurangkan kesesakan jalan raya dengan memaksimumkan penggunaan kereta sedia pada tahap paling optimum. Buzzcar telah membina perniagaan yang tiada pesaing. Mereka berada di dalam blue ocean.

Jadi sekiranya anda ingin memulakan bisnes kereta sewa atau apa sahaja bisnes, sebolehnya cuba hasilkan blue ocean anda sendiri. Elakkan terjun ke dalam red ocean dan lemas di dalamnya. Tidak semestinya anda perlu mencipta perniagaan yang baru. Kenalpasti siapakah segmen pelanggan anda. Kemudian fikirkan apakah masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka. Seterusnya fikirkan bagaimana anda boleh membantu menyelesaikan masalah pelanggan anda dengan memberikan jalan penyelesaian terbaik.

3 Thoughts on “TOLONG JANGAN BUAT BISNES KERETA SEWA

  1. Satu cara yang boleh digunakan untuk elak terjebak dalam situasi red ocean dan cipta blue ocean adalah dengan teknik tiruvasi.

    Ambil bisnes model orang lain, tetapi jangan tiru 100 %. Buat INOVASI atau PERUBAHAN beberapa bahagian dan jadikannya unik. Hack bisnes model sedia ada.

  2. Ingatkan tak kasi buat bisnes ni, rupanya satu lg cara utk maksimumkan permintaan. Tq atas info yg berguna.

Leave a Reply

Post Navigation

Analytic Code