Wahi Abd Rashid

SAYA ADA BANYAK DUIT, TAPI TAK ADA MASA NAK BUAT BISNES

Picture30

Assalamualaikum dan salam hormat

Skrin shot di atas merupakan salah satu email yang saya terima. Agak menarik juga soalan beliau. Menurut penulis beliau bekerja di Qatar. Kalau tak silap biasanya orang yang kerja di Qatar ni kerja dengan syarikat minyak. Pendapatannya mungkin agak besar.

Menurutnya lagi, beliau berminat untuk mengeluarkan modal untuk membantu anak buahnya di dalam bisnes kimpalan. Masalahnya beliau tidak pasti bentuk kerjasama yang boleh dilakukan. Jadi beliau meminta pendapat saya.

Secara peribadi sebagai seorang usahawan, sebolehnya saya mahu rakan kongsi yang sama-sama membangunkan perniagaan. Kalau sekadar sumbang modal kewangan, sesiapa pun boleh. Bank pun boleh beri modal, tapi tak kan saya nak jadikan bank sebagai rakan kongsi?

Mungkin itu yang difikirkan oleh anak buah penulis. Bila penulis menjadi rakan kongsi, kebebasan untuk membuat keputusan tu agak terbatas. Semuanya perlu mendapat persetujuan rakan kongsi.

Biasanya usahawan ni dia nak bebas, mereka bebas melakukan apa sahaja yang mereka mahukan. Tak perlu minta izin daripada sesiapa. Sebab itu mereka menjadi usahawan.

APA KERJASAMA TERBAIK?

Dalam situasi ini, saya nampak ada 2 pihak yang terlibat. Seorang ada duit, tapi tak ada peluang (masa) nak buat bisnes. Seorang lagi ada peluang, tapi mungkin tak cukup duit untuk kembangkan perniagaan. Kedua-dua pihak saling perlu memerlukan. Persoalannya apa kerjasama terbaik yang boleh dilakukan?

KERJASAMA IKUT KONSEP KHADIJAH

Saya mencadangkan penulis menggunakan konsep kerjasama Khadijah. Konsep ini saya belajar daripada sifu saya iaitu Puan Ainon Mohd (Pengasas Ainon Holding Sdn Bhd). Ia dinamakan Khadijah sempena mengambil nama Isteri Nabi Muhammad (SAW).

Seperti yang kita sedia maklum Saidatina Khadijah Binti Khuwailid (RA) merupakan isteri pertama baginda Nabi Muhammad (SAW). Sebelum berkahwin dengan Nabi Muhammad (SAW), beliau memang dikenali sebagai seorang wanita kaya di Mekah. 

Semasa baginda Rasulullah berdagang ke Syam (Syria), Saidatina Khadijah (RA) banyak melabur modal kepada Nabi Muhammad (SAW). Ada pembahagian keuntungan di antara Saidatina Khadijah (RA) dan Nabi Muhammad (SAW).

Konsep ini mungkin boleh ditiru bagi 2 pihak yang saya sebutkan di atas. Sifu saya memanggil golongan yang banyak duit sebagai Khadijah. Usahawan yang kekurangan modal dipanggil sebagai Muhammad Muda.

BAGAIMANA KERJASAMA DILAKUKAN

  1. Muhammad muda perlu membentangkan kepada Khadijah tentang projek yang dia mahu jalankan.
  2. Projek berkenaan perlu mempunyai tempoh contohnya 1 bulan, 3 bulan atau 6 bulan.
  3. Sebolehnya transaksi projek berkenaan bersifat pantas. Tidak boleh terlalu lama seperti pembelian hartanah.
  4. Sekiranya bersetuju Khadijah boleh melabur modal kepada projek Muhammad muda.
  5. Pembahagian keuntungan adalah 30:70

Contoh

Muhammad muda mempunyai perniagaan bengkel kimpalan. Beliau mendapat satu projek kimpalan. Modal yang diperlukan untuk projek berkenaan RM50,000. Jangkamasa projek adalah 2 bulan. Keuntungan projek dianggarkan RM25,000.

Muhammad muda membentangkan projeknya kepada Khadijah. Setelah berbincang, Khadijah bersetuju untuk bekerjasama berdasarkan syarat berikut.

  1. Khadijah akan mengeluarkan modal sebanyak RM50,000.
  2. Jangkamasa projek 2 bulan sahaja.
  3. Selepas 2 bulan, Muhammad muda perlu mengembalikan modal Khadijah sebanyak RM50,000.
  4. Keuntungan daripada projek berkenaan dibahagi 30:70.

Sekiranya projek berjalan lancar, Khadijah akan mendapat pulangan seperti berikut;

Jumlah Modal = RM50,000

Anggaran jumlah keuntungan = RM25,000

Pulangan Pelaburan (ROI)

= RM25,000 x 30%
= RM7,500

= (RM7,500/RM50,000) x 100
= 15%

Jadi dalam masa 2 bulan Khadijah akan mendapat pulangan pelaburan sebanyak 15%. Ianya lebih baik daripada simpanan di unit amanah. Lagipun tempohnya lebih singkat iaitu 2 bulan sahaja.

Muhammad muda pula mendapat untung sebanyak RM17,500. Muhammad muda mendapat bahagian yang banyak kerana dia yang melakukan semua kerja. Segala kos operasi perlu ditanggung oleh Muhammad Muda.

JANGAN LUPA PERANAN MAISARAH

Kerjasama berkenaan nampak senang, tetapi kalau tiada siapa yang memantau, duit Khadijah mungkin lebur. Muhammad muda mungkin menyeleweng dan sebagainya. Jadi pada zaman Nabi Muhammad (SAW), Saidatina Khadijah (RA) mempunyai orang suruhan bernama Maisarah yang akan memantau kerja-kerja Nabi Muhammad (SAW).

Maisarah akan melaporkan segala perbelanjaan dan pendapatan yang diterima oleh Nabi Muhammad (SAW) kepada Saidatina Khadijah (RA). Dalam dunia hari ini, Maisarah umpama seorang kerani yang menjaga wang Khadijah.

DI MANA NAK DAPATKAN MAISARAH?

Maisarah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja. Ia boleh jadi isteri, ahli keluarga ataupun orang yang boleh dipercayai. Khadijah boleh juga menggunakan perkhidmatan Maisarah profesional seperti yang disediakan oleh sifu saya melalui anak syarikat beliau.

Sekiranya berminat untuk menggunakan perkhidmatan Maisarah Profesional, boleh hubungi puan Irnee Bt Ismail. Kalau tak silap terdapat sedikit bayaran dikenakan sekiranya ingin menggunakan khidmat beliau. Beliau akan mengambil 2% keuntungan daripada Khadijah dan 2% daripada Muhammad muda sebagai gajinya.

BAGAIMANA KONSEP INI MEMBANTU?

Sekiranya konsep ini diamalkan, lebih ramai usahawan dapat mengembangkan perniagaan mereka. Sebagai seorang usahawan, konsep ini memang sangat membantu. Maklumlah bukan senang nak dapatkan pinjaman bank. Banyak prosedur yang terpaksa dilalui.

Tambahan pula, konsep ini boleh mengelakkan riba. Riba ini kalau tidak dikawal boleh mendatangkan masalah sosial. Cuba tengok pinjaman Along. Bukannya menolong peminjam, tapi menyusahkan peminjam.

Agama Islam sudah tunjukkan bagaimana orang kaya (berduit) membantu orang miskin (tidak berduit) dengan memberi modal untuk mengembangkan perniagaan. Kalau kita ikut apa yang disuruh, Insya Allah hidup kita pasti aman.

One Thought on “SAYA ADA BANYAK DUIT, TAPI TAK ADA MASA NAK BUAT BISNES

  1. Anonymous on July 9, 2016 at 10:57 pm said:

    Saya selalu rugi…banyak hutang tidak sihat…

Leave a Reply

Post Navigation

Analytic Code